suria

Pelajar UiTM tak terkesan dihina jual ayam goreng... Paling penting tak susahkan mak ayah, melaram guna duit sendiri!

Yasmin tidak malu dengan pekerjaan ibu bapanya sebagai penjual ayam goreng.

MELAKUKAN kerja sambilan ketika menuntut ilmu bukanlah perkara baharu bagi mereka yang bergelar pelajar atau mahasiswa.

Kebanyakan mereka yang bekerja sambil belajar ini biasanya menjalankan perniagaan sendiri atau membantu ibu bapa mencari rezeki dengan cara berniaga

Menceritakan kisahnya di laman TikTok, Yasmin Qamarina Hilmi, 21, terkejut apabila dikutuk ketika sedang membantu ibu bapanya mengemas gerai ayam goreng sambil melakukan siaran langsung (live).

Yasmin minat bidang fesyen dan kecantikan.

"Kat UiTM bukan main pakai style, model sana sini padahal jual ayam je," demikian komen seorang netizen.

Walaupun dihina, gadis tersebut nampaknya tidak melenting atau memarahi netizen itu malah sempat menitipkan doa buat dirinya.

"Awak nampak yang saya melawa je kan, tapi awak tak tahu apa yang saya lalui.

"Untuk awak yang cakap tu terima kasihlah ya cakap macam itu semoga awak maju jaya daripada penjual ayam ini," tulis gadis itu pada video dimuat naik.

Ketika dihubungi mStar, gadis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Yasmin berkata dia sedikit pun tidak malu bekerja di gerai ayam goreng yang diusahakan ibu bapanya di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar jadi ‘rider’ separuh masa mengadu penat, cemburu tengok kawan hidup senang - “Saya kena bersusah payah”

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih buat 5 kerja sambilan dalam sehari, pelajar ini juga akui ‘tamak’ pointer, “Kampus tak besar, pusing-pusing akan nampak muka saya”

Malah dia amat bersyukur kerana berpeluang membantu mereka mencari rezeki halal walaupun masih belajar.

Menurut Yasmin, bapanya mula menceburi bidang perniagaan pada 2015 kerana minat yang mendalam.

"Dulu ayah kerja dalam marketing tapi dia memang minat berniaga.

"Jadi masa itu ayah berniaga ayam di Tasik Darulaman, di Jitra, Kedah.

"Tapi kami berpindah berniaga ke Kuala Lumpur sewaktu Covid-19 kerana itu sahaja punca pendapatan keluarga," jelas pelajar di UiTM Puncak Alam, Selangor ini.

Yasmin memang tak mahu susahkan ibu bapa, banyaknya guna duit sendiri sahaja

Yasmin Qamarina

Tambah Yasmin, dia mula membantu ibu bapanya sejak berumur 12 tahun sehingga kini, yang mana dia menyambung pengajian di peringkat sarjana muda.

Jelasnya, dia akan pulang setiap cuti hujung minggu dan cuti khas untuk membantu ibu bapanya.

Mengakui penat belajar dan menjalani rutin mingguan, anak kelahiran Kedah ini bagaimanapun tidak pernah mengeluh dengan apa yang dilaluinya sekarang.

"Penat itu pasti kadang-kadang give up juga tapi kena teruskan sebab saya masih belajar.

"Tapi dengan duit poket inilah saya dapat beli barang keperluan.

"Kalau yuran tak pernah lagi buat pinjaman melainkan dapat dermasiswa dan bantuan zakat.

Yasmin tidak pernah mengeluh membantu ibu bapanya berniaga.

"Saya memang tak mahu susahkan ibu bapa, banyak guna duit sendiri sahaja," katanya.

Tambah anak bongsu daripada dua adik beradik ini, memiliki wang sendiri juga memberi kebebasan kepadanya untuk berbelanja dalam memenuhi minat dalam berfesyen.

"Bila tengok perempuan lain cantik-cantik, saya pun mula terikut jadi saya dress up sedikit demi sedikit.

"Malah saya juga cuba jadi model sebab minat dengan dunia fesyen dan kecantikan," jelas Yasmin.

Walaupun begitu, Yasmin masih mahu mengejar cita-citanya dan menamatkan pengajian dalam jurusan Pengajian Pengurusan Teknologi Perniagaan.

"Kalau dapat tawaran yang bagus-bagus, boleh la mak ayah saya duduk di rumah sahaja tak perlu dah berniaga penat-penat," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain