suria

Pengantin ‘Ultraman Taro’ tunjuk wajah sebenar... Status kerjaya tak halang lelaki ini jadi adiwira alam fantasi di hari bahagia

Hafiz yakin mengenakan kostum Ultraman Taro pada majlis resepsi.

VIDEO seorang pengantin lelaki yang memakai kostum adiwira Ultraman Taro ketika diarak masuk ke dewan bersama pasangannya meraih perhatian ramai di TikTok.

Ketika dihubungi mStar, Mohamad Zulhafizie Senin, 26, dari Miri, Sawarak, memberitahu kostum bernilai lebih RM2,000 itu ditempah ketika dia mula mengenali isterinya, Nur Qayyimah Ahmad Rosli, 29, sekitar Julai tahun lalu.

"Kostum ini saya tempah di Indonesia, nilainya lebih RM2,000 termasuk kos penghantaran. Saya dah janji dengan isteri ketika mula-mula kenal dia.

"Saya tanya, kamu terima ke kalau saya jadi Ultraman? Dia cakap dia mahu. Jadi saya tempah baju itu masa kenal dia, untuk dipakai pada majlis perkahwinan kami," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Hafiz, pensyarah Kolej Komuniti Miri itu memaklumkan dia diijabkabulkan pada Sabtu, manakala persandingan diadakan sehari selepas itu.

Jelas Hafiz, dia mengenakan pakaian tradisional ketika akad nikah dan hanya mengenakan kostum Ultraman untuk majlis persandingan.

hafiz2

Kostum Ultraman Taro itu bernilai lebih RM2,000.

Bercerita lanjut, Hafiz berkata dia merupakan peminat siri Ultraman sejak usia kanak-kanak, malah turut mengumpul pelbagai koleksi dan kostum.

Tambah Hafiz, dia menemui keserasian dengan isterinya kerana mempunyai minat sama malah mereka bertentang mata buat kali pertama ketika menyertai sebuah acara cosplay.

Masa kecil dulu tak mampu nak beli... apabila dah dewasa kita timbulkan balik zaman kanak-kanak.

MOHAMAD ZULHAFIZIE SENIN

"Saya memang minat sejak kecil. Saya kumpul permainan, saya juga ada 10 kostum yang dibeli dan dibuat sendiri. Saya juga selalu masuk pernadingan cosplay, tapi kini dah bergelar juri.

"Isteri pun minat juga. Kami kenal di acara cosplay. Malah, dia juga seorang gamer dan suka kumpul permainan seperti saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mekap sendiri, pakai baju lama! Pengantin baharu selamat ‘kahwin bajet’, kos bawah RM1,000 - “Saya tak pernah fikir tentang orang”

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab lelaki ini masih simpan baju nikah arwah isteri... Tak mungkin lepaskan walau ditawar harga 5 kali ganda

"Jadi di situ kami dapat keserasian dan persefahaman," ujarnya yang turut berharap anak-anaknya dapat menyambung minat dan hobi itu pada masa akan datang.

Mengulas tentang video tular di TikTok, Hafiz berkata dia gembira dengan penerimaan positif dan tidak ambil hati dengan komen-komen negatif yang dilemparkan segelintir netizen.

hafiz 3

Hafiz dan isteri berkenalan di sebuah acara pada tahun lalu.

"Saya bersyukur sebab keluarga memang beri sokongan terhadap minat saya. Mereka selalu suruh saya masuk pertandingan. Jadi apabila tengok komen negatif, saya tak kisah.

"Isteri saya juga cakap benda sama, dia kata tak perlu pedulikan komen negatif. Orang tak faham. Masa kecil dulu tak mampu nak beli. Apabila dah dewasa, kita timbulkan balik zaman kanak-kanak tu sekarang," ujarnya.

Untuk rekod, video tular Hafiz yang memakai kostum Ultraman menerima hampir 4 juta tontonan selepas ia dikongsi di TikTok oleh rakannya Red Rangers Penang pada Isnin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain