suria

Sangat positif, tiada kekesalan! Remaja gagal semua subjek SPM beri sebab tak perlu risau, yang penting ada ‘progres’

Keputusan SPM perlu dilihat sebagai perkara penting oleh setiap pelajar. -Gambar hiasan (kanan)

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu tiket berharga untuk memudahkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

Jika cemerlang keputusan, lebih mudahlah untuk lepasan SPM memohon kursus yang diminati di institut pengajian tinggi (IPT).

Justeru, tidak hairanlah apabila calon SPM berlumba-lumba belajar kerana masing-masing mempunyai matlamat yang ingin digapai seterusnya dapat menjamin kehidupan di masa depan.

Namun seorang remaja lelaki menjadi perhatian di laman sosial apabila dilihat berpuas hati dengan keputusan SPM yang diperolehinya, memaparkan deretan gred G yang bermaksud gagal semua subjek.

Slip keputusan SPM remaja berkenaan.

Malah untuk subjek Pendidikan Seni Visual dan Perniagaan, remaja tersebut mendapat gred T yang bermaksud tidak hadir untuk menduduki peperiksaan.

Lebih membimbangkan apabila remaja tersebut menulis SPM bukanlah penentu segalanya, barangkali mahu menyedapkan hati sendiri.

"Alhamdulillah bersyukur apa kita dapat. Orang yang pintar belum tentu sukses, tapi orang yang mahu berusaha pasti mampu menggapai kejayaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar raih 6A 2B dalam SPM dedah punca ditolak masuk kelas paling belakang - “Mereka makan nasi, saya pun sama”

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak tengok budak kelas tercorot ambil slip keputusan SPM, gempak daripada dijangka!

"Orang mahu berusaha yang akan mendapat kejayaan. Jangan pernah menyerah dan percayalah progres yang kalian sudah lakukan," ujar remaja itu melalui satu hantaran di laman TikTok sambil berkongsi slip keputusannya.

Berdasarkan slip yang dikongsi, dia dipercayai belajar di sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor dan mengambil lapan subjek.

Malah, ada juga netizen mendakwa ayat yang dikongsi bukan ditulis olehnya sendiri tetapi diambil dari media sosial orang lain.

Keputusan SPM mampu menentukan masa depan seseorang. -Gambar hiasan

Dalam pada itu, seorang wanita di laman X meluahkan rasa risau dengan cara generasi belia hari ini berfikir.

"Sedih apabila nampak ada anak muda kita berfikiran macam ni. Sebagai orang yang lebih tua, ini nasihat saya. Jangan bangga dengan kegagalan adik, ia bukan satu pencapaian.

Gelap masa depan adik kalau begini, nak buat apa untuk sara hidup?

WARGA MAYA

"Apatah lagi hendak memandang rendah ke atas kejayaan orang lain. Nak positif tu biar berpada-pada.

"Fikir macam ni je, kalau SPM pun boleh gagal, apatah lagi benda-benda yang besar adik akan hadap dalam kehidupan selepas ni. Macam mana nanti agaknya?" soal wanita itu memberikan teguran.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, warga maya berpendapat apa yang diperkatakan remaja itu dibimbangi menjadi contoh buruk dan mempengaruhi calon SPM pada tahun-tahun seterusnya.

"Gelap masa depan adik kalau begini, nak buat apa untuk sara hidup? Tak akan setakat kerja buruh atau jadi pempengaruh media sosial dengan membuat content kurang cerdik.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

"Ini bukan soal pandai atau bodoh, SPM ni kau jawab berdasarkan apa yang kau baca dalam buku teks dan apa yang kau dengar cikgu mengajar dalam kelas. Kalau adik ada sekelumit usaha, mesti tak akan dapat straight G macam ni. Cemerlang atau tidak belakang cerita.

"Ni adik cuba jawab ke tak sebenarnya, atau masuk dewan peperiksaan terus tidur? Risau anak bangsa kita, satu-satunya harapan untuk adik ni adalah pergi ambil aliran kemahiran. Usaha untuk jadi manusia berguna kepada masyarakat, belajar buat sesuatu.

"Saya kalau dapat keputusan SPM seteruk ni memang sorok je, macam mana adik ni boleh cari kekuatan untuk buat posting dekat TikTok," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain