PERPUSTAKAAN sering menjadi tumpuan komuniti untuk membuat rujukan akademik berdasarkan bahan bacaan yang tersedia. Namun, sebuah perpustakaan awam di lokasi terpencil Pekan Beluru, Sarawak dilihat hening tanpa kelibat pengunjung serta dikatakan mempunyai kisah mistik. Berkongsikan kisah di laman TikTok, seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Haziq, 25, berkata dia merupakan pekerja tunggal di perpustakaan berkenaan. Haziq selaku pustakawan membuka cerita tentang tempat kerjanya. Bercerita lanjut kepada mStar, Haziq menjelaskan sudah tiga tahun dia menjawat jawatan sebagai seorang pustakawan di perpustakaan tersebut. "Waktu itu tahun 2021, saya sedang menganggur dan aktif mencari kerja. Pada satu hari tu saya ternampak iklan kerja kosong di internet sebagai pustakawan. "Saya pun cuba nasib hantar permohonan dengan menggunakan kelulusan diploma sekolah menengah. Tidak letak harapan tinggi tapi Alhamdulillah saya dapat sebab tak ramai pun yang mohon jawatan tu. ARTIKEL BERKAITAN: Ucapan ‘assalamualaikum’ di kubur abah tiba-tiba dijawab, anak rungkai misteri suara halus - “Mungkin arwah gembira kami datang” ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa kereta terbabas di jalan Gerik-Jeli lesap dari lokasi... Pemuda cuba bantu tiba-tiba terhidu bau hanyir! "Skop kerja saya antaranya menyusun buku, membuat catatan katolog, menjaga kebersihan perpustakaan dan memberikan khidmat pelanggan. "Selalunya memang saya seorang dekat perpustakaan tu, sekali sekala mungkin ada rakan daripada jabatan lain yang datang melawat," jelas Haziq. Tambah Haziq, dia meminati suasana kerja berseorangan kerana rasa tenang dan boleh memberikan fokus sepenuhnya, tetapi mengakui ada kalanya terbeban dek harus menggalas tugas seorang diri. Itulah antara sebab perpustakaan ni 'panas' dengan aktiviti paranormal. HAZIQ PUSTAKAWAN Haziq seterusnya menjelaskan keunikan perpustakaan awam di Pekan Beluru yang terasing daripada bandar-bandar utama di Sarawak. "Perpustakaan ni dibuka pada tahun 1970-an. Terletak di tengah Pekan Beluru, populasi penduduk dekat sini anggaran 1,000 orang macam tu. Bandar utama yang paling hampir adalah Miri, jarak dalam 74 kilometer (km). "Kalau guna Lebuhraya Pan-Borneo, akan ambil masa sekitar satu jam setengah untuk sampai ke Miri dari Pekan Beluru. "Setiap minggu biasanya ada dalam dua hingga empat pengunjung yang datang ke perpustakaan ni, terdiri daripada kalangan pelajar sekolah dan orang tua. Tapi perpustakaan ni tidaklah terbiar, setiap tahun ada je buku baharu yang masuk. Bahagian dalam perpustakaan awam di Pekan Beluru. "Sewaktu saya ditawarkan kerja di sini tiga tahun lalu, saya sudah diberikan amaran yang tempat ni 'keras' dan ramai staf sebelum saya diganggu. Tapi saya cekalkan hati sebab saya nak bekerja," kata Haziq. Menyingkap sejarah lampau perpustakaan Pekan Beluru, Haziq berkata penduduk tempatan mendedahkan tapak perpustakaan tersebut pada dahulunya merupakan 'perkampungan' makhluk halus. "Itulah antara sebab perpustakaan ni 'panas' dengan aktiviti paranormal. Saya sendiri pun pernah terkena dan boleh dikatakan antara yang paling teruk diganggu berbanding staf lain. "Kejadiannya dua tahun lalu, saya baru lagi bekerja ketika tu. Masih segar di ingatan, hari Khamis pukul 4.30 petang dalam selepas Asar, saya tengah buat kerja senaraikan buku yang hendak dilupuskan. Sebuah pintu yang menjadi tanda tanya dalam kejadian mistik dialami Haziq. "Tiba-tiba pintu depan perpustakaan ni dibuka macam ada orang masuk, tapi apabila saya toleh ke belakang tiada siapa pun. Nak cakap angin mustahil sebab pintu kaca tu berat dan ada penahan yang kuat, macam mana boleh terbuka sendiri? "Maksudnya ada 'sesuatu' yang tolak. Serentak dengan tu juga, saya dapat rasakan suhu dalam perpustakaan ni menurun, sejuk rasanya. Kalau nak tahu, penyaman udara perpustakaan dah lama rosak, boleh buka kipas je," cerita Haziq. Dalam pada itu, Haziq berkata bulu roma badannya mula meremang, menandakan kemungkinan wujud entiti yang menemaninya dalam perpustakaan terbabit. "Saya dah rasa tak sedap hati, untuk elakkan perkara yang tidak diingini berlaku, saya siapkan kerja seawal mungkin dan segera pulang. Hari-hari seterusnya saya masuk juga kerja macam biasa sebab saya nak cari rezeki, mental kena kuat. Ruang kerja Haziq di dalam perpustakaan. "Tak lama selepas tu saya minta bantuan seorang rakan yang terbuka 'hijab' untuk tengokkan perpustakaan tu. Dia kata memang nampak ada 'benda' yang duduk dalam perpustakaan, sampai dia pun hanya berani tengok daripada luar je. "Dia nasihatkan saya untuk 'bersihkan' perpustakaan tu. Saya pun dapatkan khidmat seorang ustaz untuk buat bacaan. Tapi ustaz tu letak syarat, proses 'pembersihan' hanya boleh dibuat daripada jauh sebab risau keadaan jadi lebih parah. "Maka saya pun buat panggilan telefon loud spekaer dengan ustaz tu, dia baca-baca dan saya berjalan ke setiap sudut perpustakaan. Menggigil tangan ni tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," imbas Haziq. Memasuki tahun ketiga bekerja, Haziq bersyukur sudah tiada lagi gangguan mistik yang menghantuinya di perpustakaan itu. "Apabila habis sesi dengan ustaz tu, perpustakaan ni dah tak ada sebarang insiden paranormal. Saya dapat bekerja dengan aman sehingga ke hari ini, lega rasanya," kata Haziq menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube