suria

Pukul 5 pagi masuk kebun durian, kerja sampai tengah malam... Anak tauke raja buah ini tak lupa jasa bapa, kenang kisah ‘cup cake’ 6 biji

Amin berbangga dengan bisnes durian yang diusahakan bapanya selama hampir 20 tahun.

MUSIM durian kembali! Dalam keasyikan penggemar durian menikmati raja buah itu, ada pihak yang bersengkang mata bagi memastikan hasilnya dapat dinikmati orang ramai.

Buktinya seorang warga emas sanggup bangun seawal 5 pagi untuk ke kebun durian dan kemudian berniaga sehingga lewat malam demi mencari rezeki buat keluarga.

"Kadang-kadang malu dengan ayah sendiri. Ayah dah berusia 60 tahun, tapi dia masih gigih nak cari rezeki," luah seorang anak menerusi satu video di laman sosial.

Berkongsi cerita kepada mStar, Muhammad Amin Syarifuddin Aziz berkata, bapanya yang berusia 60 tahun sudah berniaga durian selama hampir 20 tahun meskipun hanya secara kecil-kecilan.

Kata pemuda berusia 23 tahun itu, kesungguhan bapanya mencari rezeki dapat dilihat daripada sikapnya yang tidak pernah memilih segala jenis perniagaan.

"Pernah satu masa, ayah buat bisnes air botol dan hanya mengaut keuntungan RM3 setiap jualan. Tapi ayah masih cekal untuk berniaga.

"Walaupun ayah mengerahkan tenaga sekuat mana pun untuk cari rezeki, apa yang penting bagi dia adalah perniagaan itu halal untuk menyara kehidupan sekeluarga," katanya kepada mStar.

ayah jual durian 2

Bapa Amin berniaga durian hampir dua dekad.

Mesra disapa Amin, dia menyifatkan bapanya seorang yang sangat tegas dalam mendidik anak-anak dan tidak pernah memanjakannya bersama adik-beradik lain dengan kesenangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar KPTM pandai buat duit, jual baju boleh dapat RM100,000! Tak sia-sia pemuda ini ikut nasihat mak ayah suruh cari ilmu

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah ikat perut, kongsi roti 80 sen... Lima sekawan konvoi naik skuter 200km, nak sangat tengok sahabat baik bersanding

Maka tidak hairan bapanya menjadi role model untuk mereka terus berusaha menjadi insan berguna dan berjaya.

"Ayah tak pernah mewahkan kami dengan harta-benda melainkan kami bekerja dengan dia untuk beli segala apa yang kami inginkan.

"Dia mahu mendidik kami supaya tidak ambil mudah untuk berjaya seperti mana dia berusaha untuk berniaga," ujarnya yang berasal dari Semenyih, Selangor.

Amin (tengah) bersama ibu bapanya.

Menurut anak ketujuh daripada lapan beradik itu, sesusah manapun, bapanya tidak pernah culas untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Bercerita lanjut tentang bapanya yang mengusahakan perniagaan Gerai BuahTok Janggut, Amin berkata dia begi mengagumi figura itu yang sentiasa mengutamakan keluarga walaupun terpaksa bersusah payah.

"Satu kisah yang saya takkan lupakan sampai bila-bila ketika hari ulang tahun saya yang ke-6. Walaupun ayah susah masa tu, saya teringin sangat nak sambut hari jadi.

Setiap kali melihat gambar hari jadi tu, saya menangis teringat segala jasa ayah membesarkan kami.

MUHAMMAD AMIN SYARIFUDDIN AZIZ

"Ketika itu pula sesi pembukaan sekolah semakin dekat, jadi ayah dah banyak berhabis duit untuk beli barang kelengkapan sekolah untuk anak-anak yang bersekolah.

"Ayah hanya mampu belikan enam muffin untuk penuhi hajat anaknya sambut hari lahir walaupun bukan secara besar-besaran," ujarnya yang kini merupakan pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Bangi.

Kenangan... Amin (hadapan) ketika menyambut ulang tahun ke-6.

Malah kata Amin, dia masih menyimpan gambar sambutan hari ulang tahun ketika berusia enam tahun sebagai tanda kenangan.

"Setiap kali saya melihat gambar hari jadi tu, saya menangis teringat segala jasa ayah membesarkan kami

"Walau susah macam mana pun, ayah tak pernah mengeluh untuk memberikan yang terbaik," jelasnya sambil menambah gerai durian bapanya di Semenyih kini mencatatkan jualan purata antara 300 kilogram (kg) hingga 500kg setiap hari, dan boleh mencecah satu tan pada hujung minggu.

Amin (hadapan) bersama adik-beradik di gerai durian.

Dalam pada itu, Amin sentiasa mengingati pesanan bapanya yang kini dikurniakan sembilan cucu dan perwatakannya semakin penyayang dan memahami.

"Ayah selalu pesan, jangan pernah rasa diri kita hebat dengan apa yang kita ada sekarang. Ini kerana semua itu sementara dan adalah milik Allah.

"Berusahalah bersungguh-sungguh walaupun kita dah berjaya. Jangan cepat selesa dengan kejayaan-kejayaan kita yang lepas," ujar Amin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain