suria

Lelaki kerja kedai fotostat 6 tahun rupanya ada PhD... Gaji tak sampai 3K, rakan kagum terintai data kewangan

Seorang rakan memiliki PhD kini bekerja di kedai fotostat. -Gambar hiasan

JALAN cerita setiap individu adalah berbeza, dan masing-masing mempunyai pilihan dalam menentukan perjalanan hidup.

Walaupun mempunyai pencapaian pendidikan yang tinggi, namun ada segelintirnya memilih untuk merendah diri malah melakukan pekerjaan yang dianggap biasa-biasa.

Begitulah kehidupan seorang pemuda yang memiliki PhD (ijazah doktor falsafah) dalam bidang kejuruteraan dan menamatkan pengajian pada 2018.

Menerusi satu perkongsian, rakannya yang berpengalaman dalam unit amanah menceritakan tentang pemuda itu yang dilihat selesa bekerja di kedai fotostat.

"Selepas tamat PhD sampai sekarang dia hanya bekerja di kedai fotostat. Gaji tak sampai RM3,000. Dia kerja dengan orang, bukan bisnes dia sendiri," tulis seorang usahawan, Mohd Yazid Ismail di Facebook.

Mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup. -Gambar hiasan

Berkongsi cerita, Mohd Yazid berkata, rakannya itu sudah enam tahu mencari rezeki di kedai fotostat.

Namun sepanjang tempoh itu, ada juga dia mencuba nasib di tempat lain, bersesuaian dengan kelayakannya yang memiliki PhD.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah luah emosi masa tazkirah, satu surau senyap ustaz mengalir air mata.... Rupanya ‘senasib’ nak 10 akhir Ramadan baru dapat job

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran ‘terpijak’ di tangga masjid... Peniaga laptop tak jangka ajakan pakcik tak dikenali solat Zohor berjemaah buka pintu rezeki!

"Katanya tak dapat panggilan untuk bekerja tempat lain yang sesuai dengan kelayakan. Dia dah pergi temuduga," ujarnya.

Ceritanya lagi, pengalaman bekerja rakannya benar-benar mengundang simpati.

"Saya baru tahu nasib dia. Ingat ke dia bekerja sebagai pensyarah. Rasa kasihan sangat," tambahnya.

Katanya lagi, rakan itu disifatkan mempunyai personaliti yang 'introvert', tidak banyak bercakap dan terlalu berhati-hati dengan setiap perkataan apabila bertutur.

Setiap individu mempunyai hala tuju masing-masing. -Gambar hiasan

Mengulas lanjut, dia bertemu rakannya pada minggu lalu untuk berurusan berkaitan pelaburan dana unit amanah.

"Dulu dia labur wang tunai, sekarang duit tu dah naik sekali ganda. Dia nak topup (tambah) pelaburan," katanya sambil menambah rakannya sudah mendirikan rumah tangga.

Dalam pertemuan itu, rakannya juga mengemaskini nombor telefon dalam sistem yang dikendalikan syarikat pengurusan unit amanah.

Rezeki ada di mana-mana, yang penting kita berusaha.

NETIZEN

Bukan sekadar itu, data kewangan rakannya juga dikemaskini dan ketika itu dia menyedari sesuatu yang tidak disangka-sangka.

"Data kewangan juga kena update dalam sistem, dia tick semua 'No'. Tak ada pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman peribadi semua tak ada.

"Pada awalnya rasa kasihan kat dia. Tapi lepas tu saya rasa kesian kat diri sendiri pula. Baik dia tak ada pinjaman langsung, hidup tenang tanpa hutang," katanya.

Mohd Yazid berkongsi kisah mengenai seorang rakannya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen berkongsi pandangan termasuklah jangan mengukur kejayaan seseorang melalui pekerjaan dan rezeki adalah anugerah Tuhan kepada hambaNya.

"Tidak semestinya kita akan bekerja dalam bidang yang kita belajar. Kita belajar sebab nak ilmu. Mungkin rezeki dalam bidang lain. Macam aku belajar teknikal, tapi sekarang aku berniaga tepi jalan. Rezeki ada di mana-mana, yang penting kita berusaha.

"Tenang hidup tanpa hutang, terutama hutang dengan bank. Bebas dari sistem.

"Betul, hidup lebih tenang dan mudah tanpa loan bank. Sekarang ni saya target cuma melunaskan loan secepatnya," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain