suria

Dua tahun menabung akhirnya dapat beli iPhone 12 Pro Max... Usaha kanak-kanak ini tolong ibu berniaga berbaloi!

Damia terseyum lebar memegang iPhone hasil usahanya menabung selama 2 tahun.

WAJAH ceria seorang kanak-kanak perempuan memegang kotak telefon pintar jenama mewah iPhone mengundang perhatian ramai.

Menariknya menerusi perkongsian si ibu di Facebook, peranti iPhone 12 Pro Max itu dibeli menggunakan duit tabungan hasil titik peluh kanak-kanak itu sendiri membantu ibunya berniaga di gerai durian dan mi talam.

Menurut cerita Siti Nooraliyana Mohd Ali, dia cuba menerapkan nilai murni dalam diri anaknya Nura Nazifa Damia, 10, iaitu perlunya usaha jika inginkan sesuatu.

"Skrin LCD (paparan hablur cecair) telefon lamanya sudah tertanggal. Kemudian dia lekatkan guna pita pelekat... sedih saya melihat telefonnya yang sangat uzur.

Liyana (tengah) bersama ahli keluarganya.

"Jadi hasil dia bantu jaga durian setiap hari, dapatlah beli sebuah iPhone. Dia ni memang suka berniaga. Kalau tolong dekat gerai, dia akan jadi cashier dan ambil order pelanggan.

"Ketika saya berniaga mi talam di pasar malam pun dia yang gorengkan telur. Jadi tidak salah jika saya benarkan dia beli telefon baharu," ujarnya kepada mStar.

Kata Siti Nooraliyana atau Liyana yang berniaga di Api-Api Night Food Market Gaya Street di Kota Kinabalu, Sabah itu, telefon berkenaan hanya dibeli selepas dua tahun anak sulungnya ini mengumpul duit.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah suami tak teruja dapat hadiah mahal iPhone 13 bikin isteri naik geram! “Lelaki ni memang tak ada perasaan”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak nak sangat guna iPhone, bapa sanggup berhabis hampir RM1,000! Ramai pula tersentuh dengar amanat sebelum bayar

Namun difahamkan hasrat memiliki telefon mewah berharga RM2,500 itu pernah tertangguh seketika.

"Bermula daripada tahun 2022 Damia kumpul duit. Tapi dia pernah gunakan separuh untuk beli gelang dan rantai emas masa hari raya tahun 2023.

"Jadi dia sambung lagi kumpul untuk beli iPhone tahun ni. Walaupun ambil masa dua tahun kumpul, tapi dia kena ikut cara ni sebab nak cari duit bukan senang.

Saya harap dia masih tak lupakan pelajaran sebab ilmu tu penting untuk bentuk diri kita sampai dewasa nanti.

SITI NOORALIYANA MOHD ALI

IBU / PENIAGA

"Jadi apa yang Damia mahukan, dia kena usaha sendiri. Tak ada istilah hanya meminta-minta. Dia kena simpan duit sendiri baru dapat apa yang dia nak," ujar si ibu.

Jelas ibu kepada tiga cahaya mata ini, walaupun anaknya suka berniaga tetapi dia meletakkan pelajaran anaknya sebagai perkara utama.

Perkara itu ditegaskan dalam hantarannya memandangkan perkongsian mengenai anaknya ini menjadi tular di Facebook sehingga mendapat lebih 12,000 tanda suka.

Damia menabung sejak dua tahun lalu untuk membeli iPhone.

Malah Liyana yang berasal dari Putatan, Sabah ini berkata dia akan terus memupuk semangat berdikari dalam diri anak-anaknya sehingga mereka dewasa kelak.

"Saya bersyukur Damia ni jenis senang belajar dan faham. Apabila Damia pandai menabung, ia buatkan kami betul-betul bangga dengan pencapaian dia.

"Saya nak dia rasa yang bukan senang mahu dapatkan duit. Jadi pada peringkat awal ini la kami ajar dia macam mana susahnya mau dapatkan sesuatu.

"Tapi saya harap dia masih tak lupakan pelajaran sebab ilmu tu penting untuk bentuk diri kita sampai dewasa nanti," ujar Liyana lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain