PETUGAS kecemasan mahupun pasukan keselamatan pasti akan sentiasa bersiap siaga untuk menyalurkan bantuan apabila diperlukan. Tidak terkecuali seorang pengamal perubatan ini yang gemar berkongsi pengalaman dan gerak kerja dirinya dan pasukan di laman Facebook. Bagaimanapun, menerusi hantaran terkini, Dr Muhamad Na'im Ab Razak meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap seorang individu yang tidak bertanggungjawab. Kisah bermula apabila dia menerima panggilan dari Pusat Panggilan Kecemasan Perubatan (MECC) yang memaklumkan terdapat kejadian kecemasan. Petugas kecemasan perlu berdepan pelbagai situasi dan berkorban tenaga. -Gambar hiasan Menurut doktor yang juga Pendaftar Kanan, Perubatan Kecemasan di Hospital Lahad Datu itu, dia menerima panggilan kecemasan yang menyatakan terdapat kemalangan melibatkan ramai mangsa. Bukan itu sahaja, ujarnya, pemanggil terbabit turut memperincikan situasi kejadian yang mana terdapat sembilan mangsa mengalami kecederaan akibat kereta terbakar. "Dua mangsa tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas, manakala tujuh lagi mengalami kecederaan tetapi masih sedarkan diri. "Lokasi kejadian yang diberi pula mengelirukan dan berpotensi melibatkan dua kawasan di bawah bidang kuasa berlainan, iaitu Kinabatangan dan Lahad Datu. ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kerja non-stop sampai pengsan, jatuh sakit! Tular nota hospital minta maaf, pesakit mungkin kena tunggu 5 jam ARTIKEL BERKAITAN: Pembantu perubatan baru bertugas tak tahan emosi berdepan mangsa kemalangan, ibunya dah meninggal tapi masih diajar mengucap "Masalah kawasan juga termasuk akses komunikasi dan jalan yang teruk," ujarnya sambil menambah kejadian berlaku pada waktu malam. Mendengar penjelasan pemanggil, Dr Muhamad Na'im terus merancang strategi menyelamat kerana insiden melibatkan jumlah mangsa yang ramai dan di lokasi yang mencabar untuk dicapai. Pada masa sama ujarnya, banyak perkara perlu dititikberatkan terutama aset jabatan, keselamatan staf, jumlah pasukan yang perlu digerakkan ke tempat kejadian dan persediaan di jabatan. Susulan itu, dia cuba menghubungi pemanggil sekali lagi, namun malangnya setiap panggilan tidak berjawab atau tiada liputan. Saya sendiri hanya sempat menjamah bekal makanan petang di penghujung syif. DR MUHAMAD NA'IM "MECC, bomba, dan polis juga berbuat demikian tetapi turut gagal mendapatkan pengesahan kejadian. "Nak tak nak, setiap agensi hantar pasukan, kami pun hantar satu pasukan sambil menyediakan jabatan untuk menerima pesakit. "Zon merah perlu dikosongkan, pesakit yang stabil perlu dimasukkan ke wad dan staf yang bekerja syif petang terpaksa diminta menunggu," luahnya lagi. Bagaimanapun, selepas satu jam, dia menerima panggilan daripada MECC yang menyatakan insiden tersebut tidak berlaku dan palsu. Malah pemilik telefon yang membuat panggilan tersebut menyatakan perantinya itu digunakan anak dan hanya menyedari perkara yang berlaku selepas mendapati banyak panggilan telefon tidak berjawab. Warga maya berharap individu tidak bertanggungjawab itu menerima pengajaran setimpal "Kata mereka (MECC), anak kepada pemilik telefon telah menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan berita palsu tentang kejadian itu. "Pemilik hanya kembali menelefon MECC satu jam selepas mendapati banyak panggilan tidak berjawab dari pelbagai nombor," ujarnya yang berasa geram dan kecewa dengan situasi berlaku. Lebih menyedihkan apabila dia turut berkongsi situasi semasa kakitangan hospital yang kebanyakannya bekerja 'double shift' hampir setiap hari. Tambahan pula, katanya, unit kecemasan di Hospital Lahad Datu mempunyai ramai pesakit kritikal. "Saya sendiri hanya sempat menjamah bekal makanan petang di penghujung syif," katanya. Menjengah ke ruangan komen, pengikutnya tampil memberikan reaksi yang pelbagai dan kebanyakannya berharap tindakan tegas dikenakan terhadap pemanggil palsu berkenaan supaya dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat yang lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube