suria

Tersentuh kisah bapa lepaskan RXZ demi anak sulung, lelaki JB nak bagi Proton Inspira... Tak perlu tambah duit, bukan soal untung rugi

Arjuna menceritakan kisah disebalik bantuan yang ingin dibuat.

KISAH seorang bapa yang mahu 'melepaskan' motosikal Yamaha RXZ kesayangan demi menyambut kelahiran cahaya mata sulung pada November depan tular di media sosial.

Difahamkan Muhammad Farees Muhammad, 27, mahu menjual motosikal itu bagi membeli sebuah kereta bagi memudahkan urusan harian khususnya berkaitan anak yang bakal lahir dan isteri tercinta.

Ternyata hasrat Farees itu mendapat perhatian ramai yang bermurah hati menawarkan kereta mereka untuk ditukar secara rela selepas dia meluahkannya di di grup Facebook Swap Kereta Suka Sama Suka.

Salah seorang yang menyatakan minat untuk membantu Farees ialah lelaki bernama Arjuna Semin, 37 yang mahu menukarkan Proton Inspira miliknya.

"Saya nampak posting tu masa dalam perjalanan balik ke Johor Bahru selepas hadiri majlis kahwin di Singapura. Saya nampak dia nak swap suka sama suka.

Kereta Inspira yang mahu ditukarkan dengan RxZ.

"Apabila baca tu saya faham la dia tak nak tambah duit atau jual motor dulu. Kebetulan ada kereta Inspira yang bapa saudara jual dekat saya. Jadi saya komen dekat posting tu pada Ahad.

"Saya tengok cara dia tu memang perlukan kereta sangat untuk kegunaan keluarga. Jadi saya pun nak tolong. Farees tak perlu tambah duit," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut Arjuna yang mengusahakan bisnes sewa kenderaan di sekitar Johor, kereta Inspira keluaran tahun 2011 itu dibeli dengan harga mencecah hampir RM20,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda nak beli kereta ‘full loan’, berangan pakai Proton X70... Jurujual pening dapat tahu gaji bersih hanya RM1,100

ARTIKEL BERKAITAN: Mercedes Benz milik Saharul Ridzwan sudah ada pembeli... Lelaki letak deposit lepas 10 minit kongsi video, ada wanita terjah pejabat mahu beli ‘cash’

Bagaimanapun, Arjuna tidak kisah dengan nilai atau kerugian yang ditanggung kerana yakin Farees memerlukan bantuan untuk memiliki kereta.

"Saya komen di grup berkenaan bukan dengan niat nak viral atau atas tujuan marketing. Saya tak berminat pun nak guna motosikal tu. Saya sudah ada beberapa buah motosikal.

"Kalau dapat pun saya mungkin jual semula atau simpan je motor tu. Janji dapat tolong Farees tu selesaikan masalah dia. Saya tak kisah berbaloi ke tak ambil motosikal dia.

"Saya tak tanya pun keadaan motosikal dia atau tahun bila keluarannya, sesuai tak kalau nak tukar dengan kereta saya. Saya niat sedekahkan pahala ni untuk ibu ayah yang dah meninggal dunia je," jelasnya.

Saya tengok cara dia tu memang perlukan kereta sangat untuk kegunaan keluarga... jadi saya nak tolong.

ARJUNA

Cerita Arjuna yang menetap di Johor Bahru, Johor ini, dia begitu teruja apabila menerima mesej daripada Farees sehari selepas meninggalkan nombor telefon di Facebook.

Bercerita mengenai perbualan mereka, Farees dikatakan mahu mengambil kereta tersebut pada malam yang sama iaitu Isnin, 8 Julai lalu.

"Malam tu Farees setuju nak tukar dan beritahu dia nak gerak dari rumah di Shah Alam datang tukar kereta dekat Johor. Dia nak datang malam tu juga, tapi saya tak bagi sebab dia akan sampai keesokan paginya.

"Kemudian dia cakap pula nak gerak esok pagi (Selasa, 9 Julai)... jadi saya pun okey je. Tapi esoknya dia cakap tak jadi datang sebab gagal dapat cuti kerja.

Dalam kenangan... Arjuna bersama arwah ibunya.

"Saya pun ada carikan towing lebih murah iaitu dengan harga RM450. Dia pun sudah bayar deposit RM100, janji nak datang hari Sabtu lepas. Dia cakap setuju nak ambil dengan saya. Saya masih tunggu dia," katanya.

Walaupun masih belum mendapat respons terbaharu daripada Farees, Arjuna yang sudah mendirikan rumah tangga berharap agar niatnya untuk bersedekah ini terlaksana.

"Tanpa pengetahuan dia, saya sebenarnya sudah pun polish (kilatkan warna cat), tukar bateri, sejukkan pendingin hawa... dah banyak duit dihabiskan untuk kereta tu agar Farees dapat yang terbaik.

"Tapi apa-apa pun saya harap dapat bantu dia. Farees pun ada beritahu yang dia ada juga sebuah motosikal lain yang digunakan untuk pergi ke tempat kerja.

"Saya pun tak tanya lebih-lebih hal peribadi dia masa kami berhubung tu. Saya berniat nak bantu dia dan tak lebih daripada tu," ujarnya yang turut mengusahakan bisnes mengecat kenderaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain