suria

Imam disegani rupanya ada zaman gelap... Pernah bankrap, 8 tahun tak solat! Rezeki melimpah lepas tergerak hati ke masjid

Seorang imam berkongsi kisah zaman gelapnya sebelum ini. -Gambar hiasan

BERGELAR imam, pastinya figura ini dihormati dan disegani ramai bukan sahaja dalam kalangan jemaah masjid, malah masyarakat setempat.

Namun siapa sangka, di sebalik keperibadian yang dipuji dan mempamerkan akhlak yang baik, seorang imam mempunyai zaman gelapnya tersendiri.

Rupanya sebelum menjadi imam, dia pernah menjalani kehidupan yang diselubungi dengan dosa selama bertahun-tahun!

Ustaz bertemu dengan seorang imam ketika menyampaikan satu ceramah. -Gambar hiasan

Perkara itu didedahkan oleh penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek mengenai imam tersebut yang pernah ditimpa ujian besar.

"Dia serba boleh, jadi imam, dia boleh jadi bilal dan dia boleh jadi orang yang baik. Besar ujian keimanan dia sebelum tu.

"Waktu mudanya pernah tinggal di Makkah, kemudian balik ke Malaysia pada 1997. Pinjam duit dengan bank untuk buat projek apartment di Langkawi.

"Kuasa Allah, bisnes lingkup, berhutang dan bankrap selama 14 tahun," katanya yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi.

Ada hikmah di sebalik keinsafan. -Gambar hiasan

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Ustaz Hanafi yang bertemu dengan imam berkenaan ketika menyampaikan ceramah di sebuah surau memaklumkan lelaki itu berputus asa kerana dugaan yang menimpanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz terkejut pendedahan ketua gengster, syarat nak jadi ahli kongsi gelap tak boleh derhaka dengan mak ayah

ARTIKEL BERKAITAN: Penagih minta ustaz tempah bilik VIP di neraka, mati nak terus check in! Kini jadi siak masjid, insaf lepas ibu meninggal

"Katanya 'Aku orang baik, jaga solat dan sedekah. Aku buat kerja tak ada rasuah tiba-tiba Kau bangkrapkan aku,Ya Allah!'

"Dia memberontak! Selama tujuh hingga lapan tahun dia tak nak solat. Buat dosa dia tak ada rasa apa-apa. Allah tarik hidayah tu, dia tak rasa apa pun," ujarnya.

Seorang lelaki melakukan rutin dengan mengaji al-Quran. -Gambar hiasan

Bercerita lanjut, Ustaz Hanafi memberitahu lelaki itu berdepan kesukaran untuk melunaskan hutangnya yang banyak.

"Dia struggle bayar hutang RM14 juta tu. Macam-macam dia buat. Berniaga kantin di universiti dan akhirnya buat insurans (ejen), tetap susah," katanya.

Bila kita diuji seberat mana pun ujian Allah, kita cepat-cepat kembali kepada Allah.

USTAZ HANAFI

Bagaimanapun pada suatu hari, lelaki itu tergerak hatinya untuk mendekatkan diri dengan surau dan masjid.

Kongsi Ustaz Hanafi lagi, lelaki berkenaan akhirnya mendapat semula hidayah Allah dan mula kembali solat, mengaji al-Quran serta kembali mengamalkan hidup beragama.

Ustaz Hanafi berkongsi kisah kemasyarakatan yang memberi inspirasi dan pengajaran.

Dengan kebesaran kuasa Tuhan, rezekinya melimpah ruah hingga ke hari ini.

"Umurnya sekarang 64 tahun. Allah tenangkan hati dia, selesaikan masalah dia. Sekarang dah gembira, motor besar ada tujuh buah," katanya yang mahu menjadikan pengalaman imam itu sebagai contoh kepada orang lain.

Mengenai salah satu daripada tiga kisah yang dikongsi menerusi hantaran sama, Ustaz Hanafi turut mengambil inspirasi daripada cerita imam sebut, di samping mengajak dirinya dan semua supaya tidak mempunyai perasaan marah kepada Allah.

"Jangan marah Allah. Sebab kalau kita marah kepada Allah, apa pun kita tak dapat. Allah akan uji kita. Jangan kata kita beriman, selagi belum diuji.

"Pujuk hati kita, sedaya upaya kekal berada dalam keadaan beriman. Bila kita diuji seberat mana pun ujian Allah, kita cepat-cepat kembali kepada Allah maka Allah akan tenangkan kita," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain