suria

Sekolah Singapura tak layan kerenah ibu bapa, tegas didik murid lalai... Jangan ada hati tolong hantar bekal, buku tertinggal!

Pembangunan sahsiah seorang insan harus dimulakan sejak kecil. -Gambar hiasan

ANAK ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya.

Setiap ibu bapa atau penjaga pastinya mempunyai cara tersendiri dalam mendidik dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka.

Di laman X hangat dibincangkan tentang teknik mendisiplinkan murid yang diaplikasikan di sebuah sekolah rendah di Singapura.

Sekolah bukan sahaja tempat menuntut ilmu tetapi turut mengajar selok-belok kehidupan. -Gambar hiasan

Berdasarkan gambar yang dikepilkan bersama hantarannya, dapat diperhatikan sekeping notis pemberitahuan yang tertulis peringatan tegas kepada ibu bapa.

"Biarkan anak anda berdikari! Jika anda hadir ke sekolah untuk menghantar buku, kerja rumah, bekal makan tengah hari atau baju sukan yang anak anda terlupa bawa, sila berpatah balik.

"Anak anda boleh belajar daripada kesilapan dan mencari sendiri solusi untuk masalah yang terjadi atas kecuaian mereka. Terima kasih," demikian tulis notis pekeliling berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mengada nak berkepit, wanita harap KK izin suami masuk teman ‘check-up’ - “Nak sama-sama ambil tahu hal anak”

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu terpaksa ‘sound’ mak ayah sibuk tanya homework dalam grup WhatsApp... Manja anak tak bertempat, bimbang jadi Anakku Sazali

Menjengah ke ruangan ciapan balas, warga maya memberikan respons bercampur baur dengan ada yang menyokong dan juga menentang inisiatif sedemikian.

"Ini yang dimaksudkan untuk tidak serabutkan anak yang bersekolah. Biar mereka belajar daripada kesilapan dan sikap culas mereka, supaya mereka ada rasa untuk memikul amanah dengan sendirinya.

"Cukuplah kita sebagai ibu bapa duduk terhegeh-hegeh dalam grup WhatsApp kelas, tanya apa kerja sekolah anak atau lain-lain perkembangan. Kita perlu pupuk anak untuk mengatur hidup mereka. Jangan hanya tahu bergantung kepada kita.

Kita kena pantau anak-anak, mungkin mereka ada masalah yang dipendam.

WARGA MAYA

"Setuju, ramai ibu bapa yang hantar anak ke sekolah lepas tu pesan macam-macam dekat guru. Ingat ya, ini sekolah bukannya tempat asuhan. Satu kelas ada dekat 40 murid, cikgu tak mampu nak fokus setiap seorang.

"Murid darjah satu mungkin saya boleh terima lagi kalau ibu bapa hendak manjakan hingga sekecil-kecil perkara, tapi apabila semakin naik darjah, mereka kena belajar urus diri sendiri. Sampai dewasa ke mahu anak berkepit?" kata warga maya.

Dalam pada itu, segelintir warga maya pula berpandangan pendekatan terbabit akan merenggangkan hubungan antara seorang anak dengan ibu bapanya.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

"Saya tak gemar cara begini, nanti anak jadi kurang kasih sayang. Waktu mereka masih kecil la kita kena ada dekat dengan mereka, dah dewasa semua ikut haluan masing-masing.

"Kita kena pantau anak-anak, mungkin mereka ada masalah yang dipendam. Kalau kita hanya biarkan semuanya kepada mereka, tak ke bahaya kalau jadi apa-apa, contohnya mangsa pengantunan seksual?

"Anak kecil masih naif dan perlu dibimbing satu-persatu. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya," ujar pelayar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain