SEORANG wanita bertindak membuat satu hantaran terbuka kepada Sekolah Menengah Raja Muda Musa di Kuala Kangsar, Perak selepas berlaku satu kejadian yang tidak disangka-sangka pada Jumaat. Menerusi perkongsian tersebut yang dibuat di Facebook, Ina Arham menjelaskan punca empat pelajar sekolah itu lewat masuk ke sekolah. Dia yang dipercayai menetap di Kuala Kangsar berkata, pelajar-pelajar berkenaan telah membantunya sehingga enjin motosikalnya, jenis Yamaha Sport 110 SS berjaya dihidupkan semula. "Assalamualaikum dan selamat pagi cikgu. Cikgu jangan marah mereka ya. Kisahnya empat orang ni lewat masuk sekolah pagi ni sebab tolong saya. "Motor tiba-tiba 'mati'. Nasib dekat dengan Petronas (stesen minyak) jadi terus masuk sana. Empat pelajar ini masih membaiki motosikal Ina yang rosak walau jam sudah menunjukkan pukul 7.33 pagi. "Lama juga saya duduk belek-belek motor ni, sampailah empat orang anak-anak ni tegur, motor tak boleh start ke makcik? Saya jawab ya, jadi mereka tawar diri nak tengokkan," jelasnya. Menurutnya yang senang disapa Ina, kumpulan pelajar berkenaan tetap berusaha membantunya walaupun perlu mengambil masa yang agak lama untuk membaiki motosikalnya. Jika diteliti pada dua foto yang dimuat naik Ina, ia masing-masing diambil pada pukul 7.26 dan 7.33 pagi, yang mana waktu itu sepatutnya semua pelajar sesi pagi sudah tiba di sekolah. Bimbang mereka bakal dimarahi guru kerana terlambat, Ina berkata dia beberapa kali meminta pelajar-pelajar tersebut segera ke sekolah. ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin kejar flight ke Sarawak sempat bantu tukar tayar kereta doktor, pakcik berkopiah - “Bila dia nak sampai Melaka kalau macam tu” ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan terbantut! Tayar kereta cikgu terbenam ketika jemput calon UPSR ke sekolah... tindakan guru besar tak disangka-sangka! "Masa berjalan, saya cakap korang nanti lambat masuk sekolah ni. Mereka cakap tak apa. Dua hingga tiga kali saya cakap kalau tak boleh tak apa. Tinggal je (motor) korang pergi masuk sekolah. "Tapi budak berempat ni masih berusaha sampai boleh hidupkan motor saya. Rasanya dalam 10 ke 15 minit juga mereka dok belek motor tu. "Terima kasih sangat-sangat. Alhamdulillah saya sampai kedai dengan selamat, Saya doakan mereka berempat dirahmati Allah sentiasa, cemerlang dalam belajar dan berjaya dunia dan akhirat," ujarnya sambil menitipkan doa. Terharu melihat sikap yang ditunjukkan keempat-empat pelajar, Ina memuji cara didikan ibu bapa serta guru-guru mereka. Tapi budak berempat ni masih berusaha sampai boleh hidupkan la motor saya. INA ARHAM "Tahniah juga buat kedua-dua ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak ini. Juga terima kasih buat guru-guru anda yang mendidik. Saya yakin ini hasil didikan dan tunjuk ajar ibu bapa dan guru-guru. "Sebelum terlupa, terima kasih juga kepada pekerja Petronas Jalan Baru yang bagi pinjam kain untuk anak-anak ni buat kerja. "Buat cikgu Sekolah Menengah Raja Muda Musa, jangan denda mereka berempat ni ya. Terima kasih cikgu," katanya lagi. Hantaran tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang kagum dengan sahsiah pelajar berkenaan sebagaimana diceritakan Ina. Komen netizen pada hantaran asal. Selain itu, terdapat beberapa netizen turut tampil mendedahkan mengenai kebaikan pelajar-pelajar tersebut. "Anak kawan saya. Memang minat bab baiki motor ni kak Ina. "Baju biru tu Hakimi Haikhal kan. Memang rajin tolong cikgu dan sangat ringan tulang masa sekolah rendah dulu. "Tahniah ibu dan bapa berjaya didik anak-anak. Sudah la handsome, beradab pula tu," komen netizen pada hantaran asal. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube