suria

Pemuda tebal muka datang dewan kenduri, kesat air mata rayu nak kerja sambilan... Rupanya tengah cari duit segera buat beli lauk

Suzaidah kagum dengan pemuda yang sanggup bekerja keras untuk mencari sesuap nasi.

SETIAP insan pastinya tidak terlepas daripada diuji dalam kehidupan.

Walaupun begitu, terpulang kepada kecekalan seseorang itu untuk mendepani cabaran tanpa mudah menyerah kalah.

Tular perkongsian di laman Facebook pada Khamis mengenai seorang pemuda yang terdesak mencari pekerjaan di sekitar Duyong, Melaka.

Pemuda itu datang meminta kerja menggunakan motosikal jenis Yamaha.

Menerusi hantaran yang dicoret seorang katerer dikenali sebagai Sri Suzaidah Masri, dia berkata pemuda dalam lingkungan umur 20-an itu merayu untuk diberikan kerja sambilan kerana sudah tidak mampu mengikat perut.

Difahamkan ketika itu pihak katerer sedang melakukan kerja-kerja pemasangan khemah dan susun atur kerusi meja untuk sebuah majlis perkahwinan.

"Tadi tengah pasang khemah, tiba-tiba datang seorang adik lelaki ni jumpa suami, dia tanya ada kerja kosong atau tidak. Dia cakap tak kisah kerja apa pun, dia sanggup buat. Katanya kerja untuk sehari tu je, sebab nak cari duit buat beli lauk.

"Kalau ikut penjelasan adik tu, dia cakap dia kerja kilang tapi hari terbabit dia tengah cuti, jadi tak dapat duit. Dia beritahu kami sambil kesat air mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas minta kek untuk anak, bapa rayu peti sejuk pula! Jiran dedah ‘pengemis’ ada kereta Hyundai, hidup tak susah mana

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ‘selak’ kisah hidup influencer terkenal, pura-pura pamer hidup bahagia - “Stres pendapatan tak menentu”

"Hanya Allah je yang tahu perasaan aku apabila dengar situasi adik tu macam mana. Walaupun aku tak kenal tapi dia budak Melayu kita, sanggup turunkan ego datang jumpa kami minta kerja sambilan untuk isi perut kosong.

"Aku pun tanpa fikir panjang setuju untuk adik tu kerja dengan kami. Aku suruh dia parkir motosikal dekat tepi, boleh tolong apa-apa kerja yang boleh," ujar Suzaidah.

Tambahnya, dia turut melinangkan air mata mengenangkan masih wujud individu dalam masyarakat yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia sanggup turunkan ego datang jumpa kami minta kerja sambilan untuk isi perut kosong.

SRI SUZAIDAH MASRI

"Terus mengalir air mata, dalam keadaan kita rasa hidup ni dah cukup berat ujiannya, rupanya ada yang lebih susah daripada kita. Tapi apa-apa pun aku bangga dengan adik ni, dia tak kekok untuk minta kerja dengan kami walaupun kita tak pernah kenal atau jumpa.

"Aku berbincang dengan suami, sebelum adik ni balik kerja, kami akan belikan dia beras, lauk dan keperluan rumah yang lain. Kami juga akan bagi gaji untuk perbelanjaan dia. Kami pernah hidup susah jadi kami faham, siap dulu kira duit siling je.

"Aku pesan dekat adik ni kalau nak kerja sambilan lagi boleh datang kepada kami. Semoga dipermudahkan segala urusan awak adik. Ujian ni sebenarnya bukan untuk awak je, tapi Allah datangkan kepada kami juga.

Bantuan makanan yang sempat dibelikan Suzaidah dan suaminya.

"Sempat juga aku rakam video, rajin adik tu kerja angkat kerusi semua, orang luar tengok mesti mereka ingat dia pekerja tetap kami. Sedihnya hati ni," kata Suzaidah menutup bicara.

Dalam pada itu, Suzaidah memaklumkan nasib pemuda tersebut berjaya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan bantuan akan disalurkan sesegera mungkin.

"Pada malam sama juga, pembantu peribadi Mohd Noor Helmy sudah menghubungi saya. Pasukan mereka bertindak dengan sangat pantas. Harap tiada sesiapa yang mengecam adik ni menerima bantuan.

Pelayar bertukar pandangan.

"Mungkin itu jalan terakhir dia untuk meneruskan hidup. Saya juga tak akan dedahkan identiti adik tu melainkan kepada pihak yang sepatutnya, saya tak mahu mengaibkan dia. Harap faham ya," jelas Suzaidah.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut bersimpati dengan nasib pemuda tersebut dan mengharapkan yang terbaik untuknya.

"Ya Allah, adik tu boleh je ambil jalan mudah minta duit tapi dia pilih untuk bekerja supaya rezekinya halal. Semoga dapat jadi pedoman kepada yang lain, jangan terbiasa meminta-minta.

"Baru terbuka mata kita tentang kehidupan di luar sana, bukan semua bangun pagi dengan makanan tersedia di atas piring," kata warga maya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain