BANYAK atau sedikit pemberian seseorang, bagi golongan yang memerlukan pasti ia besar maknanya. Dalam masyarakat kita yang mempunyai pelbagai latar belakang, amalan membantu antara satu sama lain bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik sangat digalakkan. Melalui satu video tular di laman TikTok, seorang wanita yang senang disapa Daya atau nama sebenarnya, Wan Nur Hidayah, 23, dilihat menaja pembelian barangan dapur seorang pengunjung pasar raya di Ampang, Kuala Lumpur. Daya merupakan lepasan Asasi Undang-Undang Universiti Malaya. "Saya tolong bayarkan boleh? Ambil je apa-apa, saya belanja," kata Daya ketika menghampiri wanita tersebut. Menerusi video berkenaan, ternyata wanita yang disantuni Daya itu mempunyai kisah tragis di sebalik kehidupannya yang nampak normal. "Saya tak ada pendapatan tetap, biasanya harapkan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Saya belum bekerja sebab dulu jaga anak orang kurang upaya (OKU), dia baru meninggal dunia enam bulan lepas. "Sekarang tinggal seorang lagi anak dengan saya, dia tengah belajar. Bila dia dah kerja nanti mungkin tinggal saya seorang je," kata ibu tunggal itu dengan perasaan hiba. ARTIKEL BERKAITAN: Mekanik patah balik, bantu sekeluarga jalan kaki di highway! Menyesal buruk sangka, memang betul sedang susah ARTIKEL BERKAITAN: Kereta rosak, pemandu lain cuma tengok tak bantu! Semua hati kering kecuali abang treler, seorang diri tolong tolak ke tepi Bercerita lanjut kepada kepada mStar, Daya yang merupakan seorang peniaga online berkata hatinya berbunga-bunga apabila mampu mengukirkan sedikit senyuman pada wajah insan yang tidak dikenali dan kebetulan dia amat memerlukan bantuan. "Ini bukan kali pertama saya buat macam ni. Saya selalu pergi ke pasar raya kecil atau kedai runcit, tunggu di kaunter pembayaran dan pilih individu secara rawak untuk belanja barangan yang mereka beli. "Saya tidak tetapkan had, berapa pun harga yang tertera saya bayar. Saya jarang sasarkan pusat beli-belah terkemuka kerana tempat sedemikian sedikit 'jauh' daripada masyarakat dan kurang mesra marhaen. "Saya terinspirasi untuk mengambil inisiatif sebegini sebab saya suka gembirakan orang sekeliling terutamanya mereka yang sedang dalam kesusahan, sudah menjadi sebahagian daripada sanubari saya. Kebanyakan saya dapat komen positif, tetapi ada juga yang menegur kerana baju saya agak terdedah. DAYA "Macam dari dulu lagi pun, saya sangat menggemari program realiti amal di TV3 iaitu Bersamamu, himpunan kisah di situ banyak memotivasikan diri saya," kata Daya yang merupakan graduan ijazah sarjana muda Universiti Malaya dalam kursus Hubungan Antarabangsa. Mengimbas semula mengenai dirinya, Daya berkata dia pernah menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika negara dilanda wabak Covid-19. "Ketika itu saya dapat elaun RM100, jumlahnya agak besar untuk saya sebagai seorang pelajar. Kalau beli barang di kedai pun jarang habis semua duit elaun tu. "Jadi ketika bayar, saya akan cakap dekat juruwang untuk belanja orang yang beratur di belakang guna duit baki. Daripada situ saya terus kembangkan amalan tersebut sehingga ke hari ni. Kemurahan hati Daya mendapat pujian ramai. "Untuk perancangan seterusnya, saya ada terfikir nak berkolaborasi dengan rumah anak yatim untuk salurkan bantuan. Saya juga terbuka kalau ada pempengaruh atau pencipta kandungan yang mahu bekerjasama dalam misi kemanusiaan. "Sejak video saya viral hari tu, ramai yang mesej saya di ruangan direct message (DM) beritahu kisah masing-masing. Sedih sangat, banyak kesulitan yang masyarakat kita hadapi. saya akan bekerja keras untuk terus membantu," ujar Daya yang berasal dari Johor. Walaupun usaha murni mendapat pujian, segelintir warga maya dilihat menzahirkan kritikan terhadap pemakaian Daya yang dianggap kurang sopan ketika sedang melakukan kerja amal. "Kebanyakan saya dapat komen positif, tetapi ada juga yang menegur kerana baju saya agak terdedah. Apa yang mereka cakap tu betul dan saya ambil sebagai pengajaran di masa akan datang. "Cuma pesan saya kepada netizen terbabit, gunakan kata-kata yang lebih lembut, agak kasar tegurannya. Selain tu, fokuskan tumpuan kepada perbuatan berbanding penampilan saya," kata Daya menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube