suria

Ibu reda abang long hanya dapat 1A dalam SPM, percaya rezeki anak - “Add Math lulus, Matematik A bang!”

Iza dan suami meluahkan rasa bangga dengan keputusan SPM anak mereka.

BAIK atau buruk, setiap ibu bapa pastinya mempunyai cara tersendiri untuk menghargai usaha anak masing-masing.

Begitulah mesej yang cuba disampaikan menerusi perkongsian video Nizawati Mohd Ajis atau Iza selepas menunjukkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak lelakinya, Muhammad Aidil Rafiee Azahar pada Isnin.

Kata ibu berusia 48 tahun itu, dia berpuas hati dengan keputusan peperiksaan anak sulungnya, Muhammad Aidil Rafiee Azahar yang memperoleh gred 1 A, 3 B+, 2 B, dan 3 C+ bagi SPM 2023.

"Kami cuma tengok keputusan SPM dalam talian saja. Tapi dia suruh saya yang semak dulu dan beritahu pada dia. Saya dan suami pun tengokkan.

"Anak saya ada cakap dulu... kalau boleh dia nak dapat 5 A ke atas jadi boleh naik pentas ambil sijil pada 9 Jun dekat sekolah nanti. Tapi anak saya tak dapat, dia cuma peroleh 1 A saja.

Tangkap layar video yang tular.

"Jadi kita sebagai mak bapa ni terima keputusan anak. Saya pun tak kisah la ada gred A atau tak. Alhamdulillah walaupun cuma 1A tapi keputusan secara keseluruhan semua okey juga," ujarnya kepada mStar.

Kisah dua beranak ini mendapat perhatian ramai selepas Iza gagal menahan emosi ketika menyerahkan keputusan SPM kepada anaknya.

Dalam nada tangisan teresak-esak, Iza melahirkan rasa syukur dengan keputusan yang diperoleh Aidil tanpa sebarang prejudis.

"Apa pun yang berlaku itulah keputusan abang yang terbaik. Tak apa tak banyak A, ibu tak kisah... tapi semua lulus.

"Tahniah... Matematik Tambahan lulus, Matematik A bang!" katanya kepada si anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak tingkatan 3 tak pernah lulus... Pelajar ini buat kejutan dapat A subjek Matematik dalam SPM, mengalir air mata jantan!

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita mohon maaf, serba salah jadi punca pelajar lewat ke sekolah! Puas ‘halau’, tetap nak bantu baiki motor

Dalam pada itu Iza berkata dia percaya anaknya mempunyai masa depan yang cerah jika terus berusaha pada masa depan.

"Kalau nak dikira sebelum ni, ada juga beberapa subjek yang gagal setiap kali peperiksaan. Subjek yang kita target lulus saja pun Aidil dapat kredit (gred C) untuk SPM.

"Masa nak tunjuk keputusan dekat Aidil, saya pun rakam video tu nak buat kejutan. Tapi tak tahu la... hati seorang mak. Tak sedar apa saya cakap, tahu-tahu dah menangis sebab gembira sangat.

"Keputusan dia tu mungkin biasa saja bagi orang lain, tapi saya tengok sendiri usaha anak sulung saya ni begitu tekun belajar nak dapatkan keputusan seperti itu," jelasnya.

Mengimbas kembali apa yang berlaku pada Mei tahun 2022, Iza memberitahu Aidil yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar, Johor itu pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Susulan kejadian itu, anak pertama daripada tiga adik beradik ini mengambil cuti sakit selama tiga bulan daripada mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Jangan kita letak harapan terlalu tinggi... jika dia gagal kali ini ia tak bermakna tak boleh berjaya langsung.

NIZAWATI

Oleh yang demikian, Aidil terpaksa berusaha lebih keras untuk 'mengejar' silibus bagi sembilan mata pelajaran aliran Sains tulen diambil selepas kembali ke sekolah.

"Walaupun dia banyak ketinggalan lepas kemalangan tu, Aidil memang pulun belajar. Lagi-lagi masa dekat nak SPM tu. Dia tak rehat sangat sebab ikuti kelas tambahan.

"Saya pernah pesan dekat dia sebelum ni sebab kasihan tengok dia terlalu berusaha. Tapi saya pesan buat yang terbaik... kalau dapat A tu dikira bonus.

"Apa pun keputusan yang dia dapat, saya akan berbangga. Saya tak nampak dia main-main langsung masa tingkatan lima ni. Banyak duduk dekat rumah dan belajar je," ujar si ibu lagi.

Iza (belakang, kiri) dan ahli keluarganya.

Berkongsi mengenai perancangan masa depan anaknya, Iza berkata dia dan suami memberi sokongan penuh terhadap minat Aidil untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Dalam pada itu, Iza yang menetap di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi di Johor ini turut menitipkan pesanan kepada golongan ibu bapa sekiranya berdepan situasi sama sepertinya.

"Bagi saya... apa juga keputusan yang anak dapat, kita kena sokong. Jangan kita letak harapan terlalu tinggi. Jika dia gagal kali ini ia tak bermakna tak boleh berjaya langsung.

"Macam saya sendiri pun, dulu keputusan SPM teruk. Nak sambung pengajian tingkatan enam pun tak dapat sebab zaman dulu hidup susah. Jadi apabila Aidil dapat yang terbaik, kita sokong sepenuhnya.

"Kalau dia mampu buat, teruskan. Kalau dia tak mampu, kita boleh berbincang. Untuk adik-adik dia pun, saya harap lebih bersemangat apabila tengok abang dia. Jadikan keputusan abang sebagai satu contoh untuk buat lebih baik," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain