suria

Sejak tingkatan 3 tak pernah lulus... Pelajar ini buat kejutan dapat A subjek Matematik dalam SPM, mengalir air mata jantan!

Aqil terkejut melihat keputusan yang diperoleh bagi subjek Matematik.

SEJAK keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi calon tahun 2023 diumumkan pada Isnin, pelbagai keletah dan reaksi pelajar, ibu bapa dan guru dikongsikan di media sosial.

Begitu juga dengan pelajar bernama Muhammad Aqil Azhari ini yang menunjukkan reaksi terkejut seolah-olah tidak percaya setelah melihat keputusan peperiksaannya sendiri.

Menerusi perkongsian di TikTok, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa, Hulu Selangor itu pada mulanya dilihat tergamam tatkala melihat sijil keputusan SPM yang diberikan kepadanya.

"Aqil, happy tak? Dia tak sangka tu," ujar individu yang merakam video tersebut.

Tangkap layar video yang tular di TikTok.

Aqil kemudiannya meneliti semula semua gred bagi setiap mata pelajaran yang diambilnya.

Kali ini matanya tertumpu pada satu mata pelajaran yang paling 'ditakutinya' iaitu Matematik.

Gara-gara terlalu terharu dengan apa yang diperolehi, Aqil menangis lalu merebahkan wajahnya pada kerusi kosong di sebelahnya.

Susulan video yang mendapat perhatian ramai itu, Aqil tampil menjelaskan punca dia menunjukkan reaksi sedemikian pada ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak tengok budak kelas tercorot ambil slip keputusan SPM, gempak daripada dijangka!

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan SPM cemerlang, biasa-biasa dan corot... Penting untuk pelajar, mak ayah tahu 8 perkara ini!

Menurut Aqil dalam penjelasan di ruangan komen, dia sebelum ini tidak pernah mendapat gred A bagi subjek tersebut.

"Owner hadir. Untuk pengetahuan semua, Matematik tak pernah lulus sejak tingkatan tiga.

"Saya menangis (dalam video) tapi sebab bercampur gembira... tak jadi nak sedih," jelasnya di ruangan komen.

Hasil semakan di TikTok milik Aqil sendiri, dia yang mengambil sembilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM lalu memperoleh keputusan tiga A , satu A-, empat B, dan satu subjek gagal.

Saya menangis, tapi sebab bercampur gembira... tak jadi nak sedih.

AQIL

CALON SPM 2023

Jika diteliti pada ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah atas usahanya sehingga berjaya memperoleh keputusan memberangsangkan itu.

Rata-rata warganet di ruangan komen turut berkongsi pengalaman mereka yang sebelum ini memperoleh keputusan tidak seperti dijangkakan.

"Masalahnya kau nangis ke gelak? Aku yang keliru. Apa-apa pun tahniah dik.

"Saya dulu terkejut subjek tak pernah lulus pun tiba-tiba dapat A. Cikgu pun terkejut sebab saya bukan pelajar target cemerlang.

Komen netizen pada hantaran di TikTok.

"Percubaan SPM anak saya hanya dapat tiga A saja. Tapi apabila SPM, semua mata pelajaran A. Saya punya terkejut. Tapi cikgu dia memang kata dia boleh," ujar netizen di ruangan komen.

Seperti yang kita sedia maklum, Matematik merupakan antara subjek yang sukar untuk dikuasai bagi sesetengah pelajar di sekolah.

Maka tidak hairanlah sekiranya pelajar tersebut begitu gembira sehingga mengalirkan air mata apabila melihat keputusan SPM miliknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain