suria

Pelajar raih 6A 2B dalam SPM dedah punca ditolak masuk kelas paling belakang - “Mereka makan nasi, saya pun sama”

Ijan bersyukur meraih keputusan membanggakan dalam peperiksaan SPM.

USAHA tidak pernah mengkhianati hasil.

Begitulah pegangan seorang pelajar kelas tercorot yang meraih keputusan 6A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru diumumkan pada Isnin.

Menurut Muhammad Hifzhan Fahmifaizal yang mesra disapa Ijan, dia tidak pernah putus asa untuk menimba ilmu meskipun ditempatkan di kelas paling belakang di sekolahnya.

ijan3

Ijan (paling kiri) menitipkan ucapan terima kasih atas jasa guru serta sokongan rakan-rakan yang membantunya meraih keputusan membanggakan dalam SPM.

"Saya merupakan pelajar kelas belakang. Di sekolah saya ada sembilan kelas, saya kelas kesembilan. Alhamdulillah dapat 6A untuk subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Perniagaan.

"Keputusan ini jauh lebih baik berbanding peperiksaan percubaan SPM yang mana saya hanya dapat 1A. Bagi saya, pelajar kelas belakang sama saja dengan pelajar kelas depan. Mereka makan nasi, saya pun makan nasi.

"Jadi kalau mereka boleh berjaya, saya pun boleh berjaya. Tapi nak jelaskan, saya belajar di kelas paling corot sebab saya minat subjek Perniagaan. Subjek itu hanya ada untuk dua kelas paling belakang saja," ujarnya kepada mStar.

Di sekolah saya ada sembilan kelas, saya berada di kelas kesembilan.

MUHAMMAD HIFZHAN FAHMIFAIZAL

Menurut penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussesin Onn, Kuala Lumpur itu, dia sentiasa memberi fokus 100 peratus setiap kali berada di dalam kelas.

"Saya seorang yang susah untuk belajar sendirian sebab jenis mudah mengantuk. Jadi teknik yang saya amalkan adalah beri fokus penuh setiap kali berada di dalam kelas.

"Selain itu, saya juga sentiasa hadir ke kelas tambahan. Apa yang bagusnya, kelas tambahan banyak bagi tip berguna untuk kita pakai dalam peperiksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak tengok budak kelas tercorot ambil slip keputusan SPM, gempak daripada dijangka!

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak tingkatan 3 tak pernah lulus... Pelajar ini buat kejutan dapat A subjek Matematik dalam SPM, mengalir air mata jantan!

"Jadi, kita tak boleh banyak main-main apabila datang kelas. Kena fokus sebab belajar di rumah hanya 20 peratus, lagi 80 peratus ilmu kita dapat daripada cikgu ketika dalam kelas," ujarnya.

Bercerita mengenai perancangannya, Ijan mendedahkan dia menyimpan hasrat untuk bergelar guru sekiranya dapat menyambung pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Saya bercita-cita untuk jadi cikgu, itu adalah minat saya. Saya dalam perancangan untuk sambung pengajian di UPSI. Saya teringin nak jadi cikgu Bahasa Melayu atau Muzik.

ijan 2

Doa ibu bapa merupakan 'senjata utama' dalam perjuangan Ijan untuk meraih kejayaan.

"Lagi pun saya memang minat buat persembahan. Kalau ada apa-apa acara di sekolah, memang saya akan menyanyi. Saya juga boleh main gitar. Saya belajar daripada ayah," ujar remaja itu yang menetap di ibu negara.

Menurut Ijan, bapanya merupakan seorang anggota tentera darat, manakala ibunya adalah suri rumah.

Selain fokus terhadap pengajian, Ijan berkata kejayaan yang diraih juga datang daripada sokongan keluar ga, guru dan rakan-rakannya.

ijan 5

Video ketika Ijan membuka keputusan peperiksaan SPM tular di aplikasi TikTok.

"Saya sentiasa minta doa mak ayah. Mereka beri dorongan, tapi tak pernah memaksa. Mereka mahu saya belajar dengan tenang tanpa tekanan.

"Saya juga berterima kasih dengan cikgu-cikgu yang tak pernah penat beri ilmu bermanfaat, tak mungkin saya dapat keputusan begini tanpa mereka.

"Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang selalu beri sokongan dan ada bersama ketika jatuh bangun saya," ujar Ijan lagi.

ijan 4

Ijan berbakat dalam bidang muzik.

Pada Isnin, video memaparkan Ijan yang tersenyum gembira selepas menerima keputusan SPM tular di TikTok selepas ia dikongsi oleh gurunya.

Video itu meraih pujian netizen kerana ia membuktikan pelajar kelas corot juga mampu meraih kejayaan jika mereka rajin berusaha untuk mengejar impian.

Video itu meraih 1.2 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia dimuat naik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain