suria

Makcik sergah gadis jual nasi lemak, anggap sebungkus RM3 mahal! Dah diberi diskaun tolak pula - “Tak mahu, kau tidak ikhlas”

Seorang peniaga nasi lemak melayani seorang pelanggan wanita di gerainya. -Gambar hiasan kiri

LUMRAH dalam bisnes, peniaga perlu berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan.

Lebih-lebih apabila wujudnya pelanggan yang suka mengeluh tentang harga makanan dijual yang dianggap mahal.

Begitulah yang dihadapi oleh seorang peniaga yang mana nasi lemak ikan bilis yang dijual pada harga RM3 dikatakan tidak setanding kos bahan mentah.

"Mahalnya, kau jual sikit saja. Terlalu mahal, terus-terang. Sebab ikan bilis pun RM35 saja satu kilogram," kata pelanggan wanita itu, menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok.

Nasi lemak ikan bilis dijual RM3 sebungkus.

Enggan melatah, peniaga berkenaan memaklumkan harga nasi lemak yang ditetapkan adalah munasabah, ditambah pula faktor semasa kenaikan harga barang.

"Saya pun jual, biasa masak. Ini memang saya mahu tegur... memang kita cari untung, tapi berpada-pada," balas pelanggan itu lagi.

Walaupun kurang selesa dengan nada dan cara percakapan pelanggan tersebut, dia tetap melayan wanita itu membeli tujuh bungkus nasi lemak ikan bilis yang keseluruhannya berharga RM21.

Pelanggan wanita berkenaan sempat meminta diskaun RM1 ketika peniaga itu hendak memberikan wang baki RM29 setelah menerima not RM50.

Peniaga itu kemudian membalasnya secara baik: "Jangan begitu kak, ini bisnes."

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan tiba-tiba tak balas mesej, ‘bluetick’ di WhatsApp... Berubah sikap lepas minta bayar deposit 4,500 biji cromboloni

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga sekolahkan pelanggan kedekut! Laksa Johor RM150 dicemuh ‘mahal’, anggap modal tak seberapa

Sebaliknya, pelanggan itu terus merungut dengan respons yang diberikannya.

"Tidak murah hati kau. (Ya) Business is business. Kadang-kadang kita mahu tarik pelanggan kan," kata wanita itu lagi.

Pelanggan itu memeriksa makanan yang dijual di gerai.

Enggan situasi tegang berpanjangan, peniaga itu kemudian akur dengan permintaan pelanggan dan lantas memberikan diskaun RM1.

"Tidak mahu, sebab kau tidak ikhlas," ujar pelanggan wanita itu sebelum beredar.

Kos bahan mentah makin naik. Berapa saja untung kami jika nak dibandingkan dengan penat-lelah kami berjam-jam.

PENIAGA NASI LEMAK

Menurut peniaga itu, hanya Allah yang mengetahui sama dia ikhlas atau tidak ketika berniaga.

"Tapi sepanjang bantu mama berniaga dan berniaga sendiri, tiada dalam kamus hidup saya 'tidak ikhlas', apatah lagi 'tidak murah hati'.

"Orang yang kenal saya, kenallah. Tapi saya bukan minta untuk dikenali, cuma minta difahami," katanya.

Peniaga disindir tidak ikhlas apabila memberikan diskaun seperti yang diminta.

Menurut peniaga itu, dia berniaga nasi lemak turun-temurun sejak ibunya mengusahakan bisnes tersebut selama 24 tahun, dari nasi lemak berharga RM1 kepada RM3.

"Proses membuat nasi lemak bukan senang macam goreng nasi. Kos bahan mentah yang makin naik. Berapa saja untung kami jika nak dibandingkan dengan penat-lelah kami berjam-jam.

"Kami sangat jaga kualiti. Masak nasi pun bukan guna santan murah. Semua masakan kami gunakan bahan yang mencukupkan rasa ia sebagai nasi lemak," kata peniaga itu.

Mengenai video yang dimuat naik membabitkan pelanggan tersebut, dia turut mendakwa wanita berkenaan juga seorang peniaga.

"Kes ini, makcik ini juga seorang peniaga. Saya tidak tahu apa motif dia datang sergah saya macam ni. Adakah untuk menjatuhkan semangat saya, mungkin?

"Semoga dia tidak ulang sikap dia terhadap peniaga lain. Ya Allah, perluaskan lagi rezeki kami seluas lautanMu dan jauhkanlah kami dari sifat hasad dengki sesama manusia," katanya peniaga itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain