suria

Jumpa wang tunai, barang kemas bernilai 60k dalam rumah tinggal... Jiran-jiran buka cerita, arwah tak berkira hal duit

Faqrul (kiri) menemui wang kertas dan barang kemas ketika melakukan pembersihan di sebuah rumah.

DI sebalik sebuah rumah lama yang terbiar, siapa sangka ia tersimpan 1,001 rahsia.

Begitulah yang dilalui sekumpulan pekerja perkhidmatan pembersihan ketika melakukan rutin mereka di sebuah kediaman.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, mereka menemui banyak wang tunai ketika melakukan pembersihan.

Wang kertas ditemui di banyak tempat termasuk plastik ubat.

Berkongsi cerita, pengasas servis pembersihan itu, Mohamad Faqrul Abdullah mendedahkan wang tunai tersebut ditemui ketika mereka melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah arwah ibu seorang pelanggan di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, Selangor pada Isnin lalu.

Namun dia tidak menyangka bakal menemui jumlah wang tunai yang begitu banyak daripada kebiasaannya.

"Sewaktu kami kemas rumah arwah ibunya, banyak duit dijumpai di setiap tempat di dalam rumah. Ada yang disimpan di dalam beg, dalam baju-baju dan juga plastik ubat.

"Ia bukan pertama kali kami jumpa banyak wang ketika buat servis pembersihan, tapi ini adalah penemuan jumlah terbanyak setakat ini," katanya kepada mStar.

Pelbagai not wang kertas yang ditemui.

Mengenai pemilik kediaman berkenaan, kata Faqrul, arwah merupakan seorang ibu tunggal yang meninggal dunia pada usia 50-an akibat kemalangan jalan raya kira-kira setahun lalu, dan suaminya sudah meninggal dunia sebelum itu.

"Rumah itu tidak berpenghuni kerana anak arwah tinggal di tempat lain. Sekarang anak arwah mahu kemaskan rumah itu untuk tujuan faraid (pembahagian harta pusaka).

Arwah seorang yang suka memberi, sentiasa ingat jiran-jirannya sama ada di kiri kanan, atas atau bawah.

MOHAMAD FAQRUL ABDULLAH

PENGASAS SERVIS PEMBERSIHAN

"Bukan sekadar isu masa dan kudrat untuk kemas sendiri, tapi juga nilai sentimental. Bukan senang nak buang sendiri barang-barang milik arwah ibu, semuanya ada kenangan tersendiri untuk mereka.

"Pelanggan sudah maklumkan rumah ni ada duit yang banyak, jadi kami kena selongkar satu persatu barang-barang sebelum buang mana-mana yang tidak perlu," ujarnya sambil menambah pembersihan dilakukan oleh enam petugas.

Wang kertas yang dijumpai dikumpul sebelum diserahkan kepada anak arwah.

Faqrul berkata, dia bersama sepasukannya menemui wang kertas berjumlah kira-kira RM38,000, tidak termasuk duit not lama dan mata wang luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kampung ‘selera T20’! Cuma 1 bilik tidur, keluarga ini selesa tinggal di kediaman ‘canggih’ ala Iron Man

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan untuk mak ayah baru balik umrah! Rumah lebih kemas hasil gotong royong anak menantu, koleksi ‘Tipuware’ berjaya dibuang

"Selain wang kertas ringgit, ada juga duit mata wang dolar Singapura, rupiah (Indonesia), riyal (Arab Saudi) dan Dong (Vietnam). Jika dicampur dengan duit ringgit, ada sekurang-kurangnya RM40,000.

"Kami juga menemui barang kemas milik arwah yang dianggarkan kira-kira RM20,000," katanya yang menegaskan bahawa perkongsian video tersebut untuk menunjukkan tanggungjawab mereka memulangkan wang yang dijumpai kepada pelanggan.

Faqrul menyerahkan sejumlah wang kertas kepada anak arwah.

Mengulas lanjut, katanya, arwah dikenali dalam kalangan jiran-jiran sebagai seorang baik hati, pemurah dan sering berkongsi rezeki.

"Arwah seorang yang suka memberi, sentiasa ingat jiran-jirannya sama ada di kiri kanan, atas bawah. Ini jiran-jiran yang kami temui beritahu. Contohnya, apabila keluar beli kuih, arwah akan beli juga untuk jiran-jiran.

"Pernah juga arwah beli barang selepas tengok TV (platform beli-belah dari rumah), arwah hadiahkan barang sama untuk jiran-jiran," katanya yang difahamkan arwah pernah bekerja sebagai operator kilang.

Para petugas melakukan pembersihan di rumah arwah.

Berdasarkan kerja-kerja pembersihan di rumah arwah selama dua hari, Fakrul menyifatkan bahawa wang bukan segala-galanya bagi segelintir individu, sebaliknya mereka mahu hidup yang tenang dikelilingi jiran, rakan-rakan dan keluarga.

"Seperti arwah, orangnya pemurah dan disenangi jiran-jiran. Orang tua tak pentingkan duit, sudah cukup bagi mereka untuk hidup, makan minum. Apa yang penting bagi mereka adalah hidup tenang, perlukan teman dan kasih sayang," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain