SETIAP anak pasti ingin membalas jasa dan pengorbanan orang tuanya apabila mereka dewasa. Turut melakukan perkara sama ialah gadis ini, dia mula menggalas tanggungjawab menjaga orang tuanya yang menghidap penyakit ‘tiga serangkai’ dan sukar berjalan sejak dua tahun lalu. Dia juga sering berkongsi video rutin penjagaan ibunya di laman TikTok sehingga mendapat perhatian warga maya. Malah, ramai yang memberikan nasihat serta kata-kata sokongan kepadanya kerana memahami tugasan menjaga orang tua bukanlah semudah yang disangka. Fara merupakan pelajar tahun akhir di UiTM Kota Bharu. Terbaharu, perkongsiannya tentang keadaan lantai rumah dipenuhi najis cukup menyentuh hati ramai. Berkongsi cerita dengan mStar, dia yang ingin dikenali sebagai Fara berkata, video tular tersebut dirakam selepas dia pulang dari universiti. “Saya tinggalkan mak dalam keadaan mandi dan pakai lampin, balik je rumah lepas habis test tengok ‘koko’ (najis) mak dah terseret satu rumah sebab mak tak dapat pergi tandas. “Tandas agak jauh dan ada satu anak tangga dari ruang tamu ke dapur. Jadi mak susah nak turun, dia hanya mampu mengesot. ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - “Terakhir ayah minta tidur sebelah mak” ARTIKEL BERKAITAN: Sejak Form 3 anak angkat jaga mak ayah sakit sampai hujung nyawa, 2 kali berhenti kerja... Umur 30 tahun dilantik jadi CEO 3 anak syarikat “Keadaan ni memang berlaku hampir setiap hari. Kalau sempat angkat mak ke tandas waktu dia tiba-tiba nak membuang tu, dapatlah uruskan dengan sempurna. "Kalau tak sempat atau saya keluar, balik rumah memang jadi macam ni,” ujarnya. Menurut gadis kelahiran Wakaf Bharu, Kelantan ini lagi, dia mula menjaga ibunya, Mas Awang sejak wanita berusia 88 tahun itu sakit. Dia yang baru berusia 23 tahun berkata, pada awalnya dia bergilir-gilir dengan saudara mara yang lain. Ini saja cara yang boleh saya buat untuk balas jasa serta pengorbanan mak. FARA Namun disebabkan enggan menyusahkan ahli keluarga yang mempunyai tanggungjawab lebih besar, dia yang masih menuntut di tahun akhir Ijazah Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Kota Bharu, menawarkan diri untuk menyumbang tenaga sepenuhnya. “Awal mak sakit, ada bergilir tapi saya tak nak susahkan ahli keluarga yang lain. Masing-masing ada tanggungjawab lagi besar, mereka sedia untuk sumbangkan kewangan jika diperlukan. “Jadi, saya tawarkan diri untuk jaga mak,” tambah Fara. Bercerita lanjut, ujarnya yang baru mengikat tali pertunangan bersama Muhammad Asrul pada tahun lalu, tugasan menjaga ibunya menjadi mudah dengan bantuan lelaki tersebut. Fara gemar melakukan kerja sambilan. “Tunang banyak membantu saya meringankan beban yang ada. Sebelum ni saya aktif bekerja tapi disebabkan mak dah sakit, jadi saya berhenti untuk beri tumpuan sepenuhnya jaga mak. “Cuma kekangan daripada segi kenderaan kerana hanya mempunyai motosikal. Nak bawa mak ke klinik atau hospital perlu tempah Grab atau minta tolong keluarga dan sahabat terdekat tumpangkan. “Sama juga mendobi barang besar seperti cadar, bekas hadas besar, hadas kecil mak kerana sekarang mesin basuh rosak... jadi agak susah, terpaksa angkut dua tiga kali,” katanya lagi. Antara aktiviti yang dilakukannya di universiti. Bagaimanapun menurut Fara, wanita yang digelar ‘mak’ itu merupakan moyangnya. Namun disebabkan telah menjaga dirinya sejak kecil, dia turut memanggil wanita tersebut sebagai mak. Malah katanya, tanggungjawab besar tersebut digalas demi membalas jasa dan pengorbanan wanita terbabit yang menjaganya sejak kecil. “Saya tidak membesar dengan ibu bapa... sejak kecil mak yang besarkan. Ini saja cara yang boleh saya buat untuk balas jasa serta pengorbanan mak,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube