RAKAMAN video kanak-kanak yang memeluk erat seorang lelaki sambil menangis teresak-esak meruntun hati warga maya. Tambahan pula, kapsyen pada video tersebut menyatakan dia adalah anak yatim yang diambil selepas pemergian kedua-dua ibu bapanya. "Ini adalah anak yatim yang aku ambil selepas pemergian ibu bapanya. Jadi, kamu siapa untuk katakan dia kurang kasih sayang?" coret pemilik video bernama Mira Nirwani Mohamed. Di ruangan kapsyen, dia turut menyatakan akan berjuang berhabis-habisan bagi memastikan anak kecil itu merasai kehidupan sebuah keluarga. Tiga adik-beradik ini dijaga oleh ibu dan bapa saudara. "Akan aku berjuang habis-habisan untuk izinkan mereka merasa apa itu sebuah keluarga," luahnya lagi. Menurut Mira video tersebut dirakam selepas dia meletakkan batu nisan pada kubur arwah kakaknya yang juga ibu kepada kanak-kanak lelaki terbabit, Muhammad Mikail Rifqi Nor Radzuan yang kini berusia 10 tahun. Memulakan cerita, dia yang berkhidmat di Lembaga Pertubuhan Peladang di Perlis berkata, kakaknya maut dalam kemalangan pada pagi Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu selepas kenderaan yang dinaiki bersama suami dan anak bongsu mereka merempuh sebatang pokok di tepi jalan. ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni dedah sisi gelap rumah anak yatim, pemilik hidup mewah seleweng duit derma... Jual semula pakaian sumbangan! ARTIKEL BERKAITAN: Anak yatim luah rasa rindu, sejak kecil tak merasa pelukan bapa... 2 lelaki meluru datang peluk cium sebagai ‘hadiah’ "Arwah meninggal di tempat kejadian manakala suaminya cedera parah dan anak bongsu cedera di mulut. "Selepas uruskan jenazah kakak, saya mengambil keputusan untuk jaga ketiga-tiga anaknya kerana mereka tiada waris lain dan mungkin dihantar ke rumah anak yatim," ujarnya ketika dihubungi mStar. Ditanya tentang keadaan abang iparnya, Mira yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana masalah tulang belakang dan urat saraf bagaimanapun berkata ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Mereka melihat jenazah ibu buat kali terakhir. Dalam pada itu tambah pasangan kepada Muhammad Alif Malek ini lagi, dia sebenarnya sudah menjaga adik kepada Mikail iaitu Nur Qistina Batrisya, 7, sejak lahir berikutan kewangan arwah kakak dan abang iparnya tidak baik pada masa tersebut. Malah katanya, keputusan untuk menjaga Mikail serta Rabiatul Adawiah, 6, dibuat kerana tidak mahu ketiga-tiga beradik tersebut terpisah. Tambahan pula dia dan suami masih belum dikurniakan zuriat meskipun usia perkahwinan sudah menjangkau 10 tahun. Mengimbau tragedi pada 2 Mei 2022, ujarnya, dia sekeluarga berkumpul sehari sebelum sambutan Aidilfitri. Mira dan suaminya sudah berkahwin 10 tahun. "Arwah datang jumpa dan minta ampun maaf macam sambut hari raya awal. Dia cakap nak balik kampung sebab masa tu raya mengejut. "Tak sangka keesokan paginya kami dikejutkan dengan kehadiran polis pada pukul 7.30 pagi yang memaklumkan tentang kemalangan serta meminta waris menuntut mayat di hospital. "Memang sukar anak-anak arwah nak terima terutama yang bongsu sebab dia terlibat sekali dalam kemalangan, seminggu dia menjerit dan meronta-ronta sebab nak ikut arwah," katanya sambil memaklumkan suaminya juga adalah seorang OKU kerana Cerebral Palsy (CP). Walau bagaimanapun, dia bersyukur kerana Rabiatul kembali pulih selepas dipujuk oleh abang dan kakaknya. Ujar Mira lagi ketiga-tiga kanak-kanak terbabit kini memanggilnya dan suami sebagai umi serta walid selepas dokumentasi berkaitan pengambilan anak angkat selesai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube