suria

Pernah burnout, hilang kawalan pukul anak autisme... Wanita duga bapa tanya soalan sukar - “Abah serah kepada polis untuk siasat”

Nadia Parmila akui 'burnout' semasa menguruskan anak istimewanya sendirian.

KES pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin terus mendapat perhatian ramai selepas fakta kes serta dua keping gambar kecederaan dipercayai semasa proses bedah siasat tersebar di media sosial.

Tidak terkecuali wanita berusia 37 tahun ini yang turut terkesan dengan insiden ngeri tersebut kerana turut memiliki anak istimewa dan secara kebetulan video pengalamannya menjaga anak autisme yang dikongsi di TikTok menjadi tular.

Berkongsi cerita dengan mStar, Parmila Yunnus berkata, rakaman tular tentang butir perbualan dengan bapanya yang dimuat naik di media sosial berlaku secara spontan semasa dia dalam perjalanan selepas mengambil anak autistiknya, Ayden Malique Affiq Azwan pada Isnin.

"Sejak saya bekerja freelance sebagai Business Development, saya banyak masa di rumah, jadi saya ada banyak masa sejak tiga bulan terakhir ni dengan anak-anak dan ibu bapa saya.

"Saya ikuti kisah Zayn Rayyan sebab saya ada anak autisme berusia tujuh tahun sama macam Zayn, sekolah pun sama PPKI (Pendidikan Khas) cuma kami di Shah Alam (Selangor). Sejak kes tersebut, setiap hari kami tunggu update... saya rasa sangat ralat.

Tangkap layar perkongsian perbualannya dengan ayah tentang anak autistik.

Tangkap layar perkongsian perbualannya dengan bapa tentang anak autistik.

"Sejujurnya, sewaktu awal kisah arwah, saya hanya berkata pada diri sendiri. Jika saya di tempat ibu arwah Zayn Rayyan, saya tidak mampu menjawab soalan, mungkin hanya tangisan," ujarnya memulakan cerita.

Mengimbau kembali perbualan awal dengan bapanya, wanita kelahiran Tawau, Sabah ini berkata, dia menceritakan pengalaman menjaga anak keduanya, Ayden yang ketika itu berumur tiga tahun.

Katanya, pada masa itu dia tinggal bersama anak sulung Ayra Yasmine Affiq Azwan yang berusia empat tahun dan Ayden.

"Saya sangat burnout (letih mental dan fizikal) dan penat dengan kerja seharian di rumah. Ayden sentiasa perlukan perhatian dan waktu ini dia mula mengorek najisnya sendiri dan hidu atau makan.

"Lagi membuatkan saya burnout, waktu Ayden umur setahun sebab dia sakit yang sangat kritikal, jangkitan kuman dalam darah dan doktor nasihatkan saya berhenti untuk fokus kepada Ayden 100 peratus," imbaunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Panik anak autisme hilang, ibu terus terjun kolam ikan keli... Dah tak peduli rasa geli, kena sengat

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tenang galas tanggungjawab besarkan 4 anak autisme, seorang sakit jantung berlubang... ilmu Sains anak lelaki sulung memang power!

Bercerita lanjut, dia mengakui pernah memarahi anak istimewa itu kerana melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Tambahan pula ketika itu, dia baru sahaja ingin menikmati hidangan selepas seharian menguruskan rumah tangga.

"Ayden buat hal, saya jadi emosi dan saya marah sebab Ayden saya perlu berhenti kerja, saya pertaruhkan segalanya untuk dia tapi kenapa dia buat macam tu. Waktu ni saya awal 30an. Jadi, bayangkan saya pukul Ayden dengan sekuat hati, sampai berbalar badan.

"Anak sulung menangis tengok saya dan tak bercakap apa sebab tak faham. Ayden pula tak menangis... saya pukul dan saya menangis apabila tengok badan tangan dia berbalar," luahnya dalam kesedihan.

Menurut wanita ini, dia bersyukur kerana pada masa itu dia terus menghubungi dan meminta suaminya pulang disebabkan rasa bimbang jika perkara tidak diingini berlaku terhadap Ayden.

Kami punya support system yang sangat kuat. Hidup sebagai ibu bapa istimewa ni, bagi saya, tidak boleh bersendirian. Perlu ada orang lain di rumah.

NADIA PARMILA

Imbaunya lagi, tahun 2018 hingga 2019 dia disahkan menghidap anxiety yang berpunca daripada Ayden kerap sakit.

"Saya kerap terjaga malam melompat dari tempat tidur sebab nak periksa anak saya hidup atau tak. Tahun saya tidak bekerja, stres sebab saya ada ijazah, master tapi kenapa saya duduk rumah," katanya lagi.

Bercerita lanjut, ujarnya, selepas mendedahkan situasi yang dialami itu kepada bapanya dan mengambil kira tindakan yang pernah dilakukan terhadap Ayden, dia terus menyatakan tidak mustahil sekiranya ia turut dilakukan oleh ibu-ibu lain yang mempunyai anak autisme serta berdepan masalah sama.

Malah demi mendapatkan jawapan daripada persoalan yang diajukan, dia mengakui terpaksa mengulang soalan itu sebanyak tiga kali kepada bapanya.

"Saya ulang tiga kali pertanyaan pada abah, kalau saya buat (pukul) Ayden sehingga habis nyawa. Abah akan bantu saya selamatkan dari polis atau akan serahkan pada polis?

Ibu dan ayahnya datang dari Sabah bagi membantu menguruskan anak-anaknya.

Ibu dan bapa datang dari Sabah bagi membantu menguruskan anak-anaknya.

"Lama abah saya termenung, 10 minit senyap sunyi dalam kereta, tak terkata abah saya. Jauh dia termenung... saya paksa jawab, saya nak tahu sebagai seorang bapa, apa abah akan buat?

"Akhirnya abah saya jawab, berdasarkan cerita saya pada dia, yang saya pernah burnout dan pukul Ayden. Abah saya kata, yang salah tetap salah, kalau tangan kau yang buat, walaupun kau anak, abah tidak akan bersubahat. Abah serahkan pada polis," ceritanya lagi.

Dalam pada itu, berkongsi tentang cabaran membesarkan anak autistik, ujar ibu kepada dua cahaya mata ini, selepas insiden dia memukul Ayden, dia terus meminta ibunya datang dari Sabah ke Shah Alam bagi membantunya membesarkan anak-anak.

Ia berikutan dia perlu bekerja semula bagi mengukuhkan kewangan untuk membesarkan anak autistik seterusnya membuat pendaftaran di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Suami pada awal tidak dapat menerima keadaan Ayden, lama saya pujuk untuk bincang dan buat keputusan tentang perancangan seterusnya. Akhirnya suami akur, selepas kad OKU Ayden dapat, ada perubahan pada suami... dia sudah mula terbuka.

Ibunya membantu menjaga Ayden sejak lahir.

Ibunya membantu menjaga Ayden sejak lahir.

"Cabaran lain adalah, sesi terapi di hospital kerajaan yang sangat terhad sebab waktu itu kami belum mampu untuk ke terapi swasta.

"Jadi kami bergilir-gilir ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) dan Hospital Shah Alam. Cuti semua dikorbankan untuk terapi dan temu janji Ayden," ujarnya.

Nadia Parmila turut menzahirkan kesyukuran kerana sentiasa mendapat sokongan daripada seluruh ahli keluarga sama ada di sebelahnya mahupun suami.

"Kami punya support system yang sangat kuat. Hidup sebagai ibu bapa istimewa ni, bagi saya, tidak boleh bersendirian. Perlu ada orang lain di rumah.

"Contoh macam sekarang, Ayden masih korek najis, tapi seorang akan cuci, seorang akan bantu bersihkan dan seorang akan sediakan lampin pakai buang, baju lebih... jadi tekanan sudah berkurang malah jadi bahan lawak kami sekeluarga," kongsinya lagi.

Tambahan pula katanya, anak sulung yang kini berusia lapan tahun sudah memahami situasi dan sentiasa menenangkannya setiap kali dia berasa tertekan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain