ACARA yang dianjurkan melibatkan orang awam pasti mendapat sambutan meriah. Gempar di laman X apabila sebuah program larian dipercayai merentas desa dilihat mempunyai jamuan makan besar-besaran dengan pelbagai juadah enak. Menerusi satu video yang tular, kelihatan kanopi seakan gerai makan didirikan di setiap 'checkpoint' sehingga membuatkan ramai berasa teruja. Paluan kompang dan jamuan makanan antara keunikan acara larian ini. Walaupun begitu, timbul juga kerisauan dalam kalangan warga maya tentang risiko kesihatan apabila makanan dan minuman diambil ketika tubuh sedang dalam mod aktif. "Tak risau ke badan tengah berpeluh-peluh terus makan, siap minum air sejuk lagi tu. Takut badan terkejut je, bermacam jenis sakit boleh datang," kata seorang pelayar menyuarakan kebimbangan. Bercerita lanjut kepada mStar, seorang peserta acara tersebut iaitu Syauti Abdul Rahim, 37, menjelaskan ia bukanlah program merentas desa seperti sangkaan ramai, sebaliknya 'fun run' yang bersifat santai. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sangka sirap percuma mampu bahagiakan ramai orang! Anak sendiri sampai merajuk tak sempat rasa ARTIKEL BERKAITAN: ‘Rare’ kambing sertai hari sukan sekolah, tiba-tiba ‘Abang’ terlepas... kecoh dibuatnya! Menurutnya, program 'fun run' tersebut dianjurkan hasil kolaborasi penduduk dengan SMK Tiram Jaya bertujuan mempromosikan kawasan perkampungan di Tanjong Karang, Kuala Selangor kepada pengunjung luar. "Penduduk buat program supaya sektor pelancongan di Tanjong Karang lebih rancak, salah satu tentatifnya adalah fun run yang saya sertai tu. Saya masuk tu September 2023, tak sangka boleh viral bila saya upload video bulan Mei hari tu. "Fun run ni sejauh tujuh kilometer (km), tiada masa cut off, tiada juga pemenang, naib juara dan tempat ketiga. Waktu hari kejadian, ramai yang boleh habiskan kesemua tujuh checkpoint dalam masa dua jam, tak perlu perah keringat pun. Ia bukan acara larian yang kita kena try hard, lebih kepada meronda kawasan. SYAUTI ABDUL RAHIM "Laluan fun run ni menyusuri kawasan kampung yang cantik belaka pemandangannya, sejuk mata ni. Saya dengan peserta lain tak terkejar-kejar waktu tu, ramai yang berjalan je sebab tiada hadiah dipertaruhkan. "Setiap satu kilometer akan ada satu checkpoint, waktu sampai checkpoint pertama saya dah dihidangkan dengan kuih seperti koci dan karipap," kata Syauti yang merupakan Presiden Kelab Larian Sungai Buloh. Tambah Syauti, ada juga checkpoint yang menyediakan pusat hiburan untuk peserta berkaraoke sambil menikmati pemandangan di Tanjong Karang. Panorama sawah padi di sekitar laluan larian. "Checkpoint ketiga tema makanannya bergoreng, ada keropok lekor dan ayam goreng tepung. Tukang masak semua lengkap ada. Ada juga checkpoint yang sediakan air minuman pelbagai warna dan rasa, puas tekak ni. "Konsep makanan dan minuman di checkpoint ni adalah seperti bufet, kita boleh ambil sebanyak mana yang kita nak dan mereka akan terus-menerus tambah. Bayaran cuma diperlukan untuk yuran kemasukan. "Macam saya daftar awal, harganya cuma RM39. Kalau yuran penuh, RM70. Bulan September tahun ni mereka akan buat lagi fun run ni, tapi pendaftaran dah ditutup sebab slot penuh. "Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan, semua lapisan umur boleh masuk sebab ia bukan larian yang kita kena try hard, lebih kepada meronda kawasan," ujar Syauti yang menetap di Bandar Seri Coalfield, Sungai Buloh. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube