suria

Anak meninggal selepas 3 hari demam, setahun ibu menangis... Syukur Allah hadirkan puteri bongsu pulih semangat

Badan Icha dinaiki ruam kecil akibat suhu yang tinggi selepas mengalami demam campak.

“DIA main macam biasa dengan adiknya... boleh berlari-lari ke sana sini. Apabila letih, dia baring macam budak demam,” demikian luahan Ahmad Syahidi Rizal ketika menyingkap kenangan anak sulungnya yang sudah enam tahun dijemput Ilahi.

Berkongsi cerita dengan mStar, ujar bapa kepada tiga cahaya mata ini, Dhea Ayesha disahkan meninggal dunia 6 Februari 2018 disebabkan Toxic Shock Syndrome dan kerosakan pelbagai organ selepas dia mendapatkan rawatan di hospital.

Menurut lelaki ini, segalanya bermula selepas anak yang mesra dengan panggilan Icha mengalami demam panas.

Pada masa sama katanya, Icha baru sahaja pulih daripada jangkitan demam campak.

Icha merupakan anak sulung Ahmad Syahidi.

Icha merupakan anak sulung Ahmad Syahidi.

“Bermula 3 Februari 2018 dia demam. Tiada petanda pelik dan hanya demam biasa seperti kanak-kanak lain.

“Simptom yang ada pun hanya kurang selera makan, badan lemah tapi dia main macam biasa dengan adik... boleh lari sana sini sehingga kami bawa ke hospital.

“Itu pun keadaannya masih normal, boleh berjalan macam biasa dan dia minta buah jambu potong,” luahnya yang mendapati badan anaknya dinaiki ruam kecil disebabkan suhu badan yang tinggi.

Keadaan anaknya yang ketika itu berusia enam tahun kelihatan seperti biasa, tetapi menurut Ahmad Syahidi doktor meminta keizinan untuk melakukan kuarantin.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ‘pergi’ pada hari graduasi, tak sempat tengok anak cemerlang naik pentas... Cikgu tahan sebak simpan berita sedih

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk bangga cucu kesayangan masuk IPT, tulis tarikh register di meja... Sempat bagi duit belanja lebih sebelum meninggal

Katanya, ia dilakukan selepas doktor mengambil darah Icha untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan mengenal pasti punca demam panas.

Bukan itu sahaja, dia turut terkejut apabila doktor memaklumkan Icha berada dalam keadaan kritikal.

“Masuk air kat tangan macam biasa... doktor dah remind anak kritikal dan perlu rawatan di HKL (Hospital Kuala Lumpur).

“HPj (Hospital Putrajaya) tiada pakar kanak-kanak dan saya setuju untuk dipindahkan, tapi doktor kata bahaya.

Boleh kata sebulan satu hingga dua kali kami ziarah, cara itu membuatkan kami tenang apabila sampai sana.

AHMAD SYAHIDI

“Dalam dua hingga tiga jam sahaja, semua jadi kelam kabut sedangkan kami datang ke hospital dalam keadaan bertenang sahaja,” luahnya sambil mengimbau kejadian menyayat hati yang berlaku pada awal Februari 2018 itu.

Meskipun telah enam tahun berlalu, ‘tragedi’ tersebut masih segar di dalam ingatannya justeru dia menjadikan gambar serta video arwah sebagai pengubat rindu.

Lebih menyayat hati apabila isterinya mengalami trauma sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk merancang anak pada tahun 2020.

“Setahun pertama tu ibu Icha akan menangis setiap kali solat... apabila pegang baju lama pun nangis, tengok gambar lagi menangis.

Kehadiran Allysa (kanan) kembali mengembirakan Ahmad Syahidi dan isterinya.

Kehadiran Allysa (kanan) kembali mengembirakan Ahmad Syahidi dan isterinya.

“Boleh dikatakan setiap hari dia menangis dan kami hilang semangat,” luahnya sayu.

Menurut Ahmad Syahidi, dia dan isteri kerap menziarahi pusara anaknya itu yang dikebumikan di Pusara Negara.

“Boleh kata sebulan satu hingga dua kali kami ziarah, cara itu membuatkan kami tenang apabila sampai sana... kawasan rumput hijau dijaga bersih,” tambahnya yang gemar berkongsi kenangan tentang Icha di laman Instagram.

Meskipun amat terasa dengan ‘kehilangan’ tersebut, namun dia dan isteri menzahirkan syukur kerana telah dikurniakan seorang lagi puteri sebagai pengganti.

“Kehadiran anak ketiga, Allysa membuatkan kami kembali sibuk untuk menjaga dia dan sedikit sebanyak semangat kami berdua kembali pulih.

“Alhamdulillah dugaan ini buat kami terus dekat dengan Allah. Keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling kami sentiasa memberi kata-kata semangat,” luahnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain