suria

Anak mengamuk waktu Maghrib, ibu nyaris ajar guna hanger! Terkedu perubahan sikap selepas baca kalimah suci

Kerenah anak kecil boleh membuatkan ibu bapa hilang sabar. -Gambar hiasan

RINTANGAN atau dugaan dalam kehidupan boleh datang dalam pelbagai bentuk yang pastinya menguji tahap kesabaran seseorang.

Antara golongan yang menanggung cabaran hebat adalah ibu bapa yang perlu membesarkan cahaya mata Allah dengan didikan dan kasih sayang.

Melalui satu perkongsian di laman TikTok, seorang wanita sering berasa mahu meletuskan sahaja kemarahannya apabila anaknya suka meragam dan menmbulkan huru-hara di rumah pada waktu senja.

Emosi kanak-kanak sukar diramal. -Gambar hiasan

Bagaimanapun, wanita itu berjaya menenangkan diri apabila teringat akan pesanan daripada seorang ustazah yang pernah didengarinya.

"Selepas solat Maghrib tadi aku punya kesabaran memang mencecah tahap maksimum. Anak kecil aku mengamuk tak tentu arah, puncanya mak dia tak bagi main phone.

"Lagi buat dia marah sebab aku dah tukar kata laluan dekat phone siap-siap, jadi dia tak boleh buka sesuka hati. Ketika kejadian dia mengamuk tu aku tengah solat Maghrib, aku teruskan solat macam biasa.

"Bila tak dilayan, lagi anak aku tu naik angin. Dia pergi menjerit, tarik cadar katil dan tolak tilam sampai jatuh. Dalam hati ni dah membara, terfikir selepas habis baca doa nak pergi ambil penyangkut baju dan 'ajar' dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hampir depresi hadap anak tantrum, kalau marah ibu tarik muka... Suami tak boleh harap asyik nak bagi YouTube

ARTIKEL BERKAITAN: Mengamuk setiap pagi, menangis macam kena pukul... Ibu kanak-kanak tantrum anggap perkara biasa - “Nombor 2 ni perangainya lain sikit”

"Tapi aku kekal sabar sebab aku teringat seorang ustazah ni pernah cakap, ujian akan sentiasa berdamping dengan kita sejak dilahirkan. Ujian ini datangnya daripada Allah melalui pengantara seperti anak-anak atau sesiapa pun di sekeliling kita," ujarnya.

Wanita berkenaan kemudian mencuba satu amalan yang dipelajarinya sebagai usaha untuk menenangkan si anak dan ia terbukti berkesan.

"Walaupun sudah meluap-luap rasa geram, tapi aku yakin ini adalah cara Allah untuk tengok macam mana aku urus anak. Kalau aku marah dekat anak, secara tak langsung bermakna aku marah dengan Allah kerana turunkan ujian ni.

"Aku pantas sedar, kalau aku pukul anak, boleh jatuh berdosa diri aku ni. Jadi aku cuba satu teknik yang aku peroleh daripada ustazah sama, aku sebutkan 'Innalillahiwainnailaihirojiun'.

Pernah berada dalam situasi sama, bercucuran air mata ni membimbing anak, bukan senang jadi seorang ibu.

WARGA MAYA

"Kalimah ini bermaksud, sesungguhnya kita semua adalah milik Allah, dan kepada-Nya nanti kita akan kembali. Aku sebutkan kalimah ni berkali-kali dengan penuh keyakinan, Allah yang memegang hati anak aku dan Dia berkuasa ke atas segalanya.

"Tak sampai lima kali aku sebut kalimah suci ni, anak aku yang pada mulanya melalak dengan penuh amuk secara tiba-tiba terdiam jadi tenang. Dia bangun pergi betulkan cadar yang dia tarik dan susun semula katil yang dia tolak," ujar wanita itu yang terkedu melihat perubahan anaknya.

Tambah wanita tersebut, kejadian itu juga membuatkan dirinya berasa begitu dekat dengan Allah.

"Allahuakbar, tak sangka perkara yang terjadi depan mata ni. Aku terus menangis atas sejadah yang aku solat tadi. Terasa diri ni kerdil dan lemah, syukur Allah bantu untuk keadaan jadi lebih baik.

Pelayar bertukar pandangan.

"Bermuhasabah diri sekejap, Allah sentiasa ada dengan kita tanpa sedar atau tidak. Ujian yang ditimpakan ini adalah untuk Allah melihat macam mana kita bertindak bagi mencari jalan penyelesaian.

"Ketika dirasakan hidup ini terlalu kusut, sentiasa kembali kepada Allah, hanya Dia yang boleh memahami dan berupaya meringankan beban pada bahu kita," ujar wanita tersebut menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya terutamanya kaum ibu turut memahami keperitan yang dilalui wanita berkenaan.

"Terima kasih kerana sudi kongsikan kisah ni, saya akan cuba berlembut dengan anak walaupun selama ini saya baran.

"Pernah berada dalam situasi sama, bercucuran air mata ni membimbing anak, bukan senang jadi seorang ibu. Sampai pernah timbul rasa penyesalan kerana melahirkan anak ke dunia ini," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain