suria

Penumpang uji kesabaran bawa air ikat tepi, barang basah naik bas... Abang driver tak marah-marah, pandai kawal situasi

Irwanshah menjelaskan alasan tidak membenarkan penumpang bawa makanan.

SIKAP baik dan bertimbang rasa yang ditonjolkan seorang pemandu bas mendapat perhatian ramai.

Sebagaimana dapat dilihat menerusi video tular, kelihatan pemandu berkenaan, Irwanshah menegur penumpang-penumpangnya yang membawa minuman dalam plastik dan diikat tepi.

Namun, cara dia memberi teguran dipuji ramai kerana begitu lembut dan sopan, membuatkan penumpang tidak berasa malu atau sakit hati.

"Kalau makanan dan minuman tak boleh bawa naik atas bas. Mana-mana bas ekspres dilarang bawa air gantung," kata pemandu Bas Muafakat Johor ini yang mana pengangkutan awam tersebut disediakan secara percuma.

Pemandu bas menunjukkan barang dibawa penumpang meninggalkan bau kurang menyenangkan.

Dalam video sama, penumpang lelaki itu dilihat meminta maaf sambil memberitahu dia tidak tahu tentang larangan membawa masuk air dalam plastik yang diikat tepi ke dalam bas.

Walaupun begitu, dia tetap dibenarkan menaiki bas seperti biasa selepas diberi peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

"Tak boleh sebenarnya. Tak apa. Naik je. Saya cuma pesan je. Lain kali jangan ye bang," kata pemandu bas itu, lembut.

Bagaimanapun, ada juga netizen mempersoalkan tentang larangan tersebut yang dianggap melanggar hak pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berkali-kali cium akak driver bas sedang memandu, siap tolong tukar gear... Patutlah tiba lewat 3 jam ambil penumpang

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka berdua tak tertekan” - Syarikat bas jawab video tular pemandu bercumbu, tolong tukar gear

Bagi menjawab pertikaian yang timbul, pemandu bas ini memuat naik satu lagi video bagi memberikan penerangan yang lebih jelas.

"Siapa kata tak boleh? Boleh. Syaratnya bungkus dengan baik dan ikat dengan rapi.

"Cup, (cawan) air gantung dan makanan ringan dilarang bawa. Syarat dibungkus atau guna tumbler atau bekas bertutup," katanya.

Nak bawa ikan boleh cuma kena letak di dalam besen. Kita sudah sediakan besen warna merah ni.

IRWANSHAH

Pemandu ini juga menunjukkan apa yang berlaku apabila penumpangnya membawa masuk ikan, udang atau barang basah lain ke dalam bas tetapi plastiknya bocor.

Katanya, jika plastik bocor, air daripada bahan basah tersebut akan menitik atau mengalir di lantai bas serta meninggalkan kesan tompokan sekiranya tidak dicuci semula.

Kemudian lelaki ini dilihat mencuci semula ruang tersebut dan mencurahkan air.

"Nak bawa ikan boleh cuma kena letak di dalam besen. Kita sudah sediakan besen warna merah ni. Tak ada masalah.

Irwanshah menunjukkan cara dia mencuci bas yang dikotorkan penumpang.

"Tapi kalau boleh plastik kena lebih (beberapa beg plastik) sebab berpeluh (berair). Apabila penumpang lain naik, berbau. Tak selesa. Mengganggu ketenteraman awam," ujarnya.

Selain itu, lelaki ini turut menunjukkan beberapa video lain memaparkan barangan dibawa penumpang lain seperti pakaian dan barang mentah.

Malah, terdapat penumpang dipercayai menghisap rokok berdasarkan abu dan puntung yang dibuang di dalam bas tersebut.

Komen netizen di X.

Video tersebut juga menerima pelbagai pujian netizen yang terharu dengan sikapnya yang begitu menyantuni dan menghormati golongan lebih tua.

"Nampak pengguna bas dia ramai warga emas dan orang tempatan. Bagus la kalau bas-bas macam ni dekat kawasan luar bandar.

"Saya suka sangat kalau orang tegur dengan berbudi bahasa dan berhemah. FIkir air muka orang lain kalau menegur daripada main 'sembur' je. Hati nak menerima teguran pun rasa terbuka je," ujar netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain