suria

Ibu tak senang duduk, sedih anak sulung selalu tanya kenapa guna nama ‘bin Abdullah’ - “Dosa lepas, biarlah saya yang tanggung”

Isu anak tidak sah taraf perlu ditangani dengan baik. -Gambar hiasan

SETIAP manusia sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Biarpun sudah bertaubat dan menyesal, namun tidak dinafikan kesan daripada dosa silam yang dilakukan akan 'menghantui' seseorang sepanjang hayatnya.

Begitu juga dengan kisah dikongsikan seorang wanita ini yang mengakui pernah terlanjur sehingga melahirkan anak luar nikah.

Menurut wanita yang tidak mendedahkan identiti diri itu, kebimbangan yang paling ditakutinya kini menjadi kenyataan apabila si anak sudah mula bertanya mengenai namanya yang berbeza daripada adik-beradik lain.

anak 1

Terdapat prosedur pendaftaran nama melibatkan anak berstatus tidak sah taraf. -Gambar hiasan

"Saya ibu kepada empat orang anak. Saya dan suami pernah buat khilaf semasa muda yang mana anak pertama saya, lelaki merupakan seorang anak luar nikah dan berbinkan Abdullah.

"Apa yang merisaukan saya sudah menjadi isu sekarang. Anak saya kerap bertanya secara tiba-tiba selepas pulang dari sekolah tentang kenapa dia berbinkan Abdullah, tidak seperti adik-adiknya," luahnya dalam hantaran berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ‘binti Abdullah’ akur nikah guna wali hakim, ibu tak faham derita anak tak sah taraf - “Mak kata ramai je status macam aku”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kak, sakit tak bersalin?” - Soalan wanita muda hamil anak luar nikah buat doktor ini sebak, sedih zina jadi hal biasa

Sebagai ibu, wanita berkenaan benar-benar sedih dan dalam masa yang sama lidahnya kelu setiap kali anaknya mengajukan soalan sedemikian.

"Saya yakin beliau tahu kenapa, cuma saya mahu elakkan kawan-kawan ajukan soalan tersebut kepada beliau berulang kali.

"Tiada niat mahu rahsiakan daripada anak atau apa. Cuma kami tak mahu kawan-kawan ganggu emosinya dan pertikaikan kenapa bin Abdullah.

"Sebagai ibu, saya boleh baca reaksi muka anak selepas pertanyaan itu diajukan kepada saya. Saya sedih setiap kali anak ajukan soalan tersebut," luahnya.

Berterus-terang dengan anak sebab anak tu ada hak tahu apabila dia dah mula boleh berfikir.

NETIZEN

Tidak mahu isu 'bin Abdullah' itu terus berlanjutan, wanita berkenaan berkata dia mempertimbangkan untuk membuat permohonan pertukaran nama anak sulungnya itu.

"Boleh ke sekiranya saya mahu menukar nama anak kepada nama tanpa bin disekalikan nama bapa? Ini disebabkan ada kenalan saya yang nama anaknya disekalikan tanpa bin bapa kandung yang mana kami faham itu sebenarnya nama anak sahaja.

"Jika boleh apa prosedurnya? Saya cuma perlukan pandangan yang tahu tentang soalan saya, bukan kecaman. Dosa saya yang lepas, biarlah saya yang tanggung. Bukan anak saya," luahnya lagi memohon pandangan netizen.

KOMEN ANAK

Antara komen dan cadangan netizen terhadap perkongsian wanita berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bukan sahaja memberikan cadangan sebagai solusi kepada masalahnya, malah turut memberikan kata-kata semangat kepada wanita berkenaan.

"Asas kepada isu ni adalah nasab. Ini memang tak dapat diubah. Boleh sedapkan hati anak dengan beritahu anak boleh tulis nama ayah sekali.

"Apa pun kita semua pendosa. Allah mencintai orang yang bertaubat.

"Berterus-terang dengan anak sebab anak tu ada hak tahu apabila dia dah mula boleh berfikir. Jadi kita sebagai mak ayah kena terima apa jua keadaan yang akan berlaku. Inilah pengajaran yang perlu orang lain ambil," komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain