suria

Guna selfie sendiri ‘tundukkan’ pelanggan baran! Penghantar makanan ini terpaksa guna taktik unik demi cari rezeki

Hazrat sering bersifat santai dalam menjalankan pekerjaannya.

UMUM mengetahui pekerjaan sebagai penghantar makanan memerlukan ketahanan dan kesabaran yang tinggi.

Cabaran seperti meredah hujan dan panas serta berhadapan dengan kerenah pelanggan yang bermacam rupa pastinya melelahkan diri.

Tular di media sosial tentang pemuda dikenali sebagai Muhammad Hazrat Akil, 23, kerana sering kelihatan ceria ketika menghantar makanan kepada pelanggan di sekitar Johor Bahru, Johor.

Sebahagian perbualan Hazrat yang melucukan.

Meskipun pelbagai rintangan menanti, Hazrat tetap bersemangat menyantuni pelanggan menerusi perbualan atas talian di aplikasi penghantaran makanan, selain gemar menghantar swafoto dirinya.

Bercerita lanjut kepada mStar, Hazrat berkata dia berbuat demikian kerana mahu melembutkan hati pelanggan yang tidak dapat diduga tahap emosi mereka.

"Banyak perangai saya dah jumpa kalau pasal pelanggan ni. Pernah satu kes tu, suami isteri bergaduh depan saya waktu nak ambil makanan. Sebab tu saya cuba hiburkan pelanggan dengan saya punya lawak jenaka.

ARTIKEL BERKAITAN: Disindir kawan gara-gara tak beli kereta, wanita ini ada prinsip sendiri... Selesa naik e-hailing, rasa macam bayar pemandu peribadi

ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang wanita minta susu badan, mahu stok diperah segar! Pemandu e-hailing cuak berdepan kemahuan pelik

"Ketegangan dengan pelanggan biasanya timbul apabila pesanan lewat tiba, selalunya berpunca daripada vendor lambat siapkan makanan. Benda tu di luar kawalan kami sebagai rider, tugas kami hanya mengambil dan menghantar.

"Lagi parah kalau hari tu hujan, lampu isyarat banyak merah dan jalan sesak. Pelanggan pula lapar, memang senang mengamuk... cara ni sedikit sebanyak dapat membantu menyejukkan keadaan.

"Saya boleh katakan apabila wujudnya komunikasi dua hala, pelanggan akan lebih tenang. Apabila saya guna taktik ni, ada pelanggan yang pada awalnya hampir naik angin tapi terus tak jadi marah, siap tersipu-sipu malu ketika makanan sampai," kata Hazrat.

Tujuan saya buat ni bukan sahaja nak ambil hati pelanggan, tapi untuk gembirakan diri saya juga.

HAZRAT AKIL

Selain menghantar gambar, Hazrat juga gemar menyunting sticker yang mencuit hati untuk dihantar kepada pelanggan.

"Sambil tunggu makanan siap dekat restoran atau gerai, saya akan edit sticker. Senang dan sekejap je nak buat, pelanggan pun terhibur barulah semua senang hati.

"Tujuan saya buat ni bukan sahaja nak ambil hati pelanggan, tapi untuk gembirakan diri saya juga, sebab personaliti saya memang seorang yang pelawak. Tambah bersemangat nak masuk kerja setiap hari.

"Seterusnya kalau hubungan baik dengan pelanggan, tip yang saya dapat cenderung untuk lebih tinggi dan rating pun lima bintang, sekali gus job lebih banyak masuk selepas ni.

Antara 'selfie' yang dihantar Hazrat.

"Beginilah apa yang saya dapat lihat hasil daripada inisiatif saya, bukanlah saya beria-ria kosong je," ujar Hazrat yang mula bekerja sejak tahun 2021.

Walaupun begitu, Hazrat mengakui teknik tersebut tidak mampu untuk 'menyelamatkan' diri daripada pelanggan yang panas baran.

"Pelanggan ni kalau dia nak marah, dia akan marah juga. Ada sekali tu saya hantar makanan ke sebuah hotel mewah, pelanggannya orang Singapura.

"Dia suruh hantar makanan ke lobi tapi masalahnya hotel tu tak bagi masuk ke dalam, boleh sampai pondok pengawal je. Saya telefon pelanggan tu pula tak berjawab. Jadi saya cuma tinggalkan makanan dekat guard.

Hazrat sangat bersyukur jika ditemukan dengan pelanggan yang memahami.

"Ketika saya dalam perjalanan balik, tiba-tba pelanggan tu call, dia marah saya dalam bahasa Inggeris. Kencang betul bunyinya, saya cuma dapat tangkap perkataan macam stupid dan you so slow.

"Nak balas balik, saya pula kurang fasih berbahasa Inggeris. Saya biarkan je la kalau dia nak report, apa-apa saya jelaskan semula situasi sebenar dekat syarikat, gambar pun ada. Itulah realiti kerja bidang ni," kata Hazrat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain