suria

Nur Farah Kartini pemurah... Tak dapat balik, sanggup 'transfer' duit rai rakan di kampung sambut birthday

Rakan baik tidak menyangka lambaian terakhir Nur Farah Kartini di lapangan terbang.

"BYE Donny, bye Nani, bye Yuni, jumpa lagi, sayang korang."

Itulah kata-kata bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah sambil melambai kepada tiga sahabatnya di lapangan terbang, menerusi satu video tular di media sosial.

Video tersebut dimuat naik salah seorang sahabatnya di TikTok pada lewat malam Isnin selepas berita penemuan mayat Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan di sebelah petang.

Mayatnya ditemukan dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor pada Isnin, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Bercakap kepada mStar, Donny Sidu bersama dua lagi sahabat arwah, Nur Ayuni Ahmad dan Nur Syahzanani Izzati Yahya, masing-masing berusia 25 tahun tidak menyangka lambaian dalam video itu merupakan yang terakhir dilakukan Nur Farah Kartini buat mereka.

Jelasnya, video tersebut dirakamkan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak pada 14 April lalu ketika arwah yang mesra dipanggil Farah mahu kembali ke Semenanjung untuk bekerja selepas bercuti sempena sambutan Aidilfitri di kampung di Miri.

"Kami hantar Farah di lapangan terbang, bersama keluarga dia. Kami memang bersahabat hampir lapan tahun sejak bersekolah di Tingkatan Enam.

"Jadi tak sangka itulah kali terakhir kami berjumpa depan-depan dengan dia," katanya ketika dihubungi mStar.

Nur Farah Kartini merupakan bekas pelajar UPSI.

Mengulas lanjut, Donny mendedahkan arwah membuat panggilan video sesama mereka pada 3 Julai lalu, sehari selepas hari ulang tahunnya ke-25.

"Kami berempat ada buat video call. Sehari sebelum tu dia ada mesej di grup WhatsApp ucap birthday pada saya.

"Dalam video call, Farah kata dia teringin nak sambut hari jadi dengan kami tapi tak dapat sebab berjauhan," ujarnya yang berasal dari Miri.

ARTIKEL BERKAITAN: Posting terakhir Nur Farah Kartini ‘road to convo’ bikin sebak, keputusan cemerlang 4 flat - “Bakal guru hebat tak sempat nak berbakti”

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan tambah kesedihan kami” - Abang dedah sikap, kebaikan Farah Kartini... Selalu bantu famili, tak suka kongsi masalah

Menurut Donny, Nur Farah Kartini yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu disifatkan sebagai periang dan manja.

"Dia tak pernah berkira dan tak sakitkan hati orang. Walaupun berjauhan dan tak sambut birthday, dia sanggup transfer duit untuk kami sambut di sini.

"Video call tu juga Farah sempat minta kami doakan dia yang nak temuduga untuk SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) untuk menjadi guru," katanya mengenai arwah yang menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) di UPSI.

Dari kiri, Ayuni, Farah dan Nani serta Donny (belakang).

Menerusi panggilan video selama kira-kira dua minit itu, kata Donny, Nur Farah Kartini yang bekerja di sebuah kedai percetakan juga memaklumkan mengenai rancangannya untuk pulang ke Miri pada akhir bulan ini.

"Setiap kali Farah balik ke kampung, memang kami selalu berjumpa. Kami memang merancang untuk jemput dia di lapangan terbang akhir bulan ni.

Rasa terkilan sebab tak dapat jemput dia sebab dia 'pergi' dulu.

DONNY SIDU

SAHABAT

"Rasa terkilan sebab tak dapat jemput dia sebab dia 'pergi' dulu. Tak sangka itu adalah lambaian dan video call terakhir daripada Farah," katanya lagi.

Terdahulu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira pukul 6 petang Isnin.

Suspek bunuh Nur Farah Kartini adalah seorang anggota PDRM.

Media sebelum ini melaporkan mangsa hilang pada Rabu lalu, selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, suspek yang juga anggota polis berusia 26 tahun direman selama tujuh hati sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan.

Suspek berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Balai Polis Slim River.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain