REDA adalah sifat terpuji yang dituntut oleh setiap umat Islam. Walaupun sesuatu yang dihajati tidak kesampaian atau sesukar mana pun ujian dihadapi, kita perlu yakin pasti ada hikmah tertentu yang tersembunyi. Penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkongsi cerita mengenai seorang rakannya yang cuba berdamai dengan takdir dan ujian Allah. Lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, beliau memberitahu rakan yang dikenalinya ketika zaman muda itu mendapat tawaran menyambung pengajian ke sebuah maktab perguruan, tetapi tidak berminat untuk menjadi cikgu. Kebolehan seorang guru mengajar menjadikan dirinya disayangi murid-murid. -Gambar hiasan “Minta universiti tak dapat. Aku nak buat apa ni? Bertalu-talu dia tanya dengan dahi berkerut seribu. Ustaz pun tanya dia balik... hang dah buat istikharah ke masa nak minta universiti tu? Dia jawab sudah,” kongsi Ustaz Hanafi di Facebook. Difahamkan rakannya itu sebenarnya lebih berminat untuk berniaga berbanding bergelar guru, sehingga Ustaz Hanafi cuba untuk menenangkannya. ARTIKEL BERKAITAN: Imam disegani rupanya ada zaman gelap... Pernah bankrap, 8 tahun tak solat! Rezeki melimpah lepas tergerak hati ke masjid ARTIKEL BERKAITAN: Penagih minta ustaz tempah bilik VIP di neraka, mati nak terus check in! Kini jadi siak masjid, insaf lepas ibu meninggal Menurut beliau, nikmat setiap manusia adalah tidak sama dan setiap orang mempunyai jalan rezeki masing-masing. Tambahnya lagi, kemungkinan rezeki Allah buat rakannya itu dengan menjalankan tanggungjawab sebagai guru. “Aku tak bolehlah. Aku fikir bukan-bukan. Aku tengok ada kawan-kawan kita pakai kereta. Aku stres, aku masih tak ada apa-apa," imbas Ustaz Hanafi tentang rungutan rakannya itu. Menjana pendapatan sampingan dengan mengajar anak-anak penduduk setempat. -Gambar hiasan Namun sebagai sahabat Ustaz Hanafi cuba menenangkan individu berkenaan agar percaya tentang rezeki Allah. “Zaman tu kalau pakai kereta Wira Aeroback tu memang dah hebat sangat. Kawan-kawan kerja kilang saja dah pakai kereta. Ustaz pujuk dia lagi, relaks... rezeki hang mesti ada satu hari nanti. Hang tenang saja, sabar,” ujarnya. Akhirnya rakan Ustaz Hanafi itu berjaya menamatkan pengajian hingga bergelar seorang guru. Bagaimanapun rakannya itu berjumpa lagi dengannya dan kali ini meluahkan rasa tertekan dan sedih kerana terpaksa ditugaskan di kawasan pedalaman di Sabah. “Hang kena bersyukur. Itu jalan yang dipilih Allah. Hang jangan serabut sangat, mesti ada hikmah. Hang ikut saja apa yang Allah bagi. “Ustaz tambah lagi... Hang kan minat berniaga. Aku doakan hang ada pusat tuisyen kat Sabah nanti,” katanya sambil menambah rakannya itu akur bertugas sebagai guru di Sabah. Ustaz Hanafi berkongsi kisah kemasyarakatan yang memberi inspirasi dan pengajaran. Kini apa yang mengejutkan ialah rakan kepada Ustaz Hanafi itu sudah menjadi kaya-raya meskipun tidak membuka pusat tuisyen di Negeri Di Bawah Bayu itu. Walaupun tidak suka bergelar pendidik, namun dia berusaha menjadi guru yang terbaik dan melakukannya bersungguh-sungguh sehingga disukai ramai murid. “Budak-budak suka cara dia mengajar, mudah faham. Mak ayah pun suka. Dia jadi guru yang sangat hebat mengajar Matematik. Fokus pada apa yang kita miliki bukan semata-mata apa yang kita inginkan. USTAZ HANAFI PENCERAMAH BEBAS “Macam mana dia boleh jadi kaya? Dia buat kerja separuh masa mengajar anak-anak tauke balak di Sabah subjek matematik. Tauke balak ni bagi upah tinggi pada kawan ustaz ni. “Masya-Allah, rezeki daripada Allah. Alhamdulillah, tabarakallah,” kata Ustaz Hanafi dengan penuh rasa bangga dan kesyukuran. Penduduk setempat menjana pendapatan melalui aktiviti pembalakan. -Gambar hiasan Menurut Ustaz Hanafi lagi, ramai orang tidak berasa bahagia dalam hidup, malah ada yang gelisah dan tidak tenang. “Ini kerana mereka lebih fokus pada apa yang diinginkan, bukan yang dimiliki. Fokus apa yang kita miliki bukan semata-mata apa yang kita inginkan. Fokus pada apa yang kita miliki adalah sifat orang yang bersyukur. “Dalam cerita kawan ustaz, Alhamdulillah dia menyedari kelebihan yang ada pada diri iaitu pandai ajar matematik. Walaupun pada awalnya dia tidak suka jadi guru tapi tetap menggunakan kelebihan yang ada untuk beri manfaat yang terbaik kepada murid,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube