KECOH di media sosial mengenai lampiran kertas soalan yang perlu dijawab oleh murid sekolah berhubung kekerapan bapa masing-masing menunaikan kewajipan solat lima waktu. Turut diajukan ialah berkaitan perihal si bapa menunaikan solat di masjid atau surau, serta solat berjemaah. "Berdasarkan pernyataan di bawah, sila tandakan pada skala yang sesuai," demikian menurut keterangan itu dengan menyediakan kotak-kotak pilihan untuk murid-murid menandakan jawapan yang terdiri daripada 'tidak pernah', 'jarang-jarang' dan 'sentiasa'. 'Tidak pernah' merujuk kepada bapa berkenaan tidak pernah melakukannya, manakala 'Sentiasa' membawa maksud bahawa perbuatan itu sering diamalkan. Selain solat lima waktu, turut ditanya mengenai solat di masjid atau surau serta solat berjemaah. Difahamkan, ia bukanlah kertas soalan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada borang kaji selidik. Bagaimanapun ia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk bekas guru, Mohd Fadli Salleh yang menyifatkan ia tidak wajar ditanya kerana boleh mengundang fitnah. "Saya rasa benda ni tak patut ditanya. Ia boleh menjadi fitnah, menggalakkan umpatan dan menjatuhkan maruah. "Borang ni saya jumpa ada kawan Facebook post. Katanya sekolah yang bagi borang ni minta anak dia isi. Maka budak-budak pun isilah dengan apa yang dia tahu. "Mungkin jujur, mungkin tidak, mungkin dipengaruhi mak ayah, mungkin tidak. Untuk anak yang main tick (tanda) sahaja, ia dah jadi fitnah pada ayahnya. Untuk anak yang jujur isi apa yang dia tahu, boleh jadi fitnah, boleh jadi umpatan," luahnya menerusi hantaran di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Kunci tandas sekolah hilang, guru didakwa suruh 4 pelajar gagau lubang jamban cari sampai jumpa ARTIKEL BERKAITAN: Bapa nak hempuk buku Matematik, marah penggubal silibus syok sendiri! - “Mereka bunuh minat pelajar” Tanpa mendedahkan nama sekolah, pempengaruh media sosial yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli turut berkata, sukar untuk mendapat ketepatan jawapan yang diberikan memandangkan anak-anak tidak bersama dengan bapa mereka sepanjang masa. "Budak tu bukan setiap masa dengan ayahnya. Masa tak bersama ayahnya, kalau budak tu tick 'Tidak pernah' padahal ayah dia solat di masjid, dah jadi fitnah. "Dan jika memang ada ayah yang langsung tak solat, anak tu jujur tick di ruangan itu, dah menjadi umpatan pula untuk sesiapa yang terlihat borang ini. 'Ayah Nazirah tu tak pernah solat rupanya. Bukan main kerja pegawai, tapi solat pun tak'," kata Cikgu Fadli sekadar memberikan contoh. Solat berjemaah di masjid merupakan amalan mulia. -Gambar hiasan Bukan sekadar mengundang fitnah, malah bekas guru itu menyifatkan ia seperti menyebarkan aib bapa murid-murid terutama sekiranya ia dikongsikan beramai-ramai. Malah, Cikgu Fadli mempersoalkan kewajaran borang tersebut diedarkan kepada murid-murid dan apakah objektifnya berdasarkan hasil kajian berkenaan selepas ia perlu dikembalikan kepada pihak sekolah. Lebih baik fokus didik anak-anak... secara tidak langsung sekeluarga akan terdidik daripada anak itu sendiri. WARGA MAYA "Umpatan ini mungkin berlegar sesama murid yang terbaca, berlegar sesama cikgu, ustaz dan ustazah juga. Dok jaja aib orang pula. Adakah benda ni betul dan bagus? "Apa dapatan yang ustaz atau ustazah nak ambil dari borang ini? Adakah mak ayah yang tak solat atau tidak solat di masjid atau tidak berjemaah akan dipanggil pihak sekolah untuk diberi ceramah? "Apakah hasil borang ni ustaz atau ustazah akan buat rumusan dan cerita kat semua murid masa perhimpunan? 'Kajian ustaz tentang solat mak ayah awak ni mendapati 40 peratus tak solat. Awak jangan jadi macam tu'," katanya yang melihat borang kaji selidik tersebut lebih memberi kesan buruk berbanding manfaat. Anak-anak dididik untuk menunaikan kewajipan bersolat sejak kecil. -Gambar hiasan Bagaimanapun kata Cikgu Fadli, dia sekadar memberi pandangannya secara peribadi yang berkemungkinan ada silapnya. "Jadi mohon sangat pada sekolah, ustaz, ustazah dan cikgu yang merasakan borang ini sebenarnya membawa banyak kebaikan, kongsikan komen anda. Fahamkan saya kenapa borang seperti ini perlu diedarkan pada murid-murid," katanya lagi. Perkongsian Cikgu Fadli berhubung soalan kaji selidik itu turut menarik perhatian ramai terutama dalam kalangan ibu bapa yang memberikan pandangan masing-masing. "Budak-budak sekarang ni pun dah la kuat mengejek, isu kulit pun mengejek. Ni pula isu solat. Nanti jadi bahan ejekan kawan-kawan pula kalau borang tu bocor. "Rasanya tak perlu, budak-budak jujur tapi masa sama ia mengaibkan walaupun tak ada nama diletakkan. Lebih baik fokus kepada anak. Didik anak-anak lebih baik secara tidak langsung sekeluarga akan terdidik daripada anak itu sendiri. "Perlu cikgu. Cikgu-cikgu hairan kenapa murid susah sangat nak baca bacaan solat, berjemaah pun tak boleh ikut. "Apabila kita tahu dapatan daripada borang ni... pertama, empati lebih tinggi pada murid dan lebih perhatian untuk ajar dan pesanan untuk jaga solat pada murid tersebut. "Hal ini tiada masalah. Tapi jangan minta pelajar tulis nama, kelas, umur dan sebagainya yang boleh mendedahkan identiti pelajar, identiti responden adalah rahsia," demikian antara komen warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube