suria

Satu pun tak laku! Peniaga ini reda rugi RM100, jualan but kereta tiada hasil... 10 pek garlic bread, mushroom soup diagih percuma

Shida dan suami akur apabila tiada pembeli pada hari pertama berniaga.

ADAT orang berniaga, setiap cabaran dan rintangan sebelum beroleh kejayaan perlu diharungi dengan reda dan tabah.

Perkara sama terpaksa dilalui Nurul Syahidah Omar, 28 dan suami yang terpaksa menanggung kerugian apabila roti bawang putih dan sup cendawan jualan mereka tidak laku.

Menurut Nurul Syahidah yang mesra dipanggil Shida, mereka cuba menjana pendapatan dengan melakukan jualan but kereta atau car boot sale.

"Saya berniaga dekat Kompleks Sukan Pandamaran Klang... kawasan ni memang ramai orang beriadah. Pukul 5 petang kami sudah sampai dan siap susun-susun semua dekat but kereta.

Shida dan suami berniaga makanan di Klang, Selangor.

"Tapi sehingga masuk waktu maghrib pun masih belum lagi terjual. Masa ni saya reda... beritahu suami kalau tak ada yang beli juga, nak bagi percuma je dekat orang," katanya kepada mStar.

Terdahulu Shida berkongsi video di TikTok berkongsi cabaran pada hari pertama bergelar usahawan apabila makanan yang dibawa langsung tidak terjual sehingga kira-kira pukul 9 malam.

Lantaran itu dia dan suami mengambil keputusan untuk memberi sedekah 10 pek roti bawang putih dan sup cendawan itu kepada orang ramai secara rawak atas niat sedekah.

ARTIKEL BERKAITAN: Akak jual kuih senyap-senyap halang ‘masuk’ pasar malam! Tak percaya konsep rezeki, rakan peniaga dituduh punca jualan merosot

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga bazar Aidilfitri putus asa baju Melayu tak laku, nasib berubah selepas kedai disinggahi lelaki Singapura

Kata Shida, jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung adalah sebanyak RM100 memandangkan tiada sebarang keuntungan diperolehi pada hari tersebut.

"Kami bungkus semua makanan sebab orang sudah mula berkurangan. Tipu la kalau tak sedih. Saya edit video sambil tahan sebak. Cuba pujuk hati sendiri supaya tak down.

"Dalam ketika sedang bersedih tu, seronok dapat tengok senyuman daripada rauh wajah orang terima makanan pemberian kami. Saya pun tak minta banyak, cukup la doakan kami suami isteri dimurahkan rezeki.

Saya edit video sambil tahan sebak... cuba pujuk hati sendiri supaya tak down.

NURUL SYAHIDAH

PENIAGA MAKANAN

"Sebenarnya saya terkilan sebab baru berkahwin. Kami pun baru je masuk rumah sewa. Nak bisnes ni banyak keluar modal untuk bahan-bahan. Jadi makan modal agak besar," ujarnya lagi.

Bagaimanapun Shida tidak berputus asa dengan menganggap kerugian dialami pada hari pertama itu sebagai ujian dan risiko yang perlu tanggung peniaga.

Kata Shida, dia dan suami turut mengambil inisiatif lain dengan mengambil tempahan daripada pelanggan dan menjual melalui kaedah penghantaran COD (pembayaran tunai semasa serahan) dan vendor.

Pasangan ini mengagihkan makanan yang tidak terjual kepada orang awam.

"Saya ambil tempahan dari rumah saja sekitar Selangor. Dalam masa sama, saya cuba cari vendor yang bersesuaian.

"Saya berniaga ni selepas buat bisnes MLM (multi level marketing). Tapi lepas kahwin saya cari bisnes yang boleh berniaga dari rumah. Jadi saya gunakan pengalaman bisnes berniaga dekat universiti.

"Banyak lagi rancangan nak keluarkan makanan lain cuma saya mulakan dengan garlic bread dan mushroom soup dulu. Masa buka car boot sales tu takut-takut juga sebab tu mulakan dengan 10 pek je," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain