suria

Tak berkenan bakal menantu kerja sendiri, ibu susahkan anak mahu kahwin... Sengaja ‘gantung’ tarikh nikah, rumit buat persiapan majlis

Restu ibu bapa penting supaya perkahwinan mendapat keberkatan- Gambar hiasan

RESTU ibu bapa sangat penting sebelum seseorang itu memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.

Justeru untuk mendapatkan keredaan kedua-dua orang tua, tidak wajar untuk seorang anak membelakangkan mereka dalam membuat keputusan.

Namun, seorang wanita meluahkan rasa buntu apabila rancangan untuk berkahwin dengan jejaka pilihan hati tidak direstui oleh ibunya.

"Ibu tak setuju tapi ayah sebagai wali okay je, restu. Nanti kata anak derhaka pula tak dengar cakap ibu. Ingat nak abaikan je ibu tapi sebab rasa hormat.

"Bakal suami dah jumpa ibu bapa saya bawa rombongan. Hari tu masa berbincang okay je. Bila mahu tetapkan tarikh, ibu tak setuju siap hina lagi pekerjaan bakal menantu.

Pelbagai dugaan perlu dihadapi sebelum mendirikan rumah tangga. -Gambar hiasan

"Dia kata tak ada masa depan dan gaji tak tetap. Bakal menantunya kerja sendiri jadi tak ada duit pencen.

"Dia suruh kerja cikgu. Ingat senang kerja cikgu. Asyik hina orang je. Ibu risau sangat fasal rezeki masa depan," ujarnya dalam grup Facebook Tips Persiapan Kahwin.

Melihat sikap ibunya yang terlalu bimbang akan kewangan bakal suami selepas bernikah, dia lantas teringat semula ceramah oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

"Katanya... bimbang rezeki masa depan ni adalah syirik. Nak tegur syirik tapi kata kurang ajar pula," katanya.

Menurut pengadu ini lagi, setelah membuat pertimbangan dia berhasrat untuk meneruskan sahaja perkahwinan walaupun tanpa persetujuan ibunya.

Malah, dia dan bakal suami merancang untuk mengadakan majlis pada musim cuti sekolah yang bakal tiba tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun dirisik, bapa masih sulitkan urusan anak perempuan nak kahwin... Suruh calon menantu ‘keluar 40 hari’ dulu

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menangis anak terbantut selera hidu ayam busuk! Basuh, goreng semula untuk makan... Tetap doa pemberi murah rezeki

Walaupun nekad untuk bernikah, dalam masa sama timbul juga kerisauan dalam diri jika si ibu tidak mahu memberikan kerjasama atau bersikap dingin ketika majlis berlangsung kelak.

"Kalau abaikan ibu, nanti masa majlis dia buat perangai tak nak datang pula, tak nak layan tetamu. Tetamu kebanyakannya adik beradik mak ayah je. Kawan-kawan pun tak apa la tak payah layan.

"Biar kawan-kawan datang makan, ambil gambar, bersalaman dan balik je. Tak perlu tolong pun. Minta pastikan tarikh je. Ibu yang tak nak bagi tarikh, katanya awal sangat. Hari tu masa rombongan datang kenapa tak nak bincang," katanya.

Yang penting bakal suami kita tu macam mana. Kalau baik orang dan akhlaknya, baik agama. Teruskan, perjuangkanlah.

NETIZEN

Jelas pengadu itu lagi, dia tidak mengharapkan wang daripada pihak keluarga untuk menanggung kos perbelanjaan majlis kahwinnya.

Katanya, dia dan bakal suami sudah mempunyai simpanan yang dirasakan cukup untuk mengadakan majlis kecil walaupun masih tiada tarikh yang pasti gara-gara sikap ibunya.

"Majlis tu tak nak minta duit ibu bapa pun untuk tanggung kos kenduri. Nak suruh setuju dengan tarikh je sebab nak beli barang sikit-sikit dan isi borang.

"Sudah buat rancangan dan perbincangan nak tempah dewan dan katering. Itu pun tak boleh teruskan sebab tarikh belum dipastikan.

Komen netizen pada hantaran di Facebook.

"Majlis ni langsung tak nak minta duit mak ayah sebab takut kena mengungkit hal majlis. Nak buat majlis bukan ajak ramai pun. Cukup tu je duit yang terkumpul tu," ujarnya.

Masalah yang ditanggung wanita ini meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasibnya.

"Teruskan je. Kawan saya pun mak dia tak datang tapi lepas sudah lama sikit okay dah. Mak dia nak macam-macam.

"Mak saya pun sama juga tak restu, Saya peduli apa, jalan je la. Yang penting bakal suami kita tu macam mana. Kalau baik orang dan akhlaknya, baik agama. Teruskan, perjuangkanlah," kata sebahagian netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain