suria

Sedekad MH17... Isteri juruterbang restu anak ambil jurusan penerbangan, ikut jejak bapa jadi pilot

Wan Yusuf Irfan (kanan) mahu mengikut jejak arwah bapanya sebagai juruterbang.

SEDEKAD telah berlalu, namun rasanya seperti baru berlaku.

Begitulah yang dirasai waris mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Pastinya tarikh itu tidak akan dilupakan mereka apabila ahli keluarga masing-masing merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas itu.

Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin.

Namun bagi isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin iaitu Mariyam Yusoff, dia menerima apa yang sudah terjadi 10 tahun lalu itu sebagai ketentuan Ilahi.

“Hidup perlu diteruskan. Nak buat macam mana, apa yang berlaku sudah pun terjadi. Arwah tetap di hati saya dan anak-anak, sentiasa dalam ingatan dan doa kami.

“Sebagai ibu, saya mahukan kebahagiaan anak-anak sebagaimana yang dilakukan arwah semasa hayatnya. Jadi, saya sentiasa beri sokongan kepada anak-anak dalam apa jua bidang yang diceburi mereka,” katanya ketika dihubungi mStar.

Mariyam bersama dua anak lelakinya, Wan Yunus Uzair (kanan) dan Wan Yusuf Irfan.

Sebagai tanda sokongan, ibu kepada dua anak itu merestui keputusan salah seorang anaknya mengikut jejak langkah arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: MH17: "Sayang Uniform Abah, Tak Dapat Baju Raya Pun Tak Apa" - Irfan

ARTIKEL BERKAITAN: MH17: "Baju Ni Bau Abah, Kami Rindu"

Menurut Mariyam, Wan Yusuf Irfan yang kini berusia 19 tahun sebenarnya memasang impian untuk bergelar jurterbang sejak kecil.

Kenangan... Mariyam dan Allahyarham Kapten Wan Amran bersama anak-anak.

Lebih mesra dipanggil Irfan, anak bongsu daripada dua beradik itu juga pernah menyuarakan hasratnya itu kepada arwah ketika mereka empat beranak menaiki penerbangan ke Kota Bharu.

“Masa tu Irfan tengok ada pasangan bapa dan anak dalam majalah yang disediakan di dalam pesawat. Irfan beritahu abah dia (panggilan arwah), abah... Irfan nak jadi pilot macam abah.

“Atas semangat itu, sekarang Irfan sedang mengikuti pengajian diploma kejuruteraan penerbangan di MAS.

“Saya doakan dia semoga berjaya mengikut jejak langkah abah dia. Dan dia tahu kerjaya juruterbang mencabar. Saya nampak persamaan Irfan dan arwah, kedua-dua mereka mempunyai semangat yang kuat dan menunjukkan kesungguhan,” katanya sambil menambah seorang lagi anak lelakinya, Wan Yunus Uzair, 21, sudah bekerja.

Wan Yusuf Irfan ketika 10 tahun (kiri) dan kini berusia 19 tahun memakai baju uniform arwah bapa bagi mengubati kerinduan.

mStar pada 25 Julai 2015 melaporkan Wan Yusuf Irfan yang ketika itu baru berusia 10 tahun meluahkan bahawa tragedi MH17 yang meragut nyawa bapanya bersama 297 penumpang dan anak kapal sedikit pun tidak mematahkan hasratnya untuk bergelar seorang juruterbang.

“Irfan nak jadi juruterbang bila besar nanti. Irfan nak ganti abah,” katanya mengenai cita-cita yang sudah lama disuarakan semasa bapanya masih hidup.

Saya mahukan kebahagiaan anak-anak sebagaimana yang dilakukan arwah semasa hayatnya.

MARIYAM YUSOFF

ISTERI JURUTERBANG MH17

Menurut Irfan, bapanya pernah berpesan supaya rajin dan cemerlang dalam peperiksaan sekiranya mahu mencapai cita-cita itu.

“Irfan akan cuba buktikan pada ibu dan abah yang Irfan boleh jadi pilot suatu hari nanti. Irfan nak terbang ‘pusing’ satu dunia, nak bawa ibu jalan-jalan,” katanya yang memakai baju uniform juruterbang kemeja putih kepunyaan bapanya yang lengkap dengan topi dan blazer sebagai pengubat rindu di saat teringatkan arwah.

Mariyam sentiasa menyokong minat anak-anaknya sejak mereka masih kecil.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Rusia.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain