suria

Kutip balik lepas 3 hari buang! Lelaki tak sanggup berpisah dengan monyet, risau kelaparan - “Opet merayu sambil tadah tangan”

Firman bersama monyet peliharaannya yang diberi nama Opet.

HAIWAN peliharaan sering menjadi teman sejati manusia bagi merawat kesunyian.

Antara binatang kesayangan yang menjadi pilihan masyarakat adalah si bulus atau ikan hiasan.

Namun berbeza kisahnya untuk jejaka dikenali sebagai, AInur Firman, 25, apabila dia membela seekor monyet yang diberi nama Opet.

Firman memberikan kucupan terakhir sebelum meninggalkan Opet.

Melalui satu video tular di laman TikTok, Firman bagaimanapun melalui episod hiba apabila terpaksa melepaskan Opet ke habitat asalnya di hutan atas sebab tertentu.

Bercerita lanjut kepada mStar, Firman mengimbas semula detik dia menjalinkan hubungan istimewa dengan Opet sehingga mereka menjadi begitu akrab.

Opet sejak awal usianya dijaga oleh Firman.

"Saya dah bela Opet selama lima tahun. Waktu saya mula ambil Opet, usianya baru lina hari. Waktu tu Opet kehilangan ibunya, jadi ada seorang individu ni tolong jagakan sekejap, tapi dia pun ada komitmen dan tak boleh pelihara lama.

"Apabila ada kawan beritahu tentang keadaan Opet, saya pun tergerak hati untuk ambil dan bela. Nak jaga Opet ni macam bayi manusia juga sebenarnya, diberi pakai lampin. Saya beli diapest di kedai dan modify sikit ikut saiz Opet.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kosong, semua barang dirompak! Pemuda lega kucing kesayangan selamat, pandai sembunyi walau ketakutan

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih usung Didik ke rumah anak, mak buat hal minta nak balik! Risau ayam sedang membesar, tak bebas main lari-lari

"Lampin tu saya gunting bagi pendek dan kemudiannya stapler supaya Opet boleh pakai. Banyak saya belajar sendiri daripada YouTube tentang panduan untuk jaga monyet. Waktu Opet kecil, saya bagi dia minum Vitagen guna botol susu.

"Dah besar sikit saya ajar Opet makan buah pula, tapi apabila dah dewasa ni Opet lebih suka makan snek macam ayam goreng dan pisang goreng. Opet juga gemar minum susu kotak," jelas Firman yang menetap di Ayer Keroh, Melaka.

Walaupun hubungan Firman dan Opet yang bagai isi dengan kuku, mereka nyaris berpisah kerana beberapa rintangan.

"Saya lepaskan Opet dekat kawasan pinggir hutan dalam tiga kilometer dari rumah, kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan kereta. Berat sebenarnya nak ambil keputusan ni, tapi saya kena bebaskan Opet sebab keadaan memaksa.

Saya risau, boleh ke Opet hidup sendirian di luar sana? Selama ni dia asyik bergantung dengan saya untuk makan.

AINUR FIRMAN

"Antaranya Opet makin lasak, saya sampai empat kali kena tukar sangkar dia kerana kerap berlaku kerosakan akibat Opet aktif bergerak. Kemudian berkaitan hal keluarga.

"Anak pertama saya akan masuk sekolah tak lama lagi, isteri pun tengah sarat mengandung anak kedua, menunggu masa untuk bersalin. Saya takut perhatian saya terhadap keluarga akan ada yang kurang senang dengan kehadiran Opet

"Opet ni baik, tapi kadang tu dia ada juga masuk rumah jiran, kacau baju di ampaian serta burung peliharaan mereka. Walaupun jiran memahami, saya tak mahu timbul rasa kurang senang dalam kawasan perumahan ni," ujar Firman.

Tambahnya lagi, dia juga risau kewujudan Opet di rumah menyalahi undang-undang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kecomelan Opet menawan hati ramai.

"Kalau di Kelantan dan Terengganu, monyet dibela sebab nak tolong panjat pokok kelapa ambil buah. Pemilik di sana boleh mohon lesen. Tapi kalau di Melaka ni susah sikit nak cari alasan kukuh untuk jaga monyet.

"Saya kena lihat dengan lebih mendalam perkara ni. Lagi satu, sebagai monyet jantan, Opet sejak kebelakangan ni nampak cenderung untuk mengawan. Jadi ada baiknya saya kembalikan dia ke tempat yang dia sepatutnya berada.

"Waktu nak lepaskan Opet dari kereta, tipu la kalau diri ni tak sebak. Saya cuba kuatkan semangat, Opet ni saya jaga makan minum dengan kencing berak sejak kecil macam anak sendiri dah, siap tdiur sekali.

"Waktu ucap selamat tinggal dekat Opet, saya terdetik satu benda dalam hati, kalau saya datang semula kemudian hari dan jumpa Opet masih di kawasan sini, saya akan bawa dia pulang untuk dijaga selama-lamanya," kata Firman.

Opet sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Firman.

Ternyata Firman tidak dapat bertahan lama tanpa Opet di dalam rangkulannya.

"Sampai je di rumah, fikiran saya terus jadi tak keruan, saya menangis tanpa henti. Saya risau, boleh ke Opet hidup sendirian di luar sana? Selama ni dia asyik bergantung dengan saya untuk makan. Netizen pun ada yang kata Opet akan mati.

"Kemungkinan 'dibuli' monyet lain sebab Opet dah biasa hidup dengan manusia. Tak lena tidur saya dibuatnya, saya pun keluar cari Opet dekat kawasan saya tinggalkan dia. Tiga hari juga saya mencari, akhirnya jumpa Opet berteduh di asrama sekolah tahfiz.

"Pengawal keselamatan sekolah tu yang tolong tunjukkan, rupanya Opet bersembunyi di aras empat asrama. Pengawal tu siap cakap Opet merayu minta makanan sambil tadah tangan. Mereka pun bagi Opet makan kurma.

"Paling tersentuh hati, saya nampak Opet bijak ambil sejadah untuk tutup badan dia waktu tidur. Kesian Opet, dia dekat rumah memang dah terbiasa tidur berselimutkan kain. Jom la kita pulang Opet, tempat awak bukan di hutan," ujar Firman bercampur baur perasaannya.

Firman setia di sisi Opet dari awal hingga ke akhirnya.

Menurut Firman yang berkerja sebagai pempengaruh media sosial, dia kini bertekad untuk menjaga Opet hingga ke penghujung hayat haiwan peliharaannya itu.

"Apa-apa isu saya akan cuba ikhtiarkan sampai selesai. Sekarang saya tengah tengok kalau ada lesen saya boleh mohon dengan Perhilitan supaya saya dapat bela Opet secara sah.

"Tentang sangkar pula, abang saya yang pakar dalam bidang kimpalan cakap dia boleh buatkan sangkar baharu yang besar untuk Opet. Lega hati ni.

"Walaupun beberapa hari je berpisah dengan Opet, tapi dapat rasa kerinduannya tu di rumah ni. Opet ni sifatnya melindungi terutamanya untuk orang yang dia sayang. Kalau macam ada orang asing cuba kacau saya, Opet akan pantas menyerang.

"Selain tu Opet ni macam penggera juga, kalau dia nampak ada ular atau pencuri nak masuk rumah, dia akan terus buat bunyi bising untuk beritahu kami. Terima kasih Opet atas jasa awak," kata Firman menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain