SIAPA sangka video memasak ringkas di laman YouTube boleh menyebabkan penonton berlinangan air mata. Begitulah kisahnya apabila seorang wanita secara tidak sengaja menjengah ke satu saluran YouTube milik lelaki warga emas yang rajin berkongsi resipi masakan. Susulan tersentuh hati dengan apa yang dilihatnya, wanita berkenaan langsung berkongsikan saluran YouTube itu di TikTok. Rashid menggunakan telefon pintar untuk merakam video memasak. "Saya 'meronda' di YouTube, sengaja tengok video secara rawak yang tidak mempunyai views... tiba-tiba terjumpa video pakcik ni tengah memasak. "Dia menggelarkan dirinya sebagai 'Tok Baba' manakala penontonnya pula dipanggil sebagai 'anak-anak'. Rasa tenang sangat apabila mendengar suara pakcik, harapnya saluran YouTube pakcik ni boleh terus berkembang. "Jom kita bantu tambah subscribers pakcik ni, semoga Allah sentiasa merahmati pakcik. Saya sendiri sudah kehilangan datuk saya, perasaan rindu tu macam kembali semula," ujarnya. Susulan itu, mStar berjaya menjejaki pakcik berkenaan iaitu Rashid Umas, 61, yang menetap di Kampung Petani, Batu Pahat, Johor Bahru. ARTIKEL BERKAITAN: Lepas sedap bercuti, nak balik tinggal najis! Warga emas tahan bau busuk kutip lampin, tak rela biar Pantai Penarik tercemar ARTIKE; BERKAITAN: Warga emas jatuh laut ketika melangkah masuk feri, dua lelaki jadi penyelamat selepas 10 minit mangsa terkapai-kapai Menurut Rashid, akaun YouTube yang diberikan nama Tok Baba itu sudah lama digunakan secara peribadi, namun dibuka menjadi saluran kandungan masakan atas permintaan isterinya. "Sebenarnya saya ni memasak biasa je, orang rumah yang pakar, dia suri rumah sepenuh masa. Isteri asyik ajak buat content memasak, sekadar suka-suka mengisi masa lapang. Kami mula buat video masakan pada bulan Oktober tahun 2023. "Kami hasilkan video apabila ada kesempatan, bukanlah setiap hari buat. Saya tolong jadi jurucakap dalam video sebab isteri segan berinteraksi depan kamera, kami juga setuju untuk tidak mendedahkan muka, hanya tunjuk proses memasak. "Manakala untuk pembahagian tugas pula, saya tolong sediakan bahan masakan seperti potong sayur dan sebagainya, selebihnya isteri yang pantau. Aktiviti di YouTube ni memang kami buat berdua je, anak tak terlibat sebab mereka pun sibuk. Apabila fikir balik, videodi YouTube ni boleh jadi kenangan untuk anak dan cucu jika kami 'pergi' nanti. RASHID UMAS "Akaun YouTube tu diasaskan oleh cucu kami waktu zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, dia yang ajar serba sedikit tentang platform YouTube ni," ujar Rashid yang merupakan seorang pemandu lori. Berbicara mengenai kata alu-aluan yang sarat emosi pada setiap pembukaan videonya, Rashid berkata idea itu dicambahkan oleh isterinya. "Kami ni orangnya sudah berumur, kena merendah diri, tak mampu fikir opening yang gempak serta berjiwa muda. Sebab tu isteri tolong karangkan ayat yang bersesuaian dengan umur untuk saya cakap. "Assalamualaikum, selamat petang sahabat dan anak-anak Tok Baba semua, semoga diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki, hari ni Tok Baba dan Tok Mak nak masak (nama juadah). Saluran YouTube Tok Baba mempunyai sekitar 2,000 lebih pengikut. "Tak sangka ayat ni boleh jadi viral, ramai cakap teringat dekat orang tua masing-masing yang sudah tiada di dunia ni, terasa dekat je kehadiran mereka di hati apabila mendengar Tok Baba bercakap. "Kalau fikir balik, video kami di YouTube ni boleh jadi kenangan untuk anak dan cucu jika kami 'pergi' nanti. Selain itu, resipi masakan ni juga boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang berkeperluan, ada pahala mengalir untuk kami... insya-Allah," jelas Rashid. Untuk rekod, sehingga kini YouTube Tok Baba memiliki 2,430 pengikut dan 102 koleksi video. Tambah Rashid, ada beberapa penonton yang menghantar permintaan kepada mereka untuk memasak hidangan tertentu. "Ada satu video masakan yang tajuknya, kari tanpa santan, itu adalah content untuk memenuhi permintaan seorang penonton kami. Dia merindui masakan arwah mak dia. Rashid mengibaratkan isteri, Analiza sebagai separuh nyawanya. "Dia cakap apabila tengok video kami, terus teringat dekat arwah mak dia sangat-sangat sebab gaya penyampaian Tok Baba yang hampir sama. "Kami turuti permintaan tu dengan seikhlas hati, kami anggap semua penonton kami macam anak-anak kami, tak sanggup tolak. Dalam masa terdekat ni pun ada masuk beberapa lagi permintaan serupa untuk masakan berbeza. "Kami beritahu kalau berkesempatan kami akan buat, kami cuba ikhtiarkan sampai boleh. Terima kasih sangat kepada semua yang menyokong saluran YouTube kami, hanya Tuhan mampu membalas jasa kalian," kata Rashid. Daripada sudut teknikal, Rashid berkata dia mempelajari sendiri cara untuk menyunting video. Keluarga menyokong hobi baharu Rashid yang dikongsi dengan isterinya. "Saya gunakan aplikasi CapCut untuk potong bahagian video yang tak elok dan sambungkan dengan video berbeza. Kalau ada benda saya kurang pasti, saya akan minta cucu tolong ajarkan. "Kalau bandingkan video mula-mula dalam akaun YouTube tu dengan yang terkini, boleh nampak ada penambahbaikan ketara. Dulu saiz video kejap jadi kecil, kejap jadi besar, saya yang tengok pun pening. "Tapi itulah, kalau nak dilihat kualiti video kami dengan kebanyakan video dalam YouTube, memang jauh beza tahapnya. Tak mampu kami nak kejar, kena ambil kira faktor umur sudah veteran. "Selagi tubuh kami masih sihat, Insya-Allah kami akan terus buat video di akaun YouTube tu," ujar Rashid menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube