suria

Pelajar ‘intern’ ajak mak jumpa bos, stres disuruh masuk data dalam sistem... Siap bawa surat doktor nak berhenti kerja

Setiap pekerjaan mempunyai cabaran yang tersendiri. -Gambar hiasan

TUJUAN utama latihan praktikal adalah untuk menyediakan bakal graduan dengan realiti alam pekerjaan.

Namun, sejak kebelakangan ini kerap kedengaran prejudis yang kurang enak berkaitan penuntut institut pengajian tinggi (IPT), terutamanya melibatkan komitmen ketika menjalani latihan industri.

Melalui satu hantaran di laman Facebook, seorang lelaki yang juga pengamal undang-undang tampil menceritakan pengalamannya berurusan dengan pelajar praktikal di firma guaman miliknya.

Budaya di tempat kerja memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. -Gambar hiasan

Menurut lelaki itu, dia pernah berhadapan dengan seorang pelajar praktikal yang mempunyai isu di luar kebiasaan dan menjadi pengalaman baharu untuknya.

"Hari tu ada seorang pelajar intern di firma datang jumpa saya dan bagi surat peletakan jawatan. Baru seminggu dia masuk sebenarnya. Dia datang tu dengan maknya sambil bawa surat doktor.

"Doktor tu sahkan yang pelajar intern ni stres sebab bebanan kerja melampau. Apabila dah berlaku kes sebegitu, saya pun pergi tanya dia punya penyelia, kerja apa yang pelajar intern ni dipertanggungjawabkan untuk buat?

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern serah tubuh, tertipu dengan janji senior alim di pejabat! Terus tak jadi kahwin sebab ‘dah dapat’

ARTIKEL BERKAITAN: Masa intern sewa hotel, lepasan UiTM kini selesa duduk kondo! Berbaloi datang KL gadai gelang, boleh beli Myvi guna duit sendiri

"Penyelia tu jawab tiga skop kerja, itu pun baru satu yang dia berjaya urus sendiri iaitu kerja masukkan penyata bank ke dalam sistem. Saya pergi tanya semula pelajar intern tu, kenapa waktu temu duga tak beritahu ada masalah cepat stres?

"Pelajar intern tu pun beritahu dia 'tipu sunat' sebab ingat kalau nak dapat tempat praktikal, kena jawab yang bagus-bagus je," kata lelaki itu mengeluh panjang.

Merenung kembali, lelaki itu risau tentang masa depan pelajar IPT tersebut.

"Saya tanya dia terus terang, lepas ni nak pergi intern mana pula? Yakin ke dekat tempat baharu tak stres? Dia cakap dah dapat satu tempat dan skop kerja dekat situ tak stres.

Salah kita juga kerana terlalu manjakan generasi muda sampai hilang daya ketahanan menghadapi cabaran di tempat kerja.

WARGA MAYA

"Saya macam kurang yakin dengan jawapan tu, saya tanya pula kalau tempat baharu stres juga, apa nak buat? Dia terus diam tunduk. Risau saya tengok keadaan anak muda kita.

"Saya pun dulu waktu intern stres juga, tidaklah sampai panggil mak datang jumpa bos. Jujur saya cakap berdasarkan kapasiti saya, kerja di firma saya ni santai je.

"Sekali lagi saya sedih tengok pelajar zaman sekarang, terlalu dimanjakan ibu bapa sampai anak-anak jadi lembik," kata lelaki itu menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya memberikan komen yang berbelah bahagi.

Pelayar berkongsi pandangan.

"Kalau setakat intern pun dah stres, tak dapat bayangkan di tempat kerja sebenar nanti macam mana.

"Kenapa la sampai kena libatkan mak ayah? Tak boleh nak pertahankan diri sendiri dan berbincang ke? Salah kita juga, terlalu manjakan generasi muda sampai hilang daya ketahanan menghadapi cabaran di tempat kerja.

"Tak boleh cepat menghukum, generasi sekarang dan dulu lain. Generasi sebelum ni mungkin tak kisah diperhambakan dengan tekanan kerja berlebih-lebihan.

"Tapi generasi hari ni lebih bijak, tahu untuk menghargai kehidupan peribadi dan tidak membiarkan segalanya berkisarkan kerja," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain