"DALAM apa-apa hal pun, saya cuma fikirkan tentang anak." Demikian kata Mohd Azlan Ishak, 36, bapa kepada bayi berusia 11 bulan yang mengalami masalah paru-paru kronik serta bergantung dengan alat bantuan pernafasan. Kisah 'keluarga' kecil ini yang menaiki motosikal ke hospital pada mulanya meraih simpati ramai, malah turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun persepsi berubah apabila Azlan dikatakan tidak mempunyai hubungan sah dengan pasangan dan selama ini bersekedudukan. Pasangan Azlan iaitu Norhidayu Halim yang bakal dikahwini. -Foto Bernama Bercerita lanjut kepada mStar, Azlan menjelaskan nasib dirinya sebagai individu miskin tegar memaksanya dia hidup dalam situasi sedemikian dan dia masih tahu tentang dosa serta pahala. "Saya bekerja sebagai pembantu pelantar ikan, sehari biasa dapat RM50 untuk sara keluarga. Saya juga mempunyai anak sakit, memerlukan penjagaan yang kosnya sangat besar. "Selain itu saya anak tunggal, mempunyai seorang mak yang terlantar akibat darah tinggi dan kencing manis. Jadi cuba fikirkan, cukup ke RM50 untuk tampung semua ni termasuk makan minum sekeluarga? Tidak, tapi kami sedaya upaya hidup ala kadar. ARTIKEL BERKAITAN: Azlan bakal nikah Selasa, dedah proses cerai tergantung sebab tak ada duit bayar RM60 ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan bawa bayi naik motor mengaku bukan suami isteri, rancang kahwin minggu depan "Ramai yang cakap dekat saya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Percayalah saya dah cuba bermacam ikhtiar tapi belum ada hasilnya. Buat dua kerja dalam sehari pun saya dah usahakan, tetap belum cukup rezeki. "Saya mohon bantuan daripada agensi berkaitan tapi banyak birokrasinya. Saya yakin kalau kita letakkan sesiapa pun pada tempat saya, mereka akan pilih jalan sama yang saya ambil," kata Azlan yang mengaku kecewa dengan tohmahan bertalu-talu orang ramai. Tambah Azlan, dia tersepit antara hendak menghalalkan pasangan atau memenuhi segala keperluan anaknya Harapnya masyarakat tidak terus menyisihkan saya sebab satu bahagian dalam hidup saya ni. MOHD AZLAN ISHAK "Pastinya pernah terlintas di fikiran saya untuk bernikah segera, saya tahu ia satu dosa besar tinggal serumah dengan wanita yang belum dikahwini, apatah lagi berhubungan intim dengannya. Saya akui salah daripada pihak saya dan saya menyesal. "Tapi dalam keadaan saya dihimpit kesusahan, berkahwin bukan lagi menjadi satu keutamaan. Tumpuan saya adalah pada anak saya, Aariz Zafran, saya mahu cukupkan semua untuk dia baru fikir yang lain. "Itu sebab pernikahan kami sering tertangguh, hendak selesaikan urusan penceraian pasangan dengan bekas suami pun memerlukan duit. Mungkin ada yang kata RM60 je, tapi jumlah itu sangat besar untuk kami. "Alhamdulillah, mungkin satu rahmat dari Tuhan apabila hari tu kami viral, ramai yang menghulurkan bantuan. Dengan itu, beban kami sedikit terangkat dan kini mampu untuk meneruskan perkahwinan," kata Azlan. Video tular Azlan dan pasangan membawa anak ke hospital mengundang rasa sebak rakyat Malaysia. Dalam pada itu, Azlan pada Ahad pergi ke Masjid Al-Makrufi di Alor Setar, Kedah untuk mendapatkan borang nikah dan merancang untuk berkahwin pada Selasa setelah selesai menjalani ujian HIV dan ujian darah. Azlan berkata selepas berkahwin, apa yang penting dalam hidupnya adalah memberikan sepenuh kasih sayang kepada anaknya, Aariz Zafran dan akan berusaha keras demi menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Azlan dan pasangan melakukan yang terbaik untuk memastikan Aariz Zafran sembuh. Azlan kemudian mengulas lanjut tentang dakwaan dia pernah bergelumang dengan dadah suatu ketika dahulu. "Betul, saya pernah terjebak dengan dadah. Tapi itu adalah sebelum kehadiran Aariz Zafran dalam hidup saya. Selepas saya ada anak, ditambah pula dengan ujian dia sakit, saya terus 'cuci tangan'. "Saya sangat menyesali zaman gelap saya dan cuba menebus semula kesilapan, harapnya masyarakat tidak terus menyisihkan saya sebab satu bahagian dalam hidup saya ni. "Bimbinglah saya," kata Azlan menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube