suria

Takut tayar kerusi roda bawa najis, wanita OKU diminta keluar kedai bakeri... Staf tiada budi bicara - “Saya dah pegang roti nak beli”

Setiap premis seharusnya menyediakan kemudahan mesra OKU. -Gambar hiasan

SERING kali kita dipaparkan dengan luahan golongan orang kurang upaya (OKU) yang didiskriminasi dalam pelbagai perkara, antaranya kemudahan awam, sektor pekerjaan dan sebagainya.

Dalam satu hantaran yang tular di laman sosial, seorang wanita OKU mendakwa dia didiskriminasi ketika mengunjungi sebuah kedai bakeri yang terletak di Alam Damai, Cheras, hanya kerana menggunakan kerusi roda.

"Kedai bakeri ni tak benarkan OKU kerusi roda masuk. Saya diminta keluar walaupun dah pegang roti nak beli.

"Katanya dah tunjuk (sign OKU) dekat depan, tapi dekat depan hanya tunjuk gambar stroller baby... tiada gambar kerusi roda pun," tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Menurut wanita tersebut, staf di kedai bakeri berkenaan memberikan alasan bimbang lantai premis mereka dicemari kotoran seperti najis.

Young disable woman sitting in wheelchair in front of mirror while trying on new hat and smart casualwear that she bought in online boutique

Golongan OKU juga layak mendapat layanan yang sama rata seperti insan normal lain. -Gambar hiasan

"Dia kata takut tayar kotorkan kedai dia, ada tahi ke... perghh pertama kali kena macam ni. Masjid yang suci tu pun benarkan kerusi roda masuk.

"Kita bukan minta sedekah... nak beli kot. Saya dah siap pegang roti, cakap nak bayar dah... pun tak boleh katanya.

"Tebal (muka) dan malu sangat... rasa macam kita yang berkerusi roda ni kotor dan tak berguna," luahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tak mahu terima minuman dihantar ‘rider’ OKU bisu, nak buat tempahan baru! - “Saya suruh hantar balik tapi dia tak faham”

ARTIKEL BERKAITAN: Bos kafe terharu staf OKU ingat hari lahir... Sedar ada hikmah gajikan insan istimewa - “Dulu saya cepat panas baran”

Hantaran wanita berkenaan yang dimuat naik di satu laman grup Facebook pada petang Jumaat sehingga kini meraih 1,300 shares selain dibanjiri ratusan komen.

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap wanita berkenaan, dan dalam masa yang sama mengkritik staf kedai bakeri tersebut yang didakwa kurang beradab.

Tebal (muka) dan malu sangat... rasa macam kita yang berkerusi roda ni kotor dan tak berguna.

WANITA OKU

Namun menerusi carian mStar di laman rasmi Facebook kedai bakeri berkenaan, pengusahanya memuat naik satu hantaran permohonan maaf di atas salah faham yang berlaku, tidak lama selepas perkongsian oleh pelanggan OKU itu tular.

"Sebelum masuk premis saya, perlu membuka kasut atau selipar. Tetapi saya terlalai dan tercuai atas kesilapan tidak membenarkan kerusi roda memasuki ke premis saya. Ini adalah kerana sebelum ini ada najis yang terlekat pada roda-roda kerusi roda dan stroller.

"Sungguh saya tidaklah begitu kejam seperti yang disangka. Ini adalah kerana ayah saya seorang OKU dan ibu saya berkerusi roda.

oku 1

Permohonan maaf secara terbuka oleh pengusaha bakeri selepas luahan wanita OKU itu tular.

"Saya manusia tidak lari melakukan kesilapan. Maafkan segala kekhilafan saya kepada pelanggan yang hadir berkerusi roda namun staf saya arahkan keluar itu.

"Terima kasih kepada semua yang menegur dan Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik pada masa akan datang untuk anda semua. Maafkan saya. Saya juga insan biasa yang mencari rezeki," tulisnya.

Susulan insiden berkenaan, warga maya menyarankan supaya mana-mana premis menyediakan kemudahan atau perkhidmatan bersifat mesra OKU agar golongan berkenaan juga mendapat layanan seperti insan lain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain