SUARA merdu dan lunak bacaan al-Quran oleh seorang nenek yang usianya menghampiri satu abad, tidak lagi kedengaran selepas ini. Warga emas itu yang pernah tular menerusi video memaparkan dirinya menghafal surah Al-Masad dengan wajah begitu tenang, dijemput Ilahi minggu lepas. Mutalib (kiri) begitu rapat dengan arwah nenek. Khabar duka mengenai pemergian Allahyarhamah Zainab Abu Bakar itu dikongsi oleh cucunya menerusi Instagram Story pada Selasa. Berkongsi cerita, cucu arwah iaitu Abdul Mutalib Abdul Mubin berkata, neneknya menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun akibat serangan jantung pada 18 Jun lalu. View this post on Instagram A post shared by ♠️♥️♣️♦️ (@mutalibmubin) Pemuda berusia 33 tahun itu bagaimanapun hanya mempunyai kekuatan untuk berkongsi mengenai berita sedih itu selepas genap seminggu pemergian neneknya. “Nenek meninggal dunia sehari selepas Hari Raya Aidiladha. Masa raya tu nenek okay, siap boleh beraya dengan keluarga dan menerima kunjungan tetamu serta rakan-rakan. “Esok pagi selepas Subuh, nenek terkena serangan jantung dan dimasukkan ke hospital. Pada sebelah petang nenek disahkan sudah meninggal dunia,” katanya kepada mStar. Selain nenek (kiri), ibu Mutalib (tudung merah) juga mengajar mengaji al-Quran. Untuk rekod, kisah Allahyarham Zainab pernah disiarkan di mStar pada September 2023, menceritakan mengenai hubungan rapat dengan cucu kesayangannya ini dan sering berkongsi momen bersama menerusi video-video yang dimuat naik di laman sosial. Mengulas lanjut, dia yang mesra disapa Mutalib mengakui masih terkejut kerana kehilangan neneknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Selangor, pada malam 18 Jun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sweet’ cucu manja dengan nenek umur 93 tahun... Pandai mengaji, mahir tajwid! Dulu belajar al-Quran sebab nak dapat upah 50 sen ARTIKEL BERKAITAN: Video akhir arwah Cikgu Ery mengaji surah al-Baqarah sentuh hati netizen... Ramai puji suara lunak merdu “Saya memang tak sangka, tak boleh fikir apa, termenung. Saya menangis sebab nenek dah tak ada. Selama 33 tahun, hampir setiap hari nenek ada depan mata kerana kami tinggal bersama. “Sebelum raya, saya kerja tanpa henti selama 10 hari. Memang sibuk dan tak ada masa terluang. Syukur dapat cuti masa raya haji dan dapat juga meluangkan masa bersama nenek,” ujar model dan 'talent' yang dikenali dengan nama Mutalib Mubin. Solat berjemaah di rumah bersama arwah nenek (kiri). Mutalib berkata, pemergian neneknya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu merupakan satu kehilangan besar terutamanya dalam aktiviti mengaji al-Quran. Neneknya yang digelar Tok Nab dikenali dalam kalangan penduduk di sekitar Bandar Tun Hussein Onn kerana kebolehannya mengaji dan menngajar al-Quran. Selain mengaji al-Quran, nenek juga mendisiplinkan saya dalam menunaikan solat. ABDUL MUTALIIB ABDUL MUBIN CUCU “Nenek mengajar saya membaca al-Quran dari kecil sehingga saya khatam pada usia tujuh tahun. Bukan saya seorang yang nenek ajar, tapi ramai orang. “Selain mengaji al-Quran, nenek juga mendisiplinkan saya dalam menunaikan solat. Hampir setiap hari nenek mengajak saya solat berjemaah kerana dia mahu orang imamkan dia. “Sekarang ni saya terngiang-ngiang suara nenek ajak solat berjemaah. Memang banyak kenangan saya dengan arwah nenek kerana hubungan kami cukup rapat sejak saya lahir,” katanya mengenai nenek yang mempunyai tiga anak, 10 cucu dan 10 cicit. Nenek Mutalib (belakang, tengah) bersama keluarga. Dalam pada itu, Mutalib menyifatkan neneknya sebagai seorang yang penyayang, mudah mesra dan amat menitikberatkan kebersihan terutama di dalam rumah. “Nenek suka senyum, kalau jumpa orang, dia akan senyum dulu baru dia bercakap. Dia tak sombong, alu-alukan orang dan begitu disenangi ramai. Rumah nenek macam 'open house', orang datang mengaji dan orang juga suka datang ziarah nenek. “Antaranya adalah rakan nenek berbangsa Cina berusia 70-an bernama Cindy. Wanita itu tidak pernah jemu datang melawat nenek setiap tahun terutama pada hari raya,” tambahnya. Kenangan... (dari kiri) Mutalib, Cindy, arwah nenek dan rakan Cindy sehari sebelum nenek meninggal dunia. Menerusi pertemuan antara nenek dan sahabat yang dikenali lebih 30 tahun itu, kata Mutalib, arwah turut berkongsi tentang perkara yang dilakukannya sebelum meninggal dunia. “Kucing jantan saya Leo pernah hilang masa Hari Raya Aidilfitri lepas. Selepas lebih sebulan, kucing tu datang balik ke rumah. Ingatkan dah mati. “Badannya sangat kurus, macam sakit. Nenek cerita pada Cindy, setiap hari dia beri makan pada kucing tu sampai empat kali sehari. Sekarang kucing sudah gemuk dan semakin sihat. “Kebaikan nenek bukan saja pada manusia, tapi juga haiwan. Syukur Alhamdulillah, pemergian nenek dipermudah,” ujar Mutalib. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube