suria

Dulu cuma ejek, kini berani cekik anak orang! Ibu kesal mangsa buli kena gantung sekolah, hukuman sama dengan pembuli

Noor Azalina menceritakan insiden buli yang didakwa berlaku terhadap anak lelakinya.

SEORANG wanita meluahkan rasa kecewa apabila anak lelakinya yang didakwa menjadi mangsa buli turut dikenakan hukuman tegas daripada pihak pengurusan sekolah selepas insiden tersebut dilaporkan.

Bukan itu sahaja, menerusi video tular, pemilik akaun TikTok, Kak Ina Nazana juga mendakwa anaknya digantung sekolah selama dua minggu disebabkan telah bertindak balas mempertahankan diri dengan mencekak kolar baju pembuli terbabit.

Memulakan cerita, ujar wanita ini, dia terkejut apabila anaknya mengadu dengan mendakwa tangan dikilas ke belakang dan telah dicekik oleh dua rakan sekolah sehingga meninggalkan kesan pada leher.

Susulan itu, dia menghubungi guru terlibat dan penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) di sekolah tersebut bagi memaklumkan tentang kejadian yang berlaku.

Kesan kecederaan disebabkan dicekik.

Kesan kecederaan disebabkan dicekik.

"Gambar dan mesej perbualan serta ugutan budak-budak pada anak pun Kak Ina bagi pada cikgu-cikgu.

"Malam tu, bawa anak pergi hospital tapi MA (pembantu perubatan) cakap kalau nak panjangkan kes buli, kena pergi buat laporan polis dahulu barulah doktor akan lakukan pemeriksaan penuh," kongsinya di laman TikTok.

Meskipun dinasihatkan untuk membuat laporan polis, namun bagi wanita ini, ia merupakan tindakan melulu dan akan menyebabkan pelajar terlibat dikenakan tindakan tegas mengikut perundangan negara.

Justeru, dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan pihak pengurusan sekolah terlebih dahulu bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar aspuri tumbuk rakan sebilik, geram biskut gajus selalu lesap! Rupanya mangsa ada ‘sejarah’ hitam

ARTIKEL BERKAITAN: 30 tahun berlalu, mangsa buli tuntut ‘hutang’ kemaafan daripada senior sekolah! Darah mendidih setiap kali terserempak

Tambahan pula, pelajar terlibat tinggal berhampiran rumahnya dan telah dikenali sejak bangku sekolah rendah.

Umpama air susu dibalas dengan air tuba, wanita ini mengakui pelik apabila anaknya turut digantung sekolah bersama pelajar-pelajar terlibat meskipun menjadi mangsa keadaan.

Meluahkan kesedihan pada mStar, Noor Azlina Arshad berasa kesal dengan keputusan dan tindakan pihak pengurusan sekolah terhadap anaknya yang telah menjadi mangsa buli.

Pihak sekolah buat keputusan mengenakan hukuman gantung sekolah pada anak kak dan budak-budak tu.

NOOR AZLINA ARSHAD

"Selepas kak mengadu pada pihak sekolah dan berjumpa pengetua, PK HEM dan kaunselor. Pihak sekolah buat keputusan, anak kak dan si pembuli tu dikenakan hukuman gantung sekolah selama dua minggu.

"Ini yang kak kesalkan... adakah patut anak kak yang menjadi mangsa buli, dikenakan hukuman yang sama dengan si pembuli.

"Alasan yang pihak sekolah bagi sebab anak kak bertindak balas mempertahankan diri dengan mencekak kolar baju pembuli tu. Sepatutnya pihak sekolah cakap, anak kak jangan melawan langsung," luahnya kesal.

Kejadian buli sinonim dengan pelajar sekolah menengah. -Gambar hiasan

Kejadian buli sinonim dengan pelajar sekolah menengah. -Gambar hiasan

Dia yang berniaga kecil-kecilan di sekitar Kuala Ketil, Kedah berkata, kes buli tersebut berlaku sejak anaknya di bangku sekolah rendah lagi yang mana pada masa tersebut dia diherdik kerana membonceng motosikal buruk.

"Kes ni dari sekolah rendah lagi tapi bermula dengan ejek-mengejek. Kemudian apabila naik sekolah menengah budak-budak tu semakin berani bertindak," tambahnya sambil menyatakan pembuli berusia 13 tahun dan 14 tahun.

Malah kata wanita berusia 39 tahun ini, anaknya yang baru berusia 13 tahun turut menerima mesej berbaur ugutan daripada pelajar terbabit

Dalam pada itu, dia menyatakan insiden yang berlaku pada 11 Jun lalu diketengahkan semula bagi mendapatkan keadilan untuk anaknya yang dirasakan menerima hukuman tidak wajar.

Warga maya memintanya membuat laporan polis.

Warga maya memintanya membuat laporan polis.

"Ya, kes memang bulan Jun. Kak tak naikkan video pasal ni sebab nak bagi peluang pihak sekolah mengambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga nama baik sekolah.

"Pada masa sama, kak tak mahu bertindak melulu. Kak bagi masa dua minggu dekat pihak sekolah tapi selepas waris budak-budak dipanggil, pihak sekolah buat keputusan mengenakan hukuman gantung sekolah pada anak kak dan budak-budak tu.

"Mereka digantung sekolah bermula 30 Jun sehingga 11 Julai nanti. Rayuan kak bertarikh 1 Julai supaya anak dapat bersekolah semula dan mempertimbangkan hukuman yang dikenakan hanya dilayan dengan mengurangkan hukuman kepada seminggu sahaja," ujarnya yang menerima surat rasmi pada 27 Jun.

Tambah wanita ini lagi, pengurangan hukuman turut diberikan kepada pelajar yang didakwa membuli anaknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain