suria

[V] Rombongan meminang hantar 70 dulang hantaran, perjanjian hanya 9 berbalas 11... Penuh rumah famili perempuan

BERBALAS dulang hantaran sememangnya sudah menjadi adat dalam majlis pertunangan mahupun perkahwinan khususnya bagi masyarakat Melayu.

Biarpun ia tidak wajib, namun pemberian hantaran sudah dianggap sebagai sebahagian daripada perkara penting dalam sesebuah majlis sama ada pertunangan atau pernikahan bagi meraikan pasangan masing-masing.

Nilai, jenis barangan ataupun bilangan dulang hantaran bukanlah ukuran, apa yang penting pemberian tersebut ikhlas daripada hati.

Dalam satu perkongsian yang tular di TikTok, seorang gadis menjadi perhatian warga maya gara-gara menerima dulang hantaran yang banyak daripada bakal suaminya.

piza 2

Fiza bersama kedua ibu dan bapanya.

"70 dulang (pihak lelaki) berbalas 23 dulang (pihak perempuan)," demikian kapsyen yang ditulis pada video yang sehingga kini meraih lebih 178,000 jumlah tontonan itu.

Berkongsi cerita dengan mStar, Dayang Norhafizah Awang Gani berkata, dia sendiri hanya mengetahui keluarga pihak lelaki membawa sebanyak 70 dulang ketika majlis pertunangan berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 tahun bertunang, pemuda tarik diri tak mampu sedia duit hantaran! Lepas putus, canang ‘belah perempuan bermasalah’

ARTIKEL BERKAITAN: Beri barang dapur sebagai hantaran, pasangan usahawan pekakkan telinga orang mengata! Mak andam, jurufoto pun tiada... Janji jimat kos!

"Sebenarnya saya sendiri tak sangka pihak keluarga tunang bawa dulang hantaran yang banyak. Saya hanya tahu apabila ayah yang beritahu.

"Kalau ikutkan perancangan saya dan tunang, kami merancang mahu memberi sebanyak sembilan dulang berbalas 11.

piza 3

Bergambar bersama sebahagian keluarga bakal suaminya.

"Namun begitu, bila tibanya hari majlis, adik-beradik serta saudara mara bagi kedua-dua belah pihak tak lokek menyumbang... itu yang jadi banyak," ujar gadis yang berasal dari Asajaya, Samarahan, Sarawak ini.

Senang disapa sebagai Fiza, gadis yang berusia 21 tahun ini berkata, 70 dulang yang diterima daripada keluarga tunangnya, Mohd Faizal, adalah berupa makanan, coklat, kek, pencuci mulut dan persalinan.

Adik-beradik serta saudara mara bagi kedua-dua belah pihak tak lokek menyumbang... itu yang jadi banyak.

DAYANG NORHAFIZAH AWANG GANI

"Happy sangat. Memang budaya orang Sarawak begini, sama-sama menyumbang sesuatu bagi meraikan ahli keluarga baharu. Bakal suami saya juga orang Sarawak.

"Orang kata, saling mengalu-alukan bakal ahli keluarga baharu," ujarnya.

Tambah Fiza, video berkenaan dirakam ketika majlis pertunangannya yang berlangsung pada 30 Jun lalu.

piza 4

Fiza ceria bersama keluarga besarnya pada majlis pertunangan 30 Jun lalu.

"Saya sekadar memuat naik video tersebut untuk diabadikan sebagai kenangan ketika kemeriahan majlis pertunangan. Tak sangka langsung boleh jadi viral.

"Terharu apabila membaca komen netizen. Mereka tumpang gembira tengok kemeriahan majlis. Ada yang komen, cakap saya beruntung dapat bakal keluarga mentua yang baik, penyayang dan pemurah.

"Tak tahu nak balas apa... saya hanya mampu doakan moga mereka di luar sana juga dikurniakan jodoh yang baik-baik," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain