suria

AJK masjid pagar saf kedua, anak jemaah terkencing dalam seluar... Rakaat pertama dah ‘berjoget’ nak kencing, tapi ayah terus solat

Tidak sah solat seseorang itu sekiranya tempat sembahyang terkena najis seperti air kencing.

KELIBAT anak-anak yang dibawa ibu bapa ke masjid sejak kecil untuk mengimarahkan rumah Allah merupakan satu pemandangan yang indah.

Pada masa sama ia juga merupakan satu pendekatan untuk memupuk minat dan tanggungjawab menunaikan kewajipan bersolat sejak usia muda.

Namun, kehadiran 'pagar' yang dipasangkan dengan tali berwarna merah menutup satu kawasan kecil di dalam sebuah masjid mencetuskan tanda-tanya segelintir jemaah.

Menerusi satu perkongsian, seorang jemaah bercerita mengenai salah satu saf di masjid berkenaan terpaksa dipagar berikutan berlaku kejadian salah seorang kanak-kanak terkencing dalam seluar.

Ibu bapa membawa anak-anak menunaikan solat berjemaah di masjid. -Gambar hiasan

"Saf kedua ni terpaksa dipagar beberapa hari sebab bekas budak kencing ketika dalam solat. Dia solat di tepi ayahnya.

"Masa rakaat pertama dah berjoget-joget nak kencing. Si ayah tak perasan anak bagi signal. Tak tahulah tak perasan atau 'takut' nak berhenti solat," tulis seorang jemaah, dikenali sebagai Mohd Yazid Ismail di Facebook.

Tanpa mendedahkan lokasi masjid dan tarikh kejadian serta usia anak jemaah berkenaan, Mohd Yazid yang berada di saf belakang menyedari keadaan kanak-kanak itu yang mahu membuang air kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa ditegur suka bawa anak kecil masuk surau mall, mengganggu dan sempit - “Terpaling nak khusyuk ni, bising pun tak boleh”

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah berhimpit dengan stroller, ruang solat makin sempit... Wanita bawa anak diminta fikir panjang, bimbang karpet dicemari najis

"Saya yang kat tepi belakang perasan budak tu nak kencing. Sebelum rukuk, budak tu terkencing dalam seluar sampai basah karpet.

"Walaupun dah kencing dalam kuantiti yang banyak tapi ayahnya tetap meneruskan solat macam biasa sampai habis," ujarnya mengimbas tentang insiden berkenaan.

Sehubungan itu, dia menasihati ibu bapa supaya memantau keadaan anak-anak mereka terlebih dahulu sebelum meneruskan solat berjemaah di masjid.

Jika tidak katanya, sikap sambil lewa itu akan menyusahkan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan para jemaah lain.

"Kalau bawa anak umur bawah usia tujuh tahun ke masjid, sila pastikan anak bukan dalam keadaan menahan kencing.

"Kasihan AJK masjid bersusah-payah untuk selesai masalah najis ni. Ibu bapa yang nak bawa anak, sila pastikan anak dah pergi ke tandas," jelasnya lagi.

Jemaah meneruskan solat di sebuah masjid. Foto Mohd Yazid Ismail

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen berkongsi pengalaman dan nasihat membawa anak-anak kecil ke masjid.

"Kalau saya bawa anak ke masjid atau surau, saya tunjuk dulu kedudukan tandas kat mana. Kalau memang berhajat (buang air) masa kita tengah solat, dia boleh pergi sendiri.

"Ayah yang tidak peka. Paling tak boleh terima, dia boleh terus solat walau anak dah kencing. Kalau dia peka dan bertanggungjawab, insya-Allah dia yang akan susah payah ambil tanggungjawab bersihkan tak kira macam mana susah pun.

Sekiranya air kencing kena pada pakaian, badan dan tempat solat... maka tidak sah solat kerana suci daripada najis adalah syarat sah solat.

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

"Simple je sekarang apabila berlaku kes sebegini, panggil cleaner karpet, tak perlu pagar. Dalam sejam dah kering dan bersih tempat ni semua.

"Mesti orang tertanya-tanya anak siapa. AJK masjid pun kena alert bab viral ni. Kalau boleh, selesaikan cepat-cepat sebelum waktu solat seterusnya. Jangan selepas ni, seorang jemaah tak pergi masjid sebab malu sangat," komen netizen.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah berkongsi mengenai kedudukan kanak-kanak di dalam saf solat.

Seorang lelaki menunaikan solat di masjid. -Gambar hiasan

Menurutnya, jika kanak-kanak itu dikhuatiri mengganggu jemaah yang lain maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid.

"Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya.

"Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali.

"Jika kanak-kanak mampu berdikari, sebaiknya diletakkan di saf kanak-kanak," katanya menerusi perkongsian di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam hantaran berasingan memaklumkan bahawa seseorang yang sedang mendirikan solat fardu, tidak boleh membatalkan solatnya melainkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan syarak.

"Antara keuzuran yang dibenarkan syarak itu ialah seperti membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri orang yang sedang menunaikan solat," katanya.

Malah menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, sekiranya air kencing kena pada pakaian, badan dan tempat solat, maka tidak sah solat kerana suci daripada najis adalah syarat sah solat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain