suria

Wakil agensi pelancongan bangga bantu jemaah tunai haji ‘koboi’, boleh bayar ansuran lepas balik Malaysia... Netizen tegur isu halal haram

Makkah menjadi tempat berhimpun untuk jutaan umat Islam menunaikan ibadah haji dan umrah. -Gambar hiasan

PANGGILAN untuk menunaikan ibadah haji haruslah menerusi saluran yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi selaku tuan rumah Tanah Suci Makkah.

Namun gempar di laman Facebook apabila wujud pihak yang berbangga kerana berjaya menggunakan kaedah 'pintu belakang' untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Berdasarkan pengakuan seorang individu dipercayai wakil sebuah agensi pelancongan, dia dengan bangganya mendedahkan berjaya membantu sekumpulan jemaah menunaikan haji dengan kos yang rendah berbanding kadar sepatutnya.

Pelbagai rintangan menanti mereka yang menunaikan haji tanpa mengikut prosedur. -Gambar hiasan (kiri)

"Tahun ini saya bawa kawan-kawan seramai 40 orang buat haji guna visa pelancong, mereka cuma bayar dekat saya RM22,000 semua sekali. Deposit sebelum berangkat RM10,000.

"Selebihnya RM12,000 dibayar secara beransur-ansur apabila pulang ke Malaysia," katanya penuh bangga.

Walaupun begitu, perkongsian tersebut mendapat kritikan hebat warga maya yang menyedari konsep haji ‘koboi’ itu membawa lebih banyak mudarat daripada manfaatnya.

Haji ‘koboi’ bermaksud seseorang itu tidak menggunakan visa haji untuk melaksanakan ibadah berkenaan.

Sebaliknya mereka menggunakan visa pelancong untuk masuk ke Arab Saudi.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa jemaah haji termenung tepi jalan, sesat 2 hari tak makan... Mutawif Malaysia ‘korban’ selipar, berkaki ayam bantu hantar balik hotel

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah haji merungut, marah suami dalam hati depan Kaabah... Allah nak tegur, sekelip mata pasangan hilang ketika tawaf!

Seorang pelayar turut mendedahkan situasi yang bakal menanti sekiranya seseorang itu menyertai jemaah haji ‘koboi’.

"Buat haji dengan cara begini jadi murah sebab mereka menumpang secara haram khemah orang lain di Mina. Tak perlu bayar harga bagi mendapatkan penempatan seperti jemaah yang sah.

"Tapi ini satu bentuk penganiayaan, khemah yang ditetapkan untuk kumpulan jemaah tertentu jadi sempit dan padat sehingga keadaan kurang selesa disebabkan kehadiran golongan begini.

"Ayah saya yang pergi haji ceritakan, dia sampai tak boleh nak baring dan hanya mampu duduk akibat keadaan yang terlalu ramai dalam satu khemah.

Kalau dah tahu buat haji secara haram, simpan untuk diri sendiri... tak perlu dicanangkan ke satu dunia.

WARGA MAYA

"Teringat juga kes tahun lepas, ada seorang ni buka pekung sendiri, dia cakap dapat buat haji RM10,000 je tapi boleh duduk dalam khemah mewah. Memang la, sebab kau menempel orang punya," ujarnya.

Selain itu, perkara yang lebih merisaukan adalah keselamatan diri ketika berada di tempat asing sebagai jemaah haji ‘koboi’.

"Pihak berkuasa tiada rekod seseorang itu pergi buat haji kalau dia menggunakan visa pelancong. Jika berlaku apa-apa kecemasan, susah nak diberikan bantuan dengan keadaan yang sesak pada musim haji.

"Disebabkan itu dalam video tular di media sosial, ada nampak mayat jemaah haji bergelimpangan di tepi jalan kerana cuaca panas melampau. Mereka ni daripada Mesir dan tidak menggunakan visa haji.

Warga maya bertukar pandangan.

"Akibat daripada tu, urusan ambulans, hospital dan pengebumian jadi payah dan lambat. Ada sesetengah jenazah tu sehingga enam jam baru diambil di tepi jalan," jelasnya.

Dalam pada itu, warga maya lain turut mengingatkan hukumnya adalah haram untuk menunaikan haji dengan menggunakan visa pelancong kerana melanggar undang-undang pemerintah.

"Haji yang dilaksanakan mungkin sah tapi berdosa. Kalau dah tahu buat haji secara haram, cukup-cukuplah simpan untuk diri sendiri. Tak perlu dicanangkan ke satu dunia.

"Kalau ditangkap oleh pihak berkuasa di sana, kedutaan negara kita juga yang susah nak uruskan. Semoga tak berulang lagi kejadian begini pada tahun-tahun seterusnya," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain