suria

Ustaz terkejut pendedahan ketua gengster, syarat nak jadi ahli kongsi gelap tak boleh derhaka dengan mak ayah

Setiap individu ada sejarah hitamnya dan mahu berubah kepada lebih baik. -Gambar hiasan

SEBUT sahaja ketua gengster, pasti ramai yang membayangkan individu dengan wajah bengis dan kemunculannya sering digeruni.

Namun, mereka juga seperti insan lain yang mahu berubah menjadi insan yang lebih baik, dan dalam diam ada sesuatu yang tidak dijangka mengenai mereka.

Penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkongsi mengenai pesanan seorang ketua gengster yang pernah dibantu beliau untuk memeluk Islam.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, katanya, dia bersama individu berkenaan sedang berbual sebelum mengajukan soalan berkaitan kegiatan kongsi gelapnya.

Ada hikmah di sebalik keinsafan. -Gambar hiasan

Ada hikmah di sebalik keinsafan. -Gambar hiasan

"Ustaz tanya dia, Apa syarat nak jadi ahli gengster? Dia jawab... Ada dua syarat. Pertama, kena lalui satu upacara. Yang kedua, kena angkat sumpah.

"Ustaz tanya balik, apa kandungan sumpah tu? Kena sumpah tak boleh derhaka pada mak ayah," kongsi Ustaz Hanafi di Facebook.

Respons ketua gengster itu ternyata mengejutkan Ustaz Hanafi kerana tidak menyangka jawapan sebegitu akan keluar dari mulut lelaki dengan imej ganas dan digeruni.

Jawapan itu juga menimbulkan kehairanan ustaz sehingga dia bertanya sekali lagi bagi mendapatkan kepastian.

Menghormati ibu bapa merupakan amalan yang mulia. -Gambar hiasan

Menghormati ibu bapa merupakan amalan yang mulia. -Gambar hiasan

"Pelik kan? Biasa kalau gengster mesti tak peduli dengan mak ayah. Ini terbalik pula. Ustaz tanya lagi, kenapa kena sumpah macam tu?

"Dia pun jelaskan dengan mudah. Sampai hari ini Ustaz tetap ingat apa yang kawan gangster Ustaz cakap. Kalau you derhaka pada mak ayah, hidup you akan 'suwey'," ujarnya lagi mengimbas kembali perbualan tersebut.

Beliau ternyata kagum dengan prinsip ahli kumpulan gengster untuk tidak boleh derhaka pada ibu bapa masing-masing tetapi kekal tidak menyokong kegiatan jahat mereka.

"Hebat juga prinsip mereka ni. 'Suwey' ni maknanya celaka. Jadi sesiapa yang derhaka pada mak ayah, dia akan dapat kecelakaan dalam hidup," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran ‘terpijak’ di tangga masjid... Peniaga laptop tak jangka ajakan pakcik tak dikenali solat Zohor berjemaah buka pintu rezeki!

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job

Di sebalik pendedahan ketua gangster itu, Ustaz Hanafi berkata, ibu bapa merupakan individu paling berjasa dalam hidup setiap individu, sejak dari dalam rahim hingga lahir ke dunia.

"Dibelai dan dijaga sejak bayi sehingga kita besar dewasa. Ibu ayahlah dua insan yang tak boleh dicari ganti sampai bila-bila.

"Ada orang kata, tak kira sebanyak mana pun usaha seorang anak nak balas jasa kedua ibu bapanya, pasti dia tak mampu lakukan. Sangat besar dan bernilai, subhanallah," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Hanafi menerusi hantaran sama di Facebook turut berkongsi beberapa tip mudah untuk membahagiakan ibu bapa, antaranya memenuhi hajat mereka seperti membeli barang keperluan atau yang memudahkan urusan harian.

Ustaz Hanafi berkongsi kisah kemasyarakatan yang memberi inspirasi dan keinsafan.

Ustaz Hanafi berkongsi kisah kemasyarakatan yang memberi inspirasi dan keinsafan.

Sekiranya tinggal berjauhan, anak-anak boleh membuat pesanan makanan seperti sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam untuk ibu bapa di kampung.

"Terus masukkan duit belanja setiap bulan walau sedikit RM10, RM20. Belikan al-Quran saiz besar, mudah untuk mereka gunakan. Boleh juga beli al-Quran elektronik, sangat membantu dalam urusan ibadah.

"Ambil waktu sehari dalam masa sebulan untuk bawa ibu ayah berjalan. Bawa mereka ziarah saudara, kenalan mereka atau ke mana saja yang mereka inginkan. Biasakan bawa anak-anak balik ke kampung terutamanya ketika musim cuti sekolah. Telatah anak cucu yang berhimpun ramai-ramai pasti mampu gembirakan ibu ayah.

"Layani apa saja hobi ibu ayah. Kalau mereka suka berkebun, sediakan peralatan berkebun. Kalau mereka suka pokok bunga belikan anak pokok bunga. Jika ibu ayah sudah uzur dan berpenyakit, usahakan untuk hadir bersama ketika berjumpa doktor. Dengar segala luahan mereka dan ambil berat akan masalah kesihatan mereka," ujarnya.

Menurut Ustaz Hanafi, banyak perkara boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa dengan usaha yang termampu selagi mereka masih bernyawa dan berada di sisi.

"Besar pahala bagi anak yang berbakti pada ibu ayah terutamanya ketika mereka sudah berada di usia tua. Besar kemuliaan yang kita dapat bila jadi anak yang membahagiakan ibu ayah," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain