suria

Pelajar UiTM ‘tunjuk taring’ reka jersi untuk 1,500 peserta sukan! Tampil rekaan ‘garang’ di padang, bergaya di kelas

Kemeriahan Sukan Antara Fakulti (SAF) 2004 di UiTM Kedah.

SELEPAS menggegarkan pentas peragaan akhir tahun lalu, anak muda ini sekali lagi mengharumkan nama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Petani di Kedah.

Kali ini bukan di pertunjukan pentas, sebaliknya penglibatannya dalam rekaan baju peserta untuk Sukan Antara Fakulti (SAF) UiTM Kedah 2024 yang berlangsung dari 20 hingga 26 Jun lalu.

Pemuda berkenaan merupakan pelajar institusi itu sendiri yang pernah tular kerana mencatatkan jualan baju RM19,000 di asrama dalam tempoh lima hari.

Berkongsi cerita, Ahmed Amzar Airil Ahmed Mazdan berkata, pasukannya berkolaborasi dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kedah dari segi baju jersi yang dipakai peserta dalam saingan antara lima fakulti.

Dalam 17 acara yang dipertandingkan, lima fakulti yang berentap dalam SAF adalah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Fakulti Perakaunan (FP), Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dan Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik dan Matematik (KPPIM).

Salah satu pasukan yang bersiap sedia untuk bertanding.

Menurut pemuda berusia 22 tahun itu, dia terlibat dalam penajaan SAF sebagai cara untuk berbakti kepada universiti sebelum menamatkan pengajian.

"Disebabkan saya merupakan bekas pemain futsal dan bola sepak untuk UiTM Kedah, dan memandangkan saya tak lama lagi akan tamat pengajian, maka inilah cara saya berbakti buat kali terakhir.

"Pada masa sama, saya teruja dengan bakat-bakat dalam bidang sukan daripada pelajar UiTM Kedah yang mungkin orang luar tak nampak.

"Ramai anak muda yang hebat, tetapi mungkin tiada peluang untuk mereka. Jadi, saya hasilkan sesuatu untuk tonjolkan kepada orang luar," katanya kepada mStar.

Aksi masing-masing berentap dalam SAF.

Mesra disapa Amzar, katanya, hampir 1,500 orang memakai baju yang direka oleh pasukannya, Axisto sepanjang SAF berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UiTM Kedah bikin gempak, anjur pertunjukan fesyen peraga koleksi 2024... Baju laku keras, raih jualan RM180,000!

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

Amzar yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa turut menyedari isu tular membabitkan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 yang menerima pelbagai pandangan dan kritikan termasuk kelihatan seperti 'baju budak sekolah'.

Namun bagi anak kelahiran Bachok, Kelantan itu, rekaan baju yang dipakai para pelajar terutama atlet dalam SAF bukan sekadar mengikut standard antara fakulti.

Berbangga dengan pingat yang diraih.

Baginya, ia mempamerkan sentuhan dalam setiap rekaan untuk fakulti yang bertanding dan mempunyai nilai estetika tersendiri.

"Selain itu, selari dgn tatacara pemakaian UiTM yang mana membolehkan pelajar memakai pakaian berkolar, jadi pelajar bukan sahaja akan memakai baju SAF ketika sukan bahkan ke kelas juga.

Ramai anak muda yang hebat. Jadi, saya hasilkan sesuatu untuk tonjolkan kepada orang luar.

AHMED AMZAR AIRIL AHMED MAZDAN

"Ia bersesuaian dengan tagline kami iaitu style your class outfit atau gayakan pemakaian anda ke kelas. Standard baju yang boleh dipakai pelajar-pelajar dan UiTM kampus lain pun ada yang beli," ujarnya.

Sepanjang berlangsungnya SAF, Amzar bersama pasukannya menghadapi pelbagai cabaran dari segi masa dan tenaga memandangkan mereka juga dalam kalangan pelajar yang sibuk dengan sesi pembelajaran dan kekangan masa.

Ceria mewakili fakulti masing-masing.

Namun kata Amzar, mereka tetap gigih berusaha bagi mencapai visi dan misi untuk mengukuhkan lagi nama Axisto dalam bidang penghasilan jersi.

"Setiap perniagaan memang akan ada kritikan yang negatif contoh yang saya terima seperti 'Ada segelintir pelajar kata tiada jenama lain ke nak kolaborasi selain Axisto?'.

"Kenyataan tersebut meskipun tidak negatif bagi mereka yang telah lama dalam bidang perniagaan tetapi bagi kami yang masih kerdil ini tetap memberi kesan dari segi mental, memandangkan pasukan kami juga dalam kalangan pelajar yang sentiasa memerlukan kata-kata semangat, tetapi sebaliknya dapat kritikan macam tu," katanya.

Pernah mencatatkan jualan tertinggi kira-kira RM180,000 untuk satu rekaan baju daripada pasukannya, Amzar bagaimanapun menganggap kritikan tersebut tidak mematahkan mereka berpasukan untuk terus maju.

Penglibatan dalam SAF menjadi kenangan buat para pelajar.

Malah dia mengambil semua kritikan sebagai suntikan semangat bagi membaik pulih setiap kekurangan yang ada.

"Jika ada rezeki serta ruang dan peluang untuk tahun depan, kami mahu melibatkan diri dengan Karnival Sukan Mahasiswa (Karisma) yang merupakan kejohanan terbesar bagi mahasiswa setiap cawangan UiTM di Malaysia, yang bakal diadakan di UiTM Johor.

"Oleh itu, saya dan pasukan berharap dapat melakukan yang terbaik serta menambah baik setiap kekurangan kami sebelum ini. Tetaplah berusaha meskipun tiada yang menyokong dirimu dari bawah.

"Menerusi penghasilan video SAF, saya nak sampaikan mesej bahawa kami yang bertapak di UiTM Kedah cuba membawa kelainan dari segi pemakaian baju jersi lebih kemas dan seragam selain dapat memastikan kecemerlangan dalam sukan yang diceburi oleh mahasiswa," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain