suria

Masih dalam pantang, ibu bawa 2 anak kecil jual buah di kaki lima bank... Bayi baru lahir ditinggalkan di rumah

Seorang wanita menjual buah di kaki lima sebuah bank. Foto FB Hadjnan Hajiun

DALAM kesibukan orang ramai mencari rezeki untuk hidup mewah, ada insan lain yang kehidupannya bergantung kepada nasib bagai 'kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang'.

Benar kata orang, mencari rezeki itu bukan mudah tapi apa yang penting adalah pengorbanan dan kesungguhan.

Begitulah iktibar yang diperoleh seorang lelaki ketika berurusan di mesin pengeluaran automatik (ATM) yang mana dia bertemu dengan seorang wanita yang berniaga di kaki lima hadapan bank di Kota Kinabalu, Sabah.

Seorang lelaki berurusan di mesin ATM. -Gambar hiasan

"Tadi aku singgah sekejap di bank untuk ke mesin ATM, terlihat seorang perempuan yang menjaja buah-buahan di tepi bank Lintas Plaza itu.

"Kelihatan dia memerhatikan dua anaknya yang masih kecil bermain-main di tepi laluan pejalan kaki sambil juga dia menyapa sesiapa yang masuk ke dalam ruangan ATM di situ," katanya menerusi Facebook Hadjnan Hajiun.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Cina kusut, hanya ada RM3 nak beli minyak kereta balik Tanjong Malim... Mujur ada hamba Allah baik hati, tolong isi ‘full tank’

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran ‘terpijak’ di tangga masjid... Peniaga laptop tak jangka ajakan pakcik tak dikenali solat Zohor berjemaah buka pintu rezeki!

Menurut usahawan berkenaan, dia ditegur oleh wanita itu yang turut memberikan senyuman kepadanya.

Sebelum masuk ke dalam bank dia sempat memberitahu akan melihat apa yang dijual selepas urusannya di mesin ATM selesai.

Selesai urusan, Hadjnan kembali ke bahagian kaki lima tempat wanita berkenaan berniaga seperti yang dijanjikan.

"Anggur ni ada biji? Dia jawab, ini ada biji juga bang, tapi yang ni rasa dia manis dan segar. Okay bungkus dua dulu, aku cuba.

"Mana kau tinggal dik? Di Inanam bang. Terpaksa datang sini menjual walaupun baru saja beranak. Tak dapat beli susu bang kalau tidak menjual," ujarnya mengimbas kembali perbualan dengan wanita itu.

Wanita itu membantu menjual buah-buahan yang diusahakan saudaranya.

Bersungguh-sungguh berniaga untuk mencari sesuap nasi, Hadjnan berkata, dia sempat memerhatikan dua anak wanita itu yang masih kecil, mengikut ibu mereka bekerja hingga lewat malam.

Hadinan pada mulanya menyangka wanita itu hanya mempunyai dua cahaya mata, namun terkejut apabila wanita mengetahui dia sebenarnya mempunyai seorang lagi anak.

Sepatutnya ibu yang baru beranak macam dia, di rumah berpantang.

HADJNAN HAJIUN

"Rupanya ada lagi baby yang baru lahir menunggunya di rumah. Mana kau punya laki? Dia baru saja kena tangkap bang.

"Aduh! Kasihannya, sepatutnya ibu yang baru beranak macam dia, di rumah berpantang. Ada suami yang jaga dan beri perhatian. Tapi ibu ini terpaksa menyara sendiri keluarga kecilnya," katanya tanpa mendedahkan sebab suami wanita itu ditahan polis.

Segelintir orang sanggup bersusah-payah bagi menyara kehidupan keluarga. -Gambar hiasan

Menurut Hadjnan, wanita itu memaklumkan pendapatan hariannya hanyalah sekitar RM30 ketika musim hujan,

"Hanya kalau nasib bagus bolehlah sampai RM50. Sebab dia hanya bekerja bantu jual buah yang diusahakan saudaranya. RM30 itu apalah yang boleh cukup?

"Kos tambang sana sini pun habis sudah. Jadi, kalau ada sahabat yang kebetulan lalu kawasan ini dari jam 4 petang sampai lewat malam, bolehlah bantu ibu ini.

"Semoga dia dan anak-anaknya dimudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki. Termasuk kamu yang membantunya nanti," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain