suria

Tak cukup sakat anak bini, bapa ‘kacau’ warga asing di masjid! Gembira dapat ‘photobomb’, macam raya di perantauan

Bapa Elyana menyantuni warga asing di perkarangan masjid.

BAPA sebagai ketua keluarga kebiasaannya dikaitkan dengan perwatakan yang garang, tegas dan bengis.

Malah kelibat bapa di rumah ada kalanya digeruni anak-anak terutama mereka yang nakal dan suka melakukan kesalahan.

Namun berbeza pula dengan seorang bapa, Zamani Ramli, 49, yang dilihat sentiasa ceria dan suka berjenaka dengan sesiapa sahaja yang berada dekat dengannya.

Zamani diajak bergambar oleh kumpulan warga asing.

Melalui satu video tular di laman TikTok yang dimuat naik anak perempuannya, Zamani selamba menyakat kumpulan jemaah warga asing yang hadir ke Masjid As-Syakirin di Muar, Johor untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Menerusi video tersebut, mereka yang sedang bergambar dilihat tersipu-sipu malu apabila dihampiri Zamani untuk menyertai kumpulan, mungkin tidak menyangka akan dilayan sebegitu oleh penduduk tempatan.

Bercerita lanjut kepada mStar, Elyana Zamani, 20, berkata tindakan bapanya itu langsung tidak berniat hendak memalukan atau merendahkan mana-mana pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Makcik elak dipeluk pemuda, rupanya anak yang amat dirindu! Bakal guru perjelas kenapa ibu tak cam dirinya

ARTIKEL BERKAITAN: Anak pulang mengejut selepas 2 tahun terpisah, bapa tersedu-sedu imamkan solat Maghrib - “Rasa bersalah pula buat ayah sebak”

"Itu memang karakter abah untuk mengacah-acah, kami dah selalu pun terserempak dengan mereka (warga asing) di masjid ni, mereka sering datang mengimarahkan waktu solat. Tujuan abah sekadar lawak ringan di pagi raya.

"Waktu tu kami baru selesai solat, abah sedang tunggu adik-beradik yang lain keluar di lot parkir. Saya pula gemar merakam sebagai kenang-kenangan, tak sangka masa tu juga abah nak masuk photobomb mereka.

"Mereka macam terkejut dan cuba jauhkan diri, lepas tu abah cakap, sini la, kenapa lari. Kemudian mereka datang semula bersalaman dan ajak abah bergambar sekali. Saya pun tolong tangkapkan juga, seronok tengok abah punya gelagat ni.

Tanpa abah, hidup kami tak akan dipenuhi gelak tawa seperti sekarang, abah adalah figura yang luar biasa.

ELYANA ZAMANI

"Abah cakap dia suka tengok gambar-gambar tu, nampak suasana beraya di perantauan," jelas Elyana yang merupakan lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Tambah Elyana, walaupun bapanya seorang yang ceria, gelagatnya itu sebenarnya kali pertama ditonjolkan di khalayak.

"Abah seorang yang pelawak tapi biasanya dengan keluarga dan kenalan dia je, dengan orang luar saya boleh cakap itu kali pertama terjadi.

Elyana bersama bapa tersayang.

"Kalau nak ceritakan tentang koleksi lawak abah, memang banyak, saya pun sampai tergelak nak ingat kembali. Antaranya kalau waktu dia balik kerja, dia akan senyap-senyap masuk bilik dan sergah kami semua.

"Selain tu abah juga suka berlakon pengsan dalam bilik supaya kami dan ibu risau apabila pulang ke rumah. Kalau waktu tengah bercerita perkara menyedihkan, abah akan tiba-tiba menyanyi.

"Kalau salah seorang anak dia pergi dapur, abah akan buat suara mirip hantu untuk menakut-nakutkan kami. Kalau kena marah, abah pula yang akan merajuk. Itulah sedikit sebanyak tentang abah saya," imbas Elyana tentang sikap bapa tersayang.

Elyana dan adik-beradik menyenangi lawak jenaka bapanya.

Seterusnya Elyana menyangkal dakwaan segelintir pelayar bahawa bapanya sebenarnya sedang berbaik dengan jemaah warga asing tersebut kerana sedang mencarikan jodoh untuk dirinya.

"Tidaklah, saya masih muda lagi untuk semua tu. Tujuan abah memang nak menyakat je, tiada hajat lain," kata Elyana ringkas.

Menutup bicara, Elyana berharap bapanya dikurniakan umur yang panjang dan kesihatan yang baik agar dapat terus-menerus menghiburkan dia dan keluarga.

"Tanpa abah, hidup kami tak akan dipenuhi gelak tawa seperti sekarang, abah adalah figura yang luar biasa, penuh kasih sayang dan menginspirasikan. Semoga setiap hari membawa sejuta kebahagiaan untuk abah," ujar Elyana.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain