suria

Ralit kerja, anak perantau kesal ‘set’ telefon mod senyap! Mujur rakan sedar panggilan berkali-kali, terduduk dapat tahu mak meninggal

Seorang pekerja stesen minyak terduduk menerima khabar duka mengenai ibunya.

KEHILANGAN ibu dan bapa merupakan perkara yang paling ditakuti oleh setiap anak.

Bayangkan apabila anda sebagai anak menerima khabar duka mengenai pemergian orang tersayang pada waktu yang tidak pernah dijangka.

Namun situasi itulah yang perlu dihadapi seorang pemuda yang mana dia menerima perkhabaran mengenai pemergian ibunya ketika sedang bekerja.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok pada pagi Khamis, pemuda berkenaan berkongsi momen sayu saat dia menerima berita sedih mengenai ibunya yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kerjanya.

Kejadian berlaku ketika pemuda itu sedang bekerja.

Dia yang bekerja di sebuah stesen minyak pada mulanya kelihatan sedang sibuk bertugas dan telefon bimbitnya dibiarkan dicas ketika itu.

“Masa ni tengah buat kerja, telefon cas. Memang tak check langsung. Abang Man pass telefon kata ‘Ibu awak telefon banyak kali, dari tadi lagi’.

Dia kemudian menelefon ibunya semula menggunakan telefon bimbit ketika berada di kaunter stesen minyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak baru meninggal, pemuda tumpang rumah flat kakak... Terkejut sikap penghuni PPR, salah parkir Kancil buruk dirosakkan

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu ‘hilang’ di hospital, puas anak cari rupanya dah meninggal... hajat tertunai di Tanah Suci - “Mama senyum bilang hari”

Menerusi rakaman CCTV itu, pemuda berkenaan yang pada mulanya berdiri terus terduduk sewaktu membuat panggilan.

“Ibu kata ‘Ibu tak kuat nak cakap, tapi anak ibu kuat kan? Ibu nak beritahu yang umi dah tak ada’. MasyaAllah, luluhnya hati masa ni,” katanya.

Rakaman itu beralih kepada pemuda tersebut berjalan masuk ke pejabat dan terus terduduk sekali lagi dengan ibunya dipercayai masih berada di talian.

Seorang wanita yang dipercayai penyelianya yang turut berada di pejabat cuba menenangkannya.

Pemuda berkenaan terus terduduk di dalam pejabat sambil menjawab panggilan.

Bagaimanapun, berita mengejutkan yang diterimanya nyata tidak dapat menghalang kesedihannya lantas dia terus menangis teresak-esak.

“Meraung sampai tak cukup nafas dah. Supervisor suruh tenang dulu.

“Telefon (person) in charge, minta supervisor tolong cakapkan nak ambil cuti kecemasan. Nak cakap sendiri memang tak terkeluar apa-apa perkataan daripada mulut sendiri,” ujarnya.

Di akhir rakaman berdurasi kira-kira seminit itu, pemuda tersebut kembali duduk dan dilihat berkali-kali mengusapkan air matanya.

“Al-Fatihah buat syurga saya. Walau tidak dibesarkan oleh mak kandung, arwah tetap syurga saya,” katanya menerusi keterangan video tanpa mendedahkan lokasi stesen minyak.

Saya dah seminggu banyak termenung. Makan entah ke mana.

PEKERJA STESEN MINYAK

Di ruangan komen dalam perkongsian video @ebytaksalah tersebut, pemuda itu tampil menjelaskan ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 1 Julai lalu.

Tanpa menyatakan sebab kematian ibunya, dia meluahkan belum kuat untuk menghadapi ujian itu.

“Saya dah seminggu banyak termenung. Makan entah ke mana. Masih mengenang nasib.

“Terlalu berat... setiap tahun, birthday saya, dia (ibu) akan demam. Birthday saya 27 Jun, 26 Jun dia dah mula demam. Sampai 1 Julai, dia menghembuskan nafas terakhir,” luahnya.

Seorang wanita dipercayai penyelia cuba menenangkannya.

Mengakui kehidupannya mencari rezeki sebagai anak perantau, pemuda itu menitipkan pesanan kepada warga maya susulan insiden tragis yang menimpanya untuk dijadikan iktibar.

“Semangat ye wahai anak perantau, janganlah sesekali silent atau DND (mod ‘Do Not Disturb’ atau Jangan Ganggu). Kita kena sedar kita ni anak perantau.

“Jadi anak perantau ni sakit bila terjadi macam ni. Nak drive pun terketar-ketar,” katanya yang mengakui ‘hilangnya seorang mak, gelap dunia selamanya’.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut bersimpati dengan pemuda itu dan menzahirkan ucapan takziah di samping memberikan kata-kata semangat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain