suria

Penyelamat terjah kondo, pemilik beritahu apa salah anjingnya sampai kena belasah! Pelaku rupanya figura terkenal

Shima menyelamatkan seekor anjing yang dipukul oleh seorang lelaki.

RAKAMAN tular menunjukkan seorang lelaki mendera seekor anjing berulang kali tanpa belas kasihan membangkitkan kemarahan ramai.

Sudahlah dipukul dan ditampar, dilibas pula anjing baka Husky itu dalam kejadian di kediamannya di sebuah kondominium di Kajang, Selangor.

Mujur ada penyelamat bebas yang memberanikan diri bertemu dengan pemilik anjing tersebut sebelum haiwan berkenaan diserahkan kepadanya dengan rela hati.

Shima Aris berkata, dia membuat keputusan untuk bertindak selepas menerima video tersebut menerusi satu grup WhatsApp, pada Isnin malam.

Tangkap layar video seorang lelaki didakwa memukul anjingnya berulang kali.

"Ikutkan tak sampai hati tengok tapi tertengok juga. Saya rasa marah pada orang yang dera haiwan dan orang yang rakam tapi tak buat apa-apa.

"Kami dah buat laporan polis Isnin malam. Alhamdulillah, ramai membantu. Pemilik anjing tu sewa rumah di situ, kami dapat berhubung dengan tuan rumah dan dia sekali," katanya ketika dihubungi mStar.

Shima yang merupakan penyelamat bebas untuk anjing dan kucing terbiar sejak lima tahun lalu mendedahkan bahawa kunjungan ke rumah pemilik anjing itu mendapat kerjasama pihak pengurusan kondominium.

Mengulas lanjut, kunjungannya pada pagi Selasa itu turut disertai dua rakan penyelamat bebas, seorang doktor veterinar dan pengawal keselamatan.

"Tiada masalah, kami bercakap dengan baik tanpa pergaduhan. Dia tahu video (pukul anjing) dah tular. Anjing baka Husky memang jenis playful macam baby tapi saya tanya dia, apa salah anjing tu?

"Dia jawab dia pukul sebab anjing tu kencing merata-rata dan suka rosakkan perabot di rumah," ujar Shima yang turut mendapat sokongan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berperanan menyelamatkan haiwan terbiar.

Anjing dibawa ke klinik haiwan untuk rawatan.

Lebih mengejutkan, dakwa Shima, pemilik anjing itu mengakui bukan pertama kali dia memukul haiwan peliharaan tersebut.

"Saya cakap anjing bukan boleh bercakap dan ia sekadar haiwan tak boleh dilayan macam tu. Dia juga mengaku kadang-kadang pukul anjingnya sebab stres selepas balik dari kerja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sahkan anjing Husky teruk dibelasah kini selamat dalam jagaan tapi sangat trauma

ARTIKEL BERKAITAN: Sekumpulan lelaki hayun kayu, bergilir-gilir belasah anjing tempang sampai mati... Siap pesan jangan rakam dan ‘post’ di media sosial

Shima bagaimanapun menegaskan bahawa dia tidak memaksa pemilik anjing tersebut untuk menyerahkan haiwan peliharaannya.

"Saya tak berhajat nak ambil anjing tu, saya datang cuma nak tahu anjing tu masih hidup atau tidak. Sebab itu saya datang bersama doktor veterinar.

"Anjing tu diperiksa di luar rumah dan doktor mendapati tiada cedera pada fizikal, tapi anjing tu memang sangat trauma. Anjing tu dalam keadaan takut.

"Pemilik serah anjingnya di luar rumah dengan rela hati, mungkin sebab dah kantoi. Bukan saya yang culik, saya terima pun sebab kalau dibiarkan lama, risau anjing tu mati. Mungkin dia kantoi sebab pukul dekat balkoni jadi orang lain nampak, kalau pukul dalam bilik, orang tak tahu," jelasnya.

Anjing tersebut dalam jagaan di sebuah klinik haiwan.

Menurut Shima, anjing yang dinamakannya sebagai Kitster kini berada dalam jagaan baik di sebuah klinik haiwan untuk rawatan dan pemulihan.

Dia bagaimanapun tidak menyangka pemilik anjing baru berusia lingkungan 20-an dan mendakwa dia adalah seorang figura yang dikenali dalam bidang sukan.

Saya tak berhajat nak ambil anjing tu, saya datang cuma nak tahu anjing tu masih hidup atau tidak.

SHIMA ARIS

PENYELAMAT BEBAS

"Kalau tengok secara luaran, dia nampak normal. Tak nampak kejam seperti yang disangka. Kalau pemilik betul-betul sudah insaf, saya akan pulangkan anjingnya semula.

"Sekarang biar anjing tu diberikan rawatan secukupnya sampai betul-betul sihat," katanya sambil menambah seekor lagi anjing baka Pomeranian yang masih berada di rumah lelaki berkenaan adalah merupakan haiwan peliharaan milik teman wanitanya.

Shima berharap pemilik anjing tersebut benar-benar insaf.

Terdahulu, mStar melaporkan mengenai rakaman tular menunjukkan seorang lelaki memukul anjingnya berulang kali sebelum diselamatkan oleh Shima untuk diberikan rawatan.

Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menyifatkan tindakan lelaki di dalam video yang tular bukan sahaja biadab, malah melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015 Seksyen 29.

SAFM dalam satu kenyataan berkata, penganiayaan haiwan boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, SAFM menyeru kepada masyarakat untuk segera melaporkan sebarang kejadian kezaliman haiwan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain